Musim Banjir kilat dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Selangor dan Negeri Sembilan minggu ini berikutan hujan lebat. EH! kongsikan tip persediaan yang anda perlu lakukan bagi menghadapi banjir.
Banjir boleh berpunca daripada hujan, limpahan sungai dan kegagalan empangan di kawasan yang rendah dan padat dengan geografi penduduk. Banjir boleh menjadi bencana alam yang berbahaya dan meragut nyawa jika tidak melalukan langkah berjaga-jaga.
Banjir boleh merosakkan bangunan dan jalan raya, menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menyebabkan tanah runtuh.
Air banjir juga membawa sisa dan mencemarkan air minuman. Perlu diingat, banjir juga boleh berlaku secara perlahan atau cepat. Lagi-lagi ia adalah banjir kilat kerana ia boleh berlaku secara tiba-tiba dan ganas.
Menjaga persediaan untuk menghadapi banjir kilat merupakan langkah penting untuk memastikan keselamatan dan keselesaan anda dan keluarga terjaga. Berikut adalah beberapa tip untuk persiapan menghadapi banjir kilat:
1. Sediakan Barang Kelangsungan Hidup.
Menyediakan kit makanan tidak mudah rosak (makanan yang tidak mudah reput) dan air minuman yang mencukupi untuk beberapa hari serta ubat-ubatan yang diperlukan, lampu suluh, bateri ganti, pakaian ganti dan bekalan perubatan asas.
2. Dokumen Penting
Simpan dokumen penting seperti kad pengenalan, dokumen harta benda, polisi insurans dan rekod perubatan dalam bekas kedap air atau di tempat yang tinggi supaya anda boleh mengaksesnya dengan mudah apabila diperlukan.
3. Kenalan Kecemasan
Buat senarai kenalan kecemasan termasuk nombor penting seperti nombor kecemasan tempatan, nombor keluarga atau rakan rapat dan nombor perkhidmatan menyelamat. Pastikan semua ahli keluarga tahu cara menghubungi orang tersebut.
4. Perancangan Pemindahan
Buat pelan pemindahan untuk keluarga anda. Ketahui laluan pemindahan selamat dan tempat selamat untuk tinggal sekiranya berlaku banjir. Amalkan tugas setiap ahli keluarga supaya semua orang tahu apa yang perlu dilakukan dan menjaga satu sama lain.
5. Perlengkapan Alat Kit Kecemasan (First Aid Kit)
Sediakan alat kit kecemasan yang mengandungi Kain Kasa (Gauze) , plaster luka, kapas, anduh, pita pembedahan (Surgical Tape), gunting, paracetamol dan ubat tahan sakit (Painkiller).
6. Peralatan Keselamatan
Pastikan anda memiliki peralatan keselamatan seperti pelampung, jaket keselamatan dan peralatan penyelamatan lainnya jika anda akan berhadapan dengan air banjir.
7. Keselamatan Rumah
Jika boleh, kuatkan dinding atau letak penghadang rumah anda dengan cara seperti memasang pam air, pintu air atau mengangkat perabot dan peralatan elektronik penting ke tingkat atas untuk mengelakkan kerosakan air.
8. Pembersihan Saluran Air
Pastikan longkang di sekeliling rumah anda dalam keadaan baik dan tidak tersumbat. Bersihkan longkang daripada timbunan daun atau sampah lain yang boleh menyebabkan air bertakung.
9. Jaga Barang Berharga
Simpan barang-barang berharga seperti dokumen penting, perhiasan dan foto keluarga di tempat yang selamat dan terlindungi dari air.
10. Berita Semasa
Ikuti perkembangan terkini melalui radio atau televisyen tempatan. Maklumat ini akan membantu anda membuat keputusan yang betul apabila menghadapi situasi banjir.