Di sebalik bunyi enjin yang mengaum dan kelajuan ratusan kilometer sejam, terdapat cabaran besar yang menguji keberanian, fokus serta ketahanan mental setiap pemandu.
Setiap litar Formula 1 mempunyai karakter tersendiri.
Ada litar yang memerlukan pemandu berani mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, ada yang tidak memberi ruang walaupun untuk satu kesilapan kecil, malah ada yang menguji kemampuan fizikal apabila berlumba dalam keadaan cuaca ekstrem.
Jom semak 5 litar Formula 1 paling mencabar di dunia yang menjadi ujian sebenar kepada setiap pelumba:

1. Suzuka Circuit, Jepun
Terletak di Jepun, Suzuka Circuit merupakan salah satu litar paling dihormati dalam sejarah Formula 1. Litar berbentuk angka lapan (figure-eight) ini menjadi kegemaran ramai pemandu kerana reka bentuknya yang unik dan penuh cabaran teknikal.
Dengan panjang 5.807 kilometer, Suzuka mempunyai pelbagai kombinasi selekoh yang memerlukan keseimbangan sempurna antara kelajuan dan kawalan. Bahagian seperti S Curves, Degner Curve dan 130R sering menjadi lokasi yang menguji keberanian pelumba kerana kebanyakan selekoh perlu diambil pada kelajuan tinggi.
2. Circuit de Monaco, Monaco
Jika terdapat satu litar yang menguji keberanian mental pemandu, jawapannya ialah Circuit de Monaco.
Berbeza dengan kebanyakan litar moden yang mempunyai kawasan keselamatan luas, Monaco merupakan litar jalan raya yang dibina di tengah-tengah bandar Monte Carlo. Laluan sempit, selekoh tajam dan penghadang yang sangat dekat menjadikan setiap pusingan penuh dengan tekanan.
Bahagian terkenal seperti Loews Hairpin, Casino Square dan Tunnel memerlukan tahap fokus tertinggi kerana sedikit kesilapan boleh menyebabkan kereta terus menghentam penghadang.
3. Circuit de Spa-Francorchamps, Belgium
Spa-Francorchamps sering dianggap sebagai salah satu litar terbaik dan paling lengkap dalam dunia Formula 1. Dengan panjang 7.004 kilometer, ia merupakan antara litar terpanjang yang masih digunakan dalam kalendar perlumbaan.
Cabaran terbesar Spa hadir melalui perubahan ketinggian dan selekoh ikonik seperti Eau Rouge dan Raidillon. Bahagian ini memerlukan keberanian luar biasa kerana pemandu perlu mengekalkan kelajuan tinggi sambil mengawal kereta melalui cerun yang berubah secara mendadak.
Selain itu, cuaca di Spa terkenal sukar diramal. Hujan boleh turun di satu bahagian litar manakala bahagian lain masih kering, menjadikan strategi tayar sebagai faktor penting.

4. Marina Bay Street Circuit, Singapura
Perlumbaan malam di Singapura terkenal sebagai salah satu cabaran fizikal terbesar dalam Formula 1.
Walaupun kelajuan purata di Marina Bay tidak setinggi litar seperti Spa atau Silverstone, jumlah selekoh yang banyak serta keadaan cuaca panas dan lembap menjadikan perlumbaan ini sangat meletihkan.
Pemandu perlu kekal fokus hampir dua jam dalam suhu kokpit yang tinggi sambil mengawal kereta di antara tembok jalan raya yang dekat. Setiap kesilapan kecil boleh menyebabkan kemalangan dan menamatkan perlumbaan.

5. Silverstone Circuit, United Kingdom
Sebagai salah satu litar tertua dalam sejarah Formula 1, Silverstone mempunyai tempat istimewa dalam dunia perlumbaan.
Litar ini terkenal dengan kombinasi selekoh pantas seperti Maggots, Becketts dan Copse yang memerlukan keberanian tinggi daripada pemandu. Pada kelajuan maksimum, setiap keputusan perlu dibuat dalam masa beberapa saat.
Silverstone juga menguji keupayaan pasukan dalam menyediakan tetapan kereta yang sempurna. Kereta perlu cukup laju di laluan lurus tetapi masih stabil ketika mengambil selekoh pantas.
Baca: Siapa Nah Kai? Model Kacak dalam Muzik Video Baharu JENNIE
