Ketika berada di Wuhu, China bersama LEPAS dan CHERY, EH! berpeluang menyelami sendiri inspirasi di sebalik setiap garisan, siluet dan perincian yang membentuk jenama ini menerusi sesi temu bual eksklusif bersama Ivan Dulanovic, ketua pereka LEPAS.
Sepanjang beberapa hari berada di bandar yang juga merupakan ibu pejabat global CHERY itu, EH! dibawa menyelami dunia LEPAS dengan lebih dekat daripada sesi pandu uji, pembentangan eksklusif jenama sehinggalah peluang bertemu sendiri individu di sebalik bahasa reka bentuk LEPAS yang semakin mendapat perhatian.
Sepanjang perbualan tersebut, ketua pereka LEPAS turut berkongsi bagaimana jenama ini mahu membezakan dirinya dalam ekosistem CHERY yang semakin berkembang pesat. Daripada fokus terhadap reka bentuk timeless, perancangan masa depan model LEPAS hinggalah visi mereka untuk menjadikan elemen elegan dan premium lebih approachable buat generasi baharu.
Chery mempunyai banyak subjenama di bawah ekosistemnya. Sebagai jenama yang masih baharu, bagaimana Lepas memposisikan dirinya dan apa yang membezakannya daripada subjenama lain?
LEPAS dibangunkan berasaskan falsafah reka bentuk yang dipanggil Natural Energy, dengan fokus kepada gaya dan elegan yang bersifat timeless, bukan sekadar mengikut trend sementara. Jenama ini dicipta untuk mereka yang menghargai fesyen, gaya hidup dan estetika moden tanpa mengira usia.
Apa yang membezakan LEPAS adalah inspirasi reka bentuknya yang datang daripada alam semula jadi, khususnya harimau bintang (leopard) yang menjadi DNA utama jenama ini. Elemen tersebut diterapkan pada setiap model LEPAS, sekarang dan juga masa depan.
Sejauh mana pentingnya elemen reka bentuk dalam pembangunan setiap model LEPAS?
Konsistensi reka bentuk adalah antara perkara paling penting bagi LEPAS. Setiap model mempunyai identiti visual tersendiri yang menjadikannya mudah dikenali. Antara elemen utama ialah lampu DRL berbentuk V yang diinspirasikan daripada mata harimau bintang yang tajam dan fokus. Selain itu, garisan bahu yang lebih menyerlah dan siluet badan yang kemas memberikan karakter sporty tetapi masih elegan.
Untuk ruang dalaman pula, LEPAS memilih konsep yang lebih tenang, luas dan minimalis. Antara fokus utama ialah rekaan waterfall screen bersama susun atur yang memberikan rasa selesa dan relaks kepada pengguna.
Kereta kini sering dianggap sebagai ruang keluarga. Bagaimana perkara itu mempengaruhi reka bentuk dalaman LEPAS?
Bagi LEPAS, ruang dalaman bukan sekadar cantik tetapi perlu praktikal dan selesa untuk kegunaan harian. Pasukan reka bentuk memberi penekanan terhadap susun atur yang clean, ruang yang luas dan penggunaan teknologi secara minimal agar tidak terasa terlalu sarat. Digabungkan dengan pencahayaan dan pemilihan material yang tepat, ruang kabin direka untuk memberi rasa tenang terutama bagi pengguna dengan gaya hidup moden yang sibuk.
Apakah perancangan masa depan untuk model seperti L2?
Ketika ini, L2 masih berada di peringkat prototaip kerana LEPAS memberi fokus awal kepada segmen SUV menerusi model seperti L4, L6 dan L8 yang lebih mendapat permintaan global. Namun pada masa akan datang, LEPAS merancang untuk memperluaskan penawaran kepada model yang lebih fun dan niche seperti hatchback serta model berorientasikan gaya hidup. Identiti reka bentuk LEPAS juga dijangka akan menjadi lebih matang dan menonjol dari semasa ke semasa.
Adakah LEPAS sedang membina pengaruh global terlebih dahulu sebelum mengembangkan variasi model dan reka bentuk?
Ya. Sebagai jenama yang masih muda, LEPAS percaya pembentukan identiti yang kukuh memerlukan masa. Fokus utama ketika ini adalah membina asas global yang stabil sebelum memperluaskan lagi portfolio model dan arah reka bentuk pada masa depan.
