Volvo Cars Malaysia tampil dengan pendekatan berbeza melalui kempen Selamat, yang diterjemahkan dalam pengalaman imersif di Sepang International Circuit menerusi Selamat Driving Experience, satu program yang bukan sekadar tentang memandu, tetapi tentang menyedarkan semula apa itu “selamat” di jalan raya.
Hari ini, keselamatan jalan raya sering dianggap sebagai satu perkara asas yang sudah lengkap dalam setiap kereta moden. Dengan adanya airbag, sistem brek canggih serta pelbagai teknologi bantuan pemandu, ramai mula merasakan mereka sudah cukup selamat di atas jalan raya. Namun hakikatnya, kemalangan tidak pernah berlaku dalam situasi yang boleh dijangka.
Selama dua hari program berlangsung, lebih 240 peserta dibawa keluar daripada zon selesa pemanduan harian mereka dan dimasukkan ke dalam simulasi situasi kecemasan sebenar. Daripada brek mengejut, elakan halangan, hingga situasi kehilangan kawalan kenderaan di permukaan licin setiap senario direka untuk meniru detik sebenar yang sering menjadi punca kemalangan di jalan raya.
XC90 Remuk Buka Mata Tentang Nilai Nyawa

Di tengah ruang pameran, perhatian peserta tertumpu kepada sebuah Volvo XC90 yang dipamerkan dalam keadaan selepas ujian pelanggaran. Struktur badannya yang telah rosak di bahagian sisi membuka gambaran jelas bagaimana tenaga impak sebenar dalam kemalangan diserap dan disalurkan melalui rangka kenderaan.
Struktur badan yang terbuka menunjukkan bagaimana tenaga impak diserap oleh rangka keselamatan, manakala ruang kabin penumpang kekal dilindungi. Ia bukan sekadar demonstrasi teknologi tetapi visual yang membuat ramai berhenti sejenak untuk berfikir. Di sebalik besi yang remuk itu, mesejnya jelas dalam kemalangan, beberapa saat boleh menentukan seluruh hidup seseorang.
SELAMAT Bukan Sekadar Nama Kempen
Volvo menegaskan bahawa Selamat bukan sekadar kempen pemasaran, tetapi satu usaha untuk mengubah cara masyarakat melihat keselamatan jalan raya. Statistik kemalangan di Malaysia setiap tahun terus menjadi peringatan bahawa ribuan nyawa masih terkorban akibat faktor yang sering boleh dielakkan seperti kecuaian, keletihan, dan kurangnya kesedaran situasi. Volvo mahu membina budaya, bahawa setiap pemandu mempunyai tanggungjawab terhadap nyawa sendiri dan orang lain di jalan raya.
Dari Tali Pinggang Hingga Teknologi Moden

Peserta turut dibawa menelusuri sejarah inovasi keselamatan automotif, termasuk penciptaan tali pinggang keledar tiga titik oleh Nils Bohlin satu inovasi yang kini menjadi standard global dan telah menyelamatkan jutaan nyawa sejak diperkenalkan. Hari ini, inovasi itu berkembang kepada sistem bantuan pemandu moden seperti brek kecemasan automatik, kawalan kestabilan dan pelbagai teknologi pencegahan pelanggaran yang semakin pintar.
Simulasi Kick Plate Yang Buka Mata Ramai
Antara latihan paling mencabar adalah kick plate exercise, di mana kenderaan tiba-tiba hilang cengkaman seolah-olah berada di permukaan jalan licin. Peserta perlu bertindak pantas untuk mengawal stereng sambil sistem keselamatan kenderaan bekerja secara automatik. Situasi ini membuat ramai sedar bahawa dalam dunia sebenar, reaksi dalam beberapa saat boleh menentukan hasil akhir. Sebagai perbandingan, demonstrasi turut dilakukan menggunakan model klasik Volvo 240 tanpa sistem keselamatan moden memperlihatkan sejauh mana teknologi automotif telah berkembang.
Kalkulator Selamat Jadi Tumpuan Utama
Selain aktiviti pemanduan, elemen paling memberi kesan dalam program Volvo Cars Malaysia adalah pengenalan Kalkulator Selamat, satu inisiatif interaktif yang dibangunkan bersama Mr Money TV. Berbeza daripada alat biasa yang hanya menunjukkan statistik atau nombor, Kalkulator Selamat direka untuk membantu peserta memahami risiko keselamatan jalan raya dalam bentuk yang lebih peribadi bukan sekadar angka, tetapi realiti hidup sebenar. Melalui platform ini, pengguna boleh menilai potensi risiko berdasarkan situasi pemanduan harian, termasuk faktor seperti jarak perjalanan, kekerapan memandu dan keadaan risiko tertentu.
Namun yang menjadikannya lebih mendalam adalah bagaimana ia menterjemahkan risiko tersebut kepada kesan sebenar bukan sahaja dari sudut keselamatan fizikal, tetapi juga impak kewangan dan emosi kepada keluarga jika berlaku kehilangan nyawa. Apa yang cuba disampaikan melalui Kalkulator Selamat bukanlah ketakutan, tetapi kesedaran. Ia mengajak pengguna melihat bahawa di sebalik setiap statistik kemalangan, terdapat cerita sebenar keluarga yang kehilangan, impian yang terhenti, dan masa depan yang tidak sempat dilalui.
Inilah yang menjadikan pengalaman ini berbeza, ia bukan sekadar mengira risiko tetapi membuka ruang refleksi tentang nilai kehidupan itu sendiri. Dalam masa yang sama, penaja tayar rasmi Pirelli turut berkongsi inovasi melalui rangkaian ELECT™, direka khusus untuk kenderaan elektrik bagi meningkatkan keselamatan, kawalan dan kecekapan tenaga.
Pulang Dengan Satu Kesedaran Baru
Selamat Driving Experience bukan sekadar acara automotif. Ia adalah satu wake-up call yang mengingatkan bahawa keselamatan bukan sesuatu yang boleh diambil ringan. Apa yang paling penting bukanlah seberapa canggih kereta yang dipandu, tetapi seberapa bertanggungjawab seseorang di belakang stereng. Kerana akhirnya, perjalanan paling penting bukan tentang destinasi tetapi peluang untuk pulang semula ke rumah, kepada orang yang menunggu dengan selamat.
Artikel Berkaitan: 5 Kereta Elektrik (EV) Pilihan Gen Z, Cool & Jimat Minyak!





