Gambar: telegraph.co.uk
Penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak kini dikatakan semakin hari semakin menjadi-jadi bagai tiada penghujungnya.
Arus peredaran teknologi kini juga seolah memaksa kedua ibu bapa menjadikan gajet sebagai pengganti rakan karib kepada kanak-kanak, asalkan mereka boleh duduk diam, itu sudah memadai.
Tidak dinafikan wujud seglintir ibu bapa yang memberikan gajet kepada anak mereka bagi menenangkan cahaya mata mereka dari terus menangis, namun perkara tersebut seperti menjadi rutin kebiasaan buat ibu bapa moden kini sehingga menjejaskan proses tumbesaran mental kanak-kanak tersebut.
Lebih membimbangkan, semua ini merujuk kepada satu fenomena generasi baharu, seperti kecanduan internet dan gajet sehingga ada yang melabelkannya bagai kokain elektronik, heroin digital dan sebagainya.
Perkara tersebut turut disuarakan pelakon dan usahawan terkemuka, Wawa Zainal menerusi perkongsian yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.
Ralat dengan tindakannya dahulu, Wawa akui masalah pertuturan yang dihadapi anak sulungnya, Ahmad Fakharuddin Attar berlaku akibat pendedahan kepada gajet tanpa kawalan.
Menurut Wawa, beliau turut membawa anaknya bertemu pakar terapi susulan masalah berkenaan, malah tetap bersyukur kerana temui beberapa solusi dan peningkatan dalam pertuturan seharian kanak-kanak berkenaan.
Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin menyarankan ibu bapa kini untuk meluangkan lebih masa bersama anak-anak serta mengurangkan penggunaan gajet terhadap mereka.
Tambahnya lagi, beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap perkembangan kanak-kanak berusia 6 tahun itu yang kini difahamkan bakal ke alam persekolahan dan menduduki tahun satu pada tahun hadapan.
Secara am, perkembangan teknologi digital adalah sesuatu yang besar pengaruhnya. Mahu atau tidak ia harus diterima jika tidak mahu ketinggalan, namun perlu berpada-pada dan tahu di mana kelebihan dan kekurangan pendedahan gajet kepada kanak-kanak kini.
Hal ini kerana, andai tidak dibendung sebaik mungkin perkara ini mampu menjejaskan perkembangan bahasa, skil membaca dan ingatan memori jangka pendek selain memnggangu tabiat tidur dan tumpuan mereka apabila meningkat dewasa.