Selain lampu hadapan, elemen reka bentuk apa yang paling dibanggakan?
Selain DRL, pasukan reka bentuk turut berbangga dengan rekaan gril hadapan dan garisan bahu badan kereta yang lebih muscular. Gril tersebut mempunyai perincian yang diinspirasikan daripada elemen fesyen mewah tetapi masih mengekalkan sentuhan teknologi moden. Manakala garisan bahu yang lebih tegas memberi karakter sporty dan yakin tanpa mengorbankan ruang dalaman.
Bagaimana LEPAS membezakan dirinya daripada OMODA dan JAECOO?
Walaupun berada di bawah ekosistem CHERY yang sama, setiap jenama mempunyai identiti tersendiri. LEPAs lebih menonjolkan elemen elegan, lembut dan diinspirasikan daripada alam semula jadi. JAECOO pula cenderung kepada reka bentuk yang lebih tajam dan berstruktur seperti seni bina moden, manakala OMODA membawa imej yang lebih futuristik, agresif dan berani.
Bagaimana anda menggambarkan LEPAS kepada seseorang yang belum pernah mengenali jenama ini?
Lepas ialah jenama yang menggabungkan gaya, elegan dan fun factor bersama teknologi moden dan praktikaliti harian. Ia bukan sekadar menawarkan reka bentuk menarik, tetapi juga hadir dengan teknologi maju seperti sistem hybrid dan EV sambil mengekalkan keselesaan serta fungsi untuk kegunaan seharian.
Sejauh mana falsafah peribadi anda diterapkan dalam koleksi LEPAS?
Saya sentiasa percaya kepada konsep gaya yang bersifat timeless dan bukan sekadar mengejar trend semasa. Falsafah tersebut selari dengan arah tuju LEPAS yang menitikberatkan identiti jelas, elemen semula jadi dan reka bentuk yang mampu bertahan dalam jangka masa panjang.
Di manakah kedudukan LEPAS dalam hierarki jenama CHERY?
LEPAS diposisikan sebagai jenama yang lebih approachable dan mudah diakses dari sudut gaya dan elegan. Jika EXEED lebih menumpukan kepada eksklusiviti premium, LEPAS pula mahu menawarkan pengalaman reka bentuk yang stylish dan moden kepada lebih ramai pengguna. Fokusnya bukan semata-mata pada status atau harga mahal, tetapi pada cool factor dan pengalaman pemanduan yang bergaya.
Dengan kemasukan banyak jenama CHERY di Malaysia, adakah persaingan dalaman menjadi cabaran?
Pasukan LEPAS mengakui kemungkinan berlaku pertindihan pada peringkat awal kerana jenama ini masih baharu. Namun mereka percaya perbezaan identiti setiap jenama akan menjadi lebih jelas mengikut masa. Mereka juga sangat terbuka menerima maklum balas pengguna bagi membantu memperbaiki produk dan reka bentuk pada masa depan.
Adakah konsep dalaman minimalis ini akan diteruskan pada model LEPAS akan datang?
Ya. Konsistensi dalaman dianggap sangat penting untuk identiti LEPAS. Elemen seperti waterfall screen, susun atur minimalis, rekaan dashboard yang bersih serta suasana kabin yang tenang akan terus menjadi DNA utama bagi model-model LEPAS pada masa akan datang.
Adakah identiti harimau bintang akan terus digunakan pada masa depan?
Sudah tentu. Harimau bintang merupakan simbol utama LEPAS dan menjadi tunjang kepada keseluruhan falsafah reka bentuk jenama ini. Menurut pasukan reka bentuk, identiti yang jelas dan konsisten sangat penting untuk membezakan Lepas daripada pesaing lain, justeru elemen tersebut akan kekal menjadi DNA jenama untuk jangka panjang.
Adakah LEPAS mempunyai perancangan untuk pemasangan tempatan di Malaysia?
Ya. CHERY mengesahkan Malaysia merupakan pasaran penting buat mereka dan terdapat perancangan untuk pemasangan tempatan model-model LEPAS pada masa akan datang selaras dengan perkembangan operasi pengeluaran kami di negara ini.
Artikel Berkaitan: LEPAS L6 EV & L4 EV Debut di Auto China 2026


