Tabiat makan lewat ini sememangnya boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan berat badan seseorang. Kesannya bukan sahaja kepada kesihatan dan berat badan, tetapi juga kepada kualiti hidup secara keseluruhan.
Mengawal keinginan makan lewat malam boleh menjadi satu cabaran yang sering dihadapi oleh individu yang ingin menjaga berat badan atau mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Makan lewat malam, terutama makan makanan yang tidak sihat, boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan badan anda.
Mengawal keinginan makan tengah malam memerlukan kesedaran dan usaha. Oleh itu, terdapat beberapa tip yang EH! ingin kongsikan kepada anda yang boleh membantu mengelakkan keinginan makan lewat malam yang tidak perlu.
1. Pelan Makan Anda
Menyusun jadual makanan yang teratur dapat membantu mengelakkan perasaan lapar yang mendalam pada waktu malam. Ini membolehkan tubuh mengenali apabila makanan akan disediakan. Anda boleh cuba makan malam lebih awal untuk membantu mengelakkan keperluan makan lewat malam dan memberi peluang kepada sistem pencernaan untuk mencerna makanan sebelum tidur.
2. Minum Air
Apabila rasa lapar menyerang, cuba minum segelas air sebelum makan. Terkadang, badan kita keliru perasaan lapar dan haus. Dengan minum air, anda memberi peluang kepada tubuh untuk membezakan perasaan sebenar. Minuman yang tidak berkalori seperti teh herba atau air kelapa juga boleh menjadi pilihan yang baik. Ini dapat membantu mengurangkan pengambilan kalori tambahan yang tidak diperlukan pada waktu malam.
3. Elak Makanan Tinggi Gula
Makanan tinggi gula dan karbohidrat ringan adalah penyebab utama keinginan untuk makan lewat malam. Makanan seperti snek, biskut, kerepek, dan makanan segera cenderung menyebabkan peningkatan gula dalam darah dengan cepat, yang menyebabkan terasa lapar, terutama pada waktu malam. Sebaliknya, cuba makan makanan yang lebih sihat yang kaya dengan serat, mampu memberikan tenaga yang berkekalan menjadikannya pilihan yang lebih baik untuk mengawal keinginan makan tengah malam.
4. Berhenti Makan di Had Jam Tertentu
Menahan diri daripada pengambilan makanan melepasi waktu jam yang tertentu, contohnya, selepas jam 8 malam. Ini memberikan tubuh anda peluang kepada tubuh seseorang untuk memetabolismekan nutrien dengan berkesan sebelum tidur dan juga menggalakkan tidur yang lebih berkualiti. Selain daripada itu, ia juga dapat membantu anda mengawal jumlah kalori yang dimakan sepanjang hari.
5. Elakkan Pengambilan kafein Sebelum Tidur
Pengambilan kafein berpotensi untuk mengganggu tidur seseorang dan meningkatkan nafsu makan tengah malam. Adalah dinasihatkan untuk menahan diri daripada mengambil kafein beberapa jam sebelum tidur. Ini akan membantu tubuh anda untuk bersedia untuk tidur dengan lebih baik dan mengurangkan risiko mengganggu tidur atau terjaga di tengah malam. Sebagai alternatif, anda boleh memilih untuk menikmati pengambilan teh herba atau susu sebelum tidur.
6. Pengambilan Sarapan Pagi
Sarapan adalah waktu yang sangat penting untuk makan. Dengan sarapan yang seimbang, anda dapat memastikan bahawa tubuh anda mendapat nutrien penting seperti protein, serat, dan karbohidrat yang dapat membantu menjaga rasa kenyang sehingga waktu makan berikutnya. Ini membantu mengelakkan perasaan lapar yang mendalam dan nafsu makan berlebihan pada waktu malam.
7. Tumpukan pada Kualiti Tidur
kelelahan boleh menjadi salah satu faktor yang meningkatkan nafsu makan. Ketika seseorang berasa letih, hormon yang mengawal selera makan boleh menjadi tidak seimbang, menyebabkan keinginan makanan yang tidak perlu. Dengan tidur yang mencukupi, anda akan merasa lebih bertenaga, kurang cenderung kelelahan, dan juga kurang cenderung untuk makan pada waktu malam.
Artikel Berkaitan: 5 Makanan Yang Baik Buat Kulit Anda