Pening, kencing kuning dan cepat letih? Mungkin anda mengalami dehidrasi.
Apabila cuaca panas melanda, tubuh kita secara semula jadi akan kehilangan lebih banyak cecair melalui peluh.
Walaupun ia adalah proses normal untuk menyejukkan badan, kehilangan cecair yang berlebihan tanpa pengambilan air yang mencukupi boleh menyebabkan kegagalan fungsi badan.

Kenapa perlu peka apabila badan memberi signal dehidrasi ketika cuaca panas?
Ramai yang tidak sedar bahawa dehidrasi bukan sahaja membuatkan badan terasa letih, malah boleh menjejaskan fungsi tubuh secara keseluruhan hingga maut.
Dehidrasi berlaku apabila badan kehilangan lebih banyak cecair daripada yang diambil.

1. Rasa dahaga yang berlebihan
Rasa haus adalah tanda paling awal bahawa badan memerlukan lebih banyak air. Jika anda kerap berasa dahaga ketika cuaca panas, itu petanda tubuh sudah mula kehilangan banyak cecair.
2. Mulut dan bibir kering
Dehidrasi boleh menyebabkan mulut terasa kering dan bibir mudah pecah-pecah. Ini berlaku kerana badan kekurangan air untuk mengekalkan kelembapan semula jadi.
3. Air kencing berwarna kuning pekat
Warna air kencing boleh menjadi petunjuk tahap hidrasi. Jika warnanya lebih gelap daripada biasa atau kuning pekat, ia menunjukkan badan mungkin kekurangan air.
4. Mudah berasa letih
Apabila badan tidak cukup air, tahap tenaga juga boleh menurun. Anda mungkin cepat berasa lesu atau tidak bertenaga walaupun tidak melakukan aktiviti berat.
5. Pening atau sakit kepala
Kekurangan cecair boleh menjejaskan aliran darah dan oksigen ke otak, yang akhirnya menyebabkan rasa pening atau sakit kepala.
6. Otot mudah kekejangan
Dehidrasi boleh mengganggu keseimbangan elektrolit dalam badan, sekali gus menyebabkan otot mudah kejang, terutama selepas beraktiviti di bawah cuaca panas.
7. Degupan jantung lebih laju
Apabila badan kekurangan cecair, jantung perlu bekerja lebih keras untuk mengepam darah, menyebabkan degupan jantung menjadi lebih cepat daripada biasa.
