FOTOGRAFI : ARIFAH / TEKS & PENYELARAS : ANIS HANINI / ARAHANSENI : KHAIRANI RAMLI / SOLEKAN : SAHIR SABRI / RAMBUT : VV (MENGGUNAKAN SHISEIDO PROFESSIONAL)
Minat mendalamnya dalam pendidikan dan memperkuasakan wanita mendorong Pengarah Ekskutif WOMEN:girls ini meneruskan kerjaya dalam bentuk komuniti agar wanita dan gadis lebih berjaya dalam hidup mereka.
Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis atau lebih dikenali sebagai WOMEN:girls ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Low Ngai Yuen sebagai salah satu inisatif di bawah Kakiseni untuk membuat filem tentang wanita. Namun setelah menyedari bahawa isu wanita tidak cukup untuk diutarakan melalui filem sahaja, WOMEN:girls kemudiannya berdiri sebagai entiti sendiri pada tahun 2013. Pertubuhan bukan kerajaan ini juga bertindak sebagai perusahaan sosial yang bekerjasama dengan rakan komuniti seperti Mydin, Procter & Gamble, Standard Chartered, Dove serta Benefit Cosmetics dalam membantu program komuniti mereka. Izza Izelan bertindak sebagai Pengarah Ekskutif WOMEN:girls menjelaskan bahawa pertubuhan bukan kerajaan ini cuba mengajar komuniti cara untuk memperkuasakan wanita agar mereka sendiri boleh menjadi suri teladan.
“Jika anda lihat kepada logo kami, WOMEN:girls seperti nisbah iaitu satu perempuan untuk satu gadis. Ia bermaksud kami ingin membantu untuk membentuk semua wanita agar menjadi suri teladan baik yang mana mereka turut boleh memperkuasakan wanita-wanita lain dalam komuniti mereka. Sebagai contoh dengan gadis, kami memperkuasakan mereka dengan memberikan mereka semangat dan tingkatkan keyakinan mereka apatahlagi kebanyakan gadis-gadis sekarang adalah pengguna tegar media sosial dan teknologi. Mereka melalui masalah yang mungkin generasi sebelum ini tidak lalui antaranya rasa kurang keyakinan yang turut menjadi salah satu faktor utama kecederaan diri yang disengajakan, pembunuhan diri mahupun rasa tidak berguna,” jelas wanita berusia 31 tahun ini. Menjelang akhir tahun ini, WOMEN:girls juga hadir dengan program Kejar Kerja serta Young Changemakers.
“Gadis-gadis ini kebanyakannya akan ujarkan bahawa mereka rasa kurang yakin dengan diri sendiri setelah melihat apa yang mereka lihat di sosial media jauh dengan realiti mereka. Kami di sini bertindak untuk membantu mereka dan buat masa sekarang saya dapat katakan penerimaan amat positif ” – Izza Izelan
Salah satu program yang dijalankan oleh WOMEN:girls adalah Dove Self Esteem Program yang mana pertubuhan bukan kerajaan ini akan melawat beberapa buah sekolah menengah dan berjumpa sendiri dengan gadis berusia 13 hingga 17 tahun. “Antara modul di dalam program tersebut adalah berbicara tentang impak media sosial dan bagaimana untuk atasainya. Gadis-gadis ini kebanyakannya akan ujarkan bahawa mereka rasa kurang yakin dengan diri sendiri setelah melihat apa yang mereka lihat di sosial media jauh dengan realiti mereka. Kami di sini bertindak untuk membantu mereka dan buat masa sekarang saya dapat katakan penerimaan amat positif,” katanya lagi.
