Biarpun hanya baru tujuh jam melahirkan anak ketiga, The Duchess of Cambridge ini masih boleh muncul di hadapan khalayak ramai dengan kelihatan cukup berseri dan bertenaga.
Hanya beberapa jam selepas melahirkan bayi diraja yang ketiga, Kate Middleton tampil di pintu Lindo Wing di St. Mary's Hospital dengan berkasut tumit tinggi berona nude di samping Putera William sambil mengendong putera barunya itu kepada khalayak ramai.
Bayi diraja itu diselimuti napkin berona putih ketika dikendong ibunya saat diperkenalkan buat pertama kali kepada rakyat jelata yang mengerumuni perkarangan hospital di London itu yang mana rata-rata cukup teruja akan kelahiran bayi diraja itu.
Kate dilihat cukup menawan dengan persalinan berona merah berkolar putih, boleh dikatakan seakan sinonim dengan penampilan mendiang Puteri Diana ketika selamat melahirkan Putera Harry.
The Duchess of Cambridge itu dimasukkan ke dalam wad hospital sebelum jam 6 pagi hari Isnin (semalam).
"Her Royal Highness The Duchess of Cambridge dimasukkan ke dalam wad di St. Mary's Hospital, Paddington, London awal pagi Isnin ketika peringkat awal melahirkan. The Duchess dibawa menaiki kereta dari Istana Kensington ke Lindo Wing di St. Mary's Hospital bersama The Duke of Cambridge," tulis kenyataan dari Istana Kensington.
Bayi diraja ini bakal menjadi yang ke-5 dari mewarisi takhta selepas Putera Charles, Putera William, Putera George dan Puteri Charlotte. Putera Harry secara automatik bakal berganjak ke tangga ke-6 dalam senarai mewarisi takhta England.
Turut bersama di St.Mary Hospital adalah Putera George dan Puteri Charlotte yang turut tampil menuruni tangga di hadapan pintu Lindo Wing. Putera William menyatakan yang mana mereka sangat gembira dan teruja akan kelahiran ketiga itu sebelum memasuki kenderaannya menuju ke Istana Kensington.
Pabila ditanya orang ramai apakah nama yang bakal diberikan kepada bayi ketiga itu, Putera William menjawab, "You'll find out soon enough."