Artis seni lokal yang semakin mencipta nama, Haris Rashid melancarkan pameran solo berjudul ‘3:33’ di ZHAN Art | Space sehingga 7 Mac 2021.
Haris Rashid, salah seorang penggerak seni Malaysia yang semakin meningkat naik telah melancarkan pameran seni solo yang berjudul ‘3:33’ yang berlangsung di ZHAN Art | Space di Petaling Jaya, Selangor. Berlangsung sehingga 7 Mac 2021, pameran ini turut akan dipamerkan secara atas talian, akan menyelami sisi eskapisme yang berlaku ketika penularan pandemik Covid-19.
Siri kreatif ini mula dihasilkan sekitar Februari 2020, yang menyaksikan detik permulaan pandemic Covid-19 ini di Malaysia. Pameran ‘3:33’ menampilkan antara hasil karya milik Haris yang sangat personal dan spiritual selepas dia menemui motif sureal sarat fantasi dari merman kepada visi bunga-bungaan, termasuklah cerita rakyat lokal dan antarabangsa. Artis muda ini dikenali dengan penggunaan media campuran ke dalam hasil karyanya seperti kayu, kertas, kaca, batu karang, tikar rotan dan kain sarung dalam naratif duniawi.
Pameran ini mahu membawa pengunjung ke alam penuh eksotik melalui hasil karya yang bermain dengan keindahan dunia fantasi. Ia pasti akan memacu imaginasi.yang luar biasa. Selalunya, Haris menggunakan subjek yang berterbangan ke lapangan galaksi serta disuntikkan dengan simbol, numerologi, mitos dan metafora.
“Ketika perintah kawalan pergerakan yang terakhir dulu, saya berada di rumah dan mula menggunakan apa yang ada disekeliling, memisahkan serta menggabungkan pelbagai bentuk dan tesktur kepada karya saya – itulah realiti baharu saya iaitu eskapisme. Mellaui 3:33, saya mahu menguasai seni surealisme dan fantasi dalam membenarkan kita untuk mengecapi pengalaman transformatif yang luar biasa,” jelas Haris Rashid.
Salah satu karyanya, “Astral Travel 2’ memberikan penekanan kepada pemikiran dan imaginasi milik Haris yang menggunakan ton biru dan pastel untuk membiaskan magnitud dan kilauan yang tersendiri. Karya dalam bentuk bulatan itu mewakili dunia dan realiti yang infiniti, seperti cerminan galaksi yang luas merefleksikan perbezaan antara dunia hari ini.
“Pameran 3:33 oleh Haris Rashid adalah satu permulaan yang positif untuk 2021. Melalui karyanya, pengunjung dapat menyelami pengalaman dan terbang ke dunia tanpa pandemik Covid-19. Setiap karya dihasilkan dalam cara yang luar biasa dan tersendiri, sebagai refleksi warna-warna dan pemikiran kompleks seorang artis,” jelas pengasas ZHAN Art | Space, Desmond Tong.
Pameran ini menampilkan lebih 40 karya seni dan setiap satunya berharga diantara RM88 hingga RM7,888. Jika anda mahu menyelami ke dalam alam fantasi Haris Rashid, anda boleh melawat @zhanartmy di Instagram.
Baca lebih lanjut: Refresh Memori Dengan 5 Filem Lokal Ikonik Ini