Mahukan ‘mood’ Raya yang moden lagi bergaya di kediaman? Bak superhero, Eric Leong ada tips yang mampu memberikan kuasa magis untuk mengubah kediaman anda!
Kata pereka dalaman terkenal tanah air, Eric Leong, Hari Raya tidak semestinya menjadi alasan untuk menukar segala yang ada di ruang tamu – langsir baru, perabot baru, dekorasi baru…semuanya hendak ditukar baru! Menurut Eric, anda hanya perlu bijak menukar ‘suasananya’ sahaja. Tetapi bagaimana?
Ikuti lapan langkah magical Eric untuk dikongsi bersama anda yang mahukan kelainan untuk kediaman bagi Aidilfitri kali ini.
Kata Eric, tema yang paling hangat masa kini adalah ‘retro’. Memandangkan imbasan retro yang begitu funky dan unik melimpahi dunia fesyen, begitu juga tempiasnya pada industri rekaan dalaman. Jadi, ubahkan suasana kediaman anda ala 70an atau 80an untuk menghidupkan gaya retro yang penuh keceriaan.
Warna yang dinobatkan sebagai Colour of the Year 2011 tentunya kuning sitrus. Selain ronanya yang terang, kuning sitrus juga memancarkan elemen moden juga membuatkan ruang tamu kelihatan lebih nyaman.
Feature wall adalah dinding pertama yang anda terlihat sebaik melangkah masuk ke ruang tamu. Memandangkan terdapat empat dinding bagi setiap ruang kediaman, anda pasti dapat menentukan feature wall yang dimaksudkan.
Kata Eric, tukarkan warna cat dinding utama atau feature wall kepada kuning sitrus. Sementara tiga lagi ruangan dinding dicatkan warna yang lebih cerah seperti putih barli (barley white), beige ataupun putih. Satu lagi tip Eric, cat dinding bagi sesebuah ruang tidak sepatutnya melebihi dua jenis warna.
Jika perabot sedia ada masih baik dan elok, anda tidak perlu membeli yang baru. Sebaliknya susun semula kesemua perabot yang ada untuk memberikan impak kelainan kepada ruang tamu. Namun, jelas Eric, bagi mereka yang tetap mahu membeli perabot baru, anda tidak semestinya perlu membeli set. Sebaliknya, sebuah sofa tiga tempat duduk dan beberapa kerusi ottoman sudah memadai.
Pencahayaan lampu mampu mengubah mood suasana. Untuk menukar gaya ruang tamu, pasangkan warm lights untuk menaikkan lagi seri rekaan dalaman yang diubah. Antara jenis warm lights yang disarankan, tentunya standlights mahupun lampu berjurai, chandelier. Bukan sahaja juraian bak kristal yang bergantungan kelihatan cantik, malah menambahkan lagi gaya eksklusif dalam sesebuah kediaman.
Soft furnishing adalah item penting untuk menambahkan lagi keselesaan dan keceriaan pada sesebuah ruang. Antara item soft furnishing termasuk bantal kusyen, permaidani dan langsir. Jika anda mahukan kesempurnaan rekaan dalaman, pasangkan langsir mengikut warna cat feature wall yang juga menjadi tema rona iaitu kuning sitrus.
Kemudian, jahitkan sarung bantal kusyen menggunakan fabrik langsir dengan motif dan rona yang hampir sama dengan langsir yang anda pilih. Tetapi, perlu ingat, gunakan fabrik yang lembut lagi selesa untuk dipadankan pada bantal kusyen.
Selain bantal kusyen, gunakan fabrik yang sama untuk membalut kerusi ottoman. Selain menjadi tempat duduk, ottoman yang ‘berwajah baru’ itu juga boleh digunakankan sebagai meja. Letakkan dulang di atasnya, dan nah, anda kini mempunyai meja kopi yang ringkas dan chic!
Hiasan untuk rekaan dalaman yang juga dipanggil aksesori menjadi pelengkap kepada pengubahan gaya kediaman anda. Sebagai aksesori menarik sempena Hari Raya, kata Eric, gunakan kain renda mahupun organza dan balutkannya pada bekas kuih raya yang diletakkan di atas meja kopi. Pemilihan ronanya pula, tentunya kuning sitrus. Kemudian, susunkan bekas-bekas kuih yang dihias tadi ke dalam bakul yang turut dihiasi bahan-bahan berona sama.
Langkah terakhir ini memerlukan anda membeli bunga segar untuk menerbitkan suasana yang lebih nyaman dan indah. Antara pilihan bunga tercantik adalah mawar merah atau merah jambu. Kemudian, susunkan aksesori lilin dan letakkannya di atas meja kopi. Bukan sahaja pencahayaan lilin menaikkan seri suasana raya, lilin juga berfungsi sebagai penghalau lalat paling berkesan!
Nah, langkah-langkah ini pastinya memberikan suasana raya yang indah hanya dari kediaman anda. Pastikan anda mencubanya!
Layari laman web Eric Leong untuk mengetahui perkembangan pereka dalaman yang terkenal dengan sifat peramahnya hanya di www.ericleong.com.my!