Drama Melayu tahun ini membuktikan bahawa cerita tempatan masih memiliki kekuatan tersendiri dan bukan sekadar hiburan semata, ia kisah hidup yang dekat di hati, mengisahkan cinta, keluarga, dan perjuangan yang mampu menyentuh emosi penonton di setiap episod.
Drama Melayu terus menjadi nadi emosi penonton Malaysia, walaupun dunia hiburan kini dipenuhi kandungan digital dan platform penstriman global, cerita tempatan masih menempah tempat istimewa di hati rakyat. Cerita-cerita ini kekal relevan kerana ia dekat dengan kehidupan seharian, sarat konflik, dan memaparkan realiti yang mudah diserap oleh penonton.
Setiap drama membawa penonton menyelami kehidupan watak-watak dengan emosi yang tulen dan konflik yang mendalam. Penonton bukan sekadar menonton, tetapi turut merasai, berfikir, dan terlibat secara emosional, menjadikan drama Melayu tahun ini bukan sahaja trending tetapi juga fenomena budaya yang terus dibincangkan. EH! senaraikan sepuluh drama melayu paling popular untuk tahun 2025 ini.
1. Keluarga Itu
Keluarga Itu mencuri perhatian besar sepanjang 2025 dan muncul sebagai drama melayu paling trending di Malaysia. Menampilkan barisan pelakon ternama seperti Rosyam Nor, Umie Aida, Fattah Amin dan Izara Aishah, siri ini sarat dengan konflik kekeluargaan serta dilema hidup yang resonan dengan realiti ramai penonton. Naratifnya yang jujur serta lakonan beremosi menjadikan drama ini bukan sekadar tontonan, tetapi fenomena budaya dan perbualan nasional.
2. Curang Tanpa Niat
Drama Curang Tanpa Niat mula ditayangkan pada 23 Disember 2024 hingga 13 Februari 2025 dan popular di media sosial seperti X dan TikTok kerana jalan ceritanya yang realistik dan sarat emosi. Kisah Elina menghadapi pengkhianatan suaminya, Eshaal, dekat dengan realiti ramai penonton, manakala lakonan hebat Mira Filzah dan Shukri Yahaya membuatkan drama ini terus trending. Penonton menyukai drama ini kerana ia mencetuskan perbualan tentang kepercayaan, pengorbanan, dan kekuatan seorang wanita menghadapi konflik rumah tangga.
3. Bidaah
Drama Bidaah telah mencetuskan fenomena di Malaysia dan Indonesia dengan lebih 2.5 bilion tontonan digital. Mengisahkan Baiduri lakonan Riena Diana yang menyelamatkan ibunya daripada ajaran sesat “Jihad Ummah” pimpinan Walid lakonan Faizal Hussein, drama ini menonjol kerana keberanian menyentuh isu sosial dan keagamaan yang jarang dibawa dalam drama Melayu. Plot penuh misteri dan perjuangan menegakkan kebenaran menjadikannya trending, mencetuskan perbincangan hangat di kalangan penonton.
Drama popular terbitan Siti Rosmizah, yang disiarkan di Slot MegaDrama Astro Ria, mencuri perhatian penonton dengan 53 episod yang sarat emosi. Dibintangi Kamal Adli dan Siti Saleha, drama ini mengisahkan perjalanan romantik pasangan Budin dan Cempaka Humairah, menampilkan konflik dan emosi yang dekat dengan kehidupan sebenar. Populariti drama ini melonjak apabila gandingan hebat kedua pelakon utama serta jalan cerita yang menyentuh perasaan, menjadikannya tular di televisyen dan disukai peminat. Selain menonton di TV, peminat juga boleh menjejaki karya asal drama ini dalam bentuk buku fizikal.
5. Dendam Seorang Madu
Dendam Seorang Madu, memikat penonton kerana konflik rumah tangga dan poligami yang sarat dengan pengkhianatan dan dendam. Ia mengisahkan Rayhana lakonan Hannah Delisha yang menuntut bela selepas suaminya lakonan Redza Rosli berkahwin rahsia dengan setiausaha, Izara lakonan Sweet Qismina. Drama ini menonjolkan perebutan harta pusaka, perjuangan hak wanita, dan intrik keluarga yang mendebarkan.
6. Seribu Tahun
Drama Seribu Tahun sarat menampilkan gandingan hebat Azhan Rani, Noorkhiriah, dan Emma Maembong, mengisahkan Imaan Suhana, seorang wanita muda yang hamil hasil hubungan terlarang dan dikhianati teman lelakinya, Azrul. Imaan melarikan diri ke desa terpencil dan berkahwin dengan Shukri, yang membesarkan anak mereka seorang diri sehingga diserang Alzheimer. Kepulangan Imaan untuk menuntut hak penjagaan anak mencetuskan pertempuran emosi yang mendalam, menjadikan drama ini trending kerana jalan ceritanya yang menyentuh hati dan penuh konflik keluarga.
7. Seadannya kita
Drama web Seadanya Kita, yang ditayangkan di Viu, mengisahkan cinta seorang ibu tunggal, lakonan Emma Maembong, dengan penyanyi rock muda, lakonan Mierul Aiman. Drama ini mendapat sambutan hangat dan pujian ramai kerana gandingan hebat kedua pelakon utama, penceritaan yang menarik, serta tema yang dekat dengan realiti remaja dan isu sosial, menjadikannya kegemaran penonton dan trending di platform digital.
8. Hilang Dalam Rindu
Drama Hilang Dalam Rindu, yang disiarkan di Slot Samarinda TV3, dengan lebih 3.5 juta penonton. Adaptasi novel karya Mia Azwari ini menampilkan Tracie Sinidol dan Jazmy Juma, dengan jalan cerita misteri dