Merancang honeymoon atau bulan madu sepatutnya menjadi momen yang menyeronokkan dan penuh kegembiraan, tetapi bagi sesetengah pasangan, ia boleh berubah menjadi pengalaman yang menegangkan jika tidak dirancang dengan baik.
Dari memilih destinasi honeymoon yang sesuai, menetapkan bajet, hingga menguruskan penginapan dan jadual perjalanan, setiap langkah memerlukan perhatian dan persediaan rapi.
Tanpa perancangan yang teliti, tekanan dan kebimbangan boleh menggangu kegembiraan awal perkahwinan yang sepatutnya penuh kenangan manis.
EH! kongsi pelbagai tips praktikal dan langkah demi langkah untuk merancang honeymoon tanpa stres.
1. Tetapkan bajet dari awal
Perkara paling utama sebelum merancang apa-apa ialah bajet. Bincangkan bersama pasangan berapa banyak yang ingin dilaburkan untuk honeymoon termasuk tiket penerbangan, penginapan, makanan, aktiviti dan perbelanjaan kecil. Dengan bajet yang jelas, anda dapat elak overspend dan boleh fokus pada kenangan, bukan kiraan duit sepanjang perjalanan.
2. Pilih destinasi yang sesuai untuk berdua
Bukan semua orang sukakan pantai tropika atau bandar besar, jadi pilih destinasi yang menggembirakan kedua-dua pihak. Sama ada percutian santai di resort tepi laut atau pengembaraan di kota Eropah, yang penting ialah mencari keseimbangan antara minat dan keselesaan bersama.

3. Tempah awal untuk tenangkan hati
Tiada yang lebih stres daripada melihat harga hotel melambung atau tiket penerbangan habis. Tempahan awal bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberi ruang untuk merancang aktiviti lain tanpa tergesa-gesa. Selain itu, anda boleh pilih bilik atau tempat penginapan terbaik sebelum ia sold out.
4. Rancang jadual perjalanan yang fleksibel
Honeymoon bukan marathon aktiviti dari pagi sampai malam. Jangan terlalu padatkan jadual, biar ada masa untuk berehat, menikmati suasana atau sekadar lepak di tepi kolam renang. Kadang-kadang, momen paling indah datang dari saat-saat spontan tanpa pelan yang terlalu ketat.
5. Lengkapkan semua dokumen penting
Pastikan semua dokumen perjalanan seperti pasport, visa, insurans dan pengesahan tempahan disimpan dalam satu fail atau folder digital. Satu kesilapan kecil seperti pasport tamat tempoh boleh merosakkan seluruh percutian.
