Dari media sosial ke restoran gah di Kampung Baru, di tengah kota, Khairul Aming melancarkan restoran pertamanya, Rembayung setelah setahun berahsia.
Pemiliknya, Khairul Aming (nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman), tidak asing lagi bagi ramai di Malaysia. Sebagai individu yang memulakan karier melalui video masakan di platform media sosial, Khairul Aming berjaya membina empayar perniagaan melalui jenama sambalnya tetapi kini, dengan Rembayung, dia membuat lompatan besar dari dunia digital ke dunia nyata.

Dalam pengumuman rasmi, beliau menyebut bahawa selepas hampir 10 tahun dalam dunia online, masanya sudah tiba untuk “melangkah ke dunia offline” dan Rembayung adalah permulaan untuk 10 tahun akan datang.
Masakan kampung di tengah kota, Rembayung menjanjikan keaslian masakan dan pengalaman manis buat tetamu.
Rembayung dibangunkan di atas tanah seluas 8,000 kaki persegi di kawasan Kampung Baru, Kuala Lumpur hanya sekitar 9 minit dari pusat bandar (KLCC).
Dengan pelaburan sekitar RM 4 juta, restoran ini dibina “from scratch” (daripada kosong), menandakan bahawa ini bukan sekadar sewaan premis biasa tetapi satu projek besar dengan perancangan serius.

Rembayung direka mampu menampung sehingga 250 pengunjung pada satu masa, merangkumi dua tingkat.
Elemen reka bentuk disebut sebagai “semi–glass-house” yang digabung dengan gaya kampung tradisional harapan untuk memberikan pengalaman makan yang unik di tengah kesibukan kota.
Menurut Khairul Aming, suasana restoran akan membawa semangat kampung, suasana santai, mesra, dengan kehangatan yang mungkin membawa kembali nostalgia rumah dan desa.
