Apabila berita menyayat hati membanjiri media, ia boleh menjadi menggerunkan dan menakutkan. Bagi sesetengah orang, ini boleh menjejaskan kesihatan emosi dan mental, mencetus kebimbangan dan tekanan.
Terlampau banyak berita menyayat hati seperti masalah ditimpa saudara kita di P4.les.7ine, membuatkan kita berbaur rasa. Rasa cemas, sedih, marah apabila mendengar. Perkara ini juga boleh memberi tekanan yang dalam terhadap diri sendiri kerana mengganggu emosi kita.
Tidak mengapa untuk menghayati perasaan kita yang bercampur-campur, tetapi usahlah kita membiarkan perasaan itu berlarutan. Berikut ialah beberapa tip cara mengurus emosi disebabkan berita di media sosial.
1. Ketahui batas di media sosial
Sering mendedahkan diri kepada berita buruk boleh menjejaskan emosi dan mental diri sendiri. Ini boleh menyebabkan anda terperangkap dalam pelbagai emosi, dan membuatkan hilang tumpuan. Menjaga dan mengehadkan diri anda daripada berita menyayat hati boleh membantu.
Elakkan scroll media sosial sebelum tidur dan perkara pertama pada waktu pagi. Ini kerana ia mengaktifkan rasa cemas dalam otak, yang boleh meningkatkan tahap tekanan dan menyukarkan untuk berehat. Perkara ini bukanlah bermaksud bahawa anda tidak peduli, tetapi hanya berniat supaya boleh terus fokus dan menyebarkan kebenaran dan kesedaran.
2. Bernafas dengan teknik betul
Menarik nafas dengan dalam adalah satu tip klasik, tapi terdapat beberapa sains di sebaliknya. Dalam situasi cemas ini, ia tidak boleh dibiarkan. Ambil masa sedikit untuk menfokuskan diri anda bernafas dengan betul.
Pernafasan yang dalam dan perlahan mencetuskan sebahagian daripada sistem saraf di mana dapat merendahkan kortisol dan adrenalin, meningkatkan oksitosin (perasaan yang positif) dan dopamin. Ia akan membuatkan anda berfikir lebih jelas dengan beberapa perspektif.
3. Menggoncangkan badan
Sesetengah orang akan mengalami badan menggeletar kerana ia adalah tindak balas segera kepada trauma dan berita buruk. Tetapi ramai tidak tahu cara berhentikan badan daripada menggeletar kerana anggapan bahawa ia akan berhenti dengan sendirinya.
Salah satu cara ialah dengan menggocangkan seluruh badan terutama sekali tangan. Melakukan perbuatan ini apabila badan menggeletar setelah mendengar peristiwa tertekan atau traumatik adalah baik kerana gegaran membolehkan sistem saraf yang terganggu mengembalikan keseimbangan badan dan minda, memuktamadkan tindak balas tekanan.
4. Luangkan masa dengan diri sendiri, ‘Me Time’
Memandangkan sukar untuk kita mengelakkan berita sama sekali, pertimbangkanlah untuk mengawal apabila anda terlibat dengannya. Selain daripada melihat sosial media, anda mungkin boleh pilih untuk melakukan sesuatu yang sihat untuk diri sendiri seperti menelefon orang tersayang, berjalan-jalan di taman, atau memasak hidangan kegemaran.
Ini akan membantu mengalihkan fikiran anda daripada berita yang membimbangkan dan mewujudkan minda lebih positif dan berdaya tahan, boleh menangani kebimbangan dengan lebih baik.
5. Kelilingi diri dengan orang yang boleh dipercayai
Dikelilingi dengan orang yang boleh dipercayai, mempunyai pengetahuan mencukupi tentang isu semasa boleh menyelesakan dan membantu untuk memudahkan anda memproses emosi diri sendiri. Ini kerana anda boleh tahu info daripada mereka tanpa melihat di sosial media.
Elakkan bersendirian di tempat sunyi seperti di bilik kerana ini akan membuatkan anda berfikir lebih tentang perkara buruk. Mungkin anda boleh mengajak keluarga atau teman yang dipercayai untuk luangkan masa bersama sehingga anda berasa lebih baik. Ia dapat memberi sedikit harapan untuk anda melalui masa sulit ini.
Mungkin sukar untuk kita membantu kerana kita tidak boleh mengawal perkara berlaku tetapi, apa yang kita boleh buat ialah dengan menyebarkan berita dan kesedaran, juga menderma. Kita juga perlu berehat, membantu mengekalkan rasa kesejahteraan kita dengan lebih baik apabila dunia berasa tidak terkawal.
Baca: Selebriti Malaysia Sertai Himpunan Solidariti Palestin di Dataran Merdeka