Trend TikTok, Sea Moss kini menjadi pilihan orang ramai yang sukakan kecantikan, tapi, siapa yang membuatkan superfood ini popular di kalangan pengguna?
Sea moss kini menjadi “superfood” terbaru yang digemari oleh para pempengaruh kesihatan. Mereka mendakwa produk sea moss (selalunya dalam bentuk gel) mempunyai pelbagai manfaat kesihatan. Antaranya termasuk menyokong fungsi otak dan sistem imun, serta melindungi daripada virus dan mikrob lain.
Tapi, sejauh mana kebenaran ini? Jom kita selami bersama.
Apa Itu Sea Moss?
Sea moss dihasilkan daripada sejenis rumpai laut, khususnya alga merah yang tumbuh di pelbagai lokasi di seluruh dunia. Tiga spesies utama yang digunakan dalam produk sea moss ialah:
– Chondrus crispus (dikenali sebagai Irish moss atau carrageenan moss)
– Eucheuma cottonii (sea moss atau sarang burung laut)
– Gracilaria (Irish moss atau ogonori)
Sesetengah produk juga mengandungi alga perang Fucus vesiculosus, yang lebih dikenali sebagai bladderwrack, black tang, rockweed, sea grapes, bladder fucus, sea oak, cut weed, dyers fucus, red fucus, atau rock wrack.
Kebanyakan produk sea moss dijual dalam bentuk gel yang boleh ditambah ke dalam resipi, digunakan dalam smoothie, dibekukan menjadi ketulan ais, atau dimakan begitu sahaja. Ia juga terdapat dalam bentuk kapsul, atau boleh dibeli dalam bentuk mentah untuk dibuat gel sendiri di rumah.
Apa Buktinya?
Produk sea moss sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan, antaranya menyokong sistem imun, memperbaiki kesihatan kulit, serta meningkatkan mood dan tumpuan. Tapi, adakah dakwaan ini disokong oleh bukti?
Kajian terkini telah menilai ciri-ciri biologi bagi spesies utama sea moss (Chondrus crispus, Eucheuma cottonii, Gracilaria dan Fucus vesiculosus). Hasil kajian mencadangkan bahawa spesies ini mungkin mempunyai sifat anti-radang, antioksidan, antikanser, antidiabetik dan probiotik.
Namun, majoriti besar penyelidikan yang berkaitan dengan Chondrus crispus, Gracilaria dan Fucus vesiculosus dan kesemua penyelidikan mengenai Eucheuma cottonii datang daripada kajian makmal menggunakan tabung uji, sel, atau model haiwan. Maka, kita tidak boleh mengandaikan kesan kesihatan yang sama akan berlaku pada manusia.
Dalam kajian sel dan haiwan, penyelidik biasanya menggunakan alga yang diproses di makmal dan mengekstrak sebatian bioaktif tertentu, bukannya menggunakan produk sea moss yang dijual secara komersial.
Mereka juga menggunakan dos yang jauh berbeza dan selalunya lebih tinggi berbanding jumlah yang biasanya diambil oleh pengguna biasa. Ini bermakna, kajian sedia ada masih belum dapat memberikan gambaran tepat tentang bagaimana tubuh manusia memproses dan mencerna sea moss.
Sea moss mungkin memberi kesan positif kepada manusia. Tapi setakat ini, masih terdapat sangat sedikit bukti yang menunjukkan pengguna sea moss benar-benar akan mengalami manfaat kesihatan seperti yang didakwa.
Nilai Pemakanan
Pengambilan sea moss tidak menggantikan keperluan untuk mengamalkan diet seimbang yang merangkumi pelbagai jenis buah-buahan dan sayur-sayuran.
Chondrus crispus, Eucheuma cottonii dan Gracilaria – seperti banyak jenis rumpai laut lain merupakan sumber nutrien yang kaya seperti asid lemak, asid amino, vitamin C dan mineral. Nutrien-nutrien ini juga berkemungkinan terdapat dalam sea moss, walaupun sebahagiannya mungkin hilang semasa penyediaan produk (contohnya, proses merendam boleh mengurangkan kandungan vitamin C), dan yang tinggal pula mungkin hanya dalam kuantiti yang agak rendah.
Terdapat juga dakwaan bahawa sea moss mungkin tidak sesuai untuk individu yang mempunyai masalah tiroid. Ini berkait rapat dengan hubungan antara fungsi tiroid dan iodin. Alga yang digunakan untuk menghasilkan sea moss adalah sumber iodin yang ketara, dan pengambilan iodin secara berlebihan boleh menyumbang kepada masalah tiroid, terutamanya bagi mereka yang sudah mempunyai masalah kesihatan berkaitan tiroid. Disebabkan itu, produk ini sering disertakan dengan amaran berkaitan sensitiviti terhadap iodin atau kesihatan tiroid.
Walaupun anda tidak akan mendapat perincian pemakanan lengkap pada botol, adalah bijak untuk memeriksa bahan-bahan lain yang mungkin terkandung dalam produk tersebut.
Produk sea moss boleh mengandungi pelbagai bahan lain seperti limau nipis, serbuk buah monk, spirulina, halia, dan banyak lagi. Bahan-bahan ini berbeza antara jenama dan produk, jadi pastikan anda peka terhadap keperluan anda dan sentiasa semak label. Walaupun terdapat dakwaan kesihatan, kebanyakan produk sea moss juga mengandungi amaran yang menyatakan bahawa produk ini tidak bertujuan untuk mendiagnosis, merawat, menyembuhkan atau mencegah sebarang penyakit.
Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai kesihatan, sentiasa berbincang dengan profesional kesihatan untuk nasihat perubatan yang tepat dan diperibadikan.