Oleh: Farhana Fuad
Gambar: INGimage
Boracay adalah sebuah pulau kecil di Filipina terletak lebih kurang 315km dari selatan Manila. Pulau Boracay serta pantainya yang indah telah menerima banyak anugerah daripada pelbagai agensi dan majalah kembara. Bahkan, Boracay juga terkenal sebagai satu destinasi dunia yang paling tenang dan relaks. Pernah mendapat anugerah pulau yang paling mengujakan dalam majalah kembara antarabangsa Travel + Leisure pada 2012.
Boracay ada dua musim yang berbeza yang dipanggil Amihan dan Habagat. Musim Amihan dikategorikan sebagai musim yang panas sederhana, sedikit atau tiada hujan. Arah angin pula bertiup dari arah timur laut. Musim Habagat pula dikategorikan sebagai musim panas dan lembap serta kehadiran hujan yang kerap dan arah angin bertiup dari sebelah barat. Amihan adalah musim yang berlaku pada bulan Oktober hingga Jun manakala Habagat pula dari bulan Julai hingga September.
Sebelum anda ke sana, EH! ingin kongsikan info menarik tentang Boracay supaya anda dapat merancang percutian dengan lebih baik dan lancar.
Pasir putih halus serta laut jernih kebiruan
Anda pastinya pernah melihat gambaran Boracay di kaca tv, buku kembara mahupun majalah. Tetapi percayalah yang ia sebenarnya lebih cantik di lihat dengan mata kasar dan pastinya akan buat anda ingin batal atau tangguhkan tiket pulang anda kerana pulau Boracay sungguh cantik, bersih dan tenang.
Terjun tebing
Cabar rasa gentar dan takut anda pada ketinggian dengan membuat terjunan ke dasar laut melalui tebing tinggi. Tetapi jangan risau kerana ia mempunyai tahap yang berbeza mengikut kesesuaian diri anda. Untuk permulaan, petugas keselamatan yang menjaga kawasan tersebut akan memastikan anda cukup berani dan membuat terjunan pertama pada tahap yang paling mudah. Langkah keselamatan juga diberi penekanan dengan memberikan jaket keselamatan bagi yang takut pada kedalaman laut. Jika anda ingin ke kawasan terjunan tebing ini anda digalakkan mengambil pakej bot, snorkeling, terjunan tebing, dan set makan tengahari secara bufet lengkap denhan barbeku.
Island Hopping
Percutian ke Boracay tidak sempurna jika tidak melakukan island hopping. Anda akan dibawa ke tempat untuk melakukan snorkeling selama sejam di Pulau Buaya. Tetapi jangan risau kerana ia tidak bermaksud yang kawasan tersebut mempunyai buaya kerana ia hanya simbolik kepada bentuk pulau tersebut seakan buaya. Setelah itu, pemandu pelancong anda akan membawa anda ke mana-mana pulau berdekatan yang menjadi tarikan lain mengikut pakej yang anda ambil dan selepas itu barulah anda akan di bawa ke Pantai Puka yang terletak di bahagian hujung utara Boracay untuk santapan makan tengahari untuk lebih privasi dan damai.
Warga tempatan yang peramah
Warga Filipina adalah antara yang paling peramah dan mesra di dunia. Jadi anda tidak perlu risau akan hilang arah atau sesat kerana majoriti penduduk Filipina cukup mesra dan membantu dalam menunjukkan pulau mereka jika anda rajin bertanya.
Makanan laut paling segar di D’ Talipapa
D’ Talipapa adalah sebuah pasar makanan laut di Boracay yang menjual pelbagai jenis makanan laut yang segar dan akan terus ke restoran yang bertempat bersebelahan pasar tersebut. Anda boleh membuat pilihan makanan laut di pasar tersebut dan mereka akan mengendalikan segalanya terus ke restoran mengikut citarasa masakan yang anda mahukan.
Belayar saksi matahari terbenam
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan keindahan yang menakjubkan sewaktu matahari terbenam dengan lebih istimewa dan eksklusif kerana anda boleh melihatnya secara romantis dari atas perahu layar Paraw.