“Jujurnya mereka tahu cara untuk memperkuasakan diri mereka. They have it inside them. Cuma mereka tidak mempunyai peralatan atau bimbingan yang sepatutnya dan kami bertindak untuk membantu memberikan mereka sebanyak mana pertolongan yang boleh. Namun apa yang menarik bagi saya, walaupun kami banyak bekerja dengan wanita dan gadis, program kami turut berjaya di kalangan lelaki. Pihak lelaki seperti abang, suami, bapa ataupun rakan-rakan gemar akan program kami kerana mereka punya deria ingin tahu yang kuat. Sebenarnya walaupun program kami khas untuk gadis, lelaki juga dibenarkan untuk sertainya dan pabila kami bersemuka dengan satu masalah tentang gadis, pihak lelaki juga perlu mengambil tahu kerana mereka boleh menjadi sekutu kita dengan membantu untuk melindungi kita ataupun sekadar menjadi warga yang lebih peka tentang sesuatu isu,” tambahnya. Dengan latar belakang sebagai seorang bekas wartawan penyiaran, Izza mula terlibat dengan WOMEN:girls selepas tamat pembelajaran dalam Ijazah Sarjana Pendidikan & Pembangunan Antarabangsa di Institut Pendidikan (IOE) di University College London yang juga merupakan fakulti pendidikan pertama di dunia.
“Cinta pertama saya adalah untuk menjadi seorang guru dan saya pernah menjadi menjadi seorang guru selama tujuh bulan namun diminta oleh ibu dan ayah saya untuk mencuba pekerjaan lain kerana mereka berasakan saya tampak penat. Setelah bekerja dengan Astro selama tujuh tahun saya mengambil keputusan untuk memenuhi kemahuan jiwa saya dan menyambung pengajian. Di United Kingdom saya mengambil subjek yang berkenaan jantina kerana saya memang berminat untuk mendalami tentang penguasaan wanita. Pabila WOMEN:girls mencari orang untuk mengisi posisi pengarah ekskusif saya terus merebut peluang tersebut kerana saya ingin membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya boleh melakukannya,” jelas Izza.
“I sleep better at night knowing that I made a girl smiled today” – Izza Izelan
“This is going to sound bad namun berbanding dengan kerjaya-kerjaya saya sebelum ini, saya rasa lebih ikhlas bekerja di WOMEN:girls. I sleep better at night knowing that I made a girl smiled today. Saya membantu mereka mengubah cara mereka melihat diri sendiri. Saya akui kerjaya ini banyak membuatkan saya lebih bersyukur dengan apa yang saya ada. Kadang kala saya tertekan pabila mendengar masalah wanita lain kerana saya hanya mampu membantu setakat mana yang boleh, namun bayangkan kesukaran mereka yang perlu mereka lalui sendiri setiap hari. Sebagai contoh, ada 16 wanita tinggal di sebuah rumah bersama bayi-bayi kerana mereka di rumah transit, mereka dibuang rumah akibat terlanjur dan sebagainya.
Bukan sahaja menjaga anakanak mereka, mereka turut membantu menjaga anak-anak buangan yang ditinggalkan di hospital. Ini adalah reality sebenar dan hakikat ini menjadi peringatan buat diri agak tidak mudah terlupa,” katanya. Izza juga mengakui walaupun banyak pertubuhan bukan kerajaan selain WOMEN:girls di luar sana yang cuba mengubah komuniti namun ia bukan sesuatu yang mudah dilakukan jika mentaliti masyarakat masih tidak berubah. “Selagi kita tidak mengatasi akar umbi masalah ini, ia akan menjadi domino effect, ia akan terus berlaku. Dalam WOMEN:girls, ahli kumpulan kami rata-ratanya wanita dan gadis dan ada beberapa lelaki yang pada mulanya tidak selesa untuk berbicara perihal wanita seperti isu datang bulan.
Lama kelamaan mereka menjadi lali. Kita perlukan perbicaraan ini di dalam komuniti dan keluarga agar warga lelaki lebih memahami apa wanita dan gadis lalui. Ia penting agar mereka dapat belajar untuk melayan atau lebih menghormati wanita dengan lebih baik. Kita tidak boleh memperjuangkan isu-isu wanita seorang diri, kita juga perlu melibatkan lelaki agar semuanya lebih adil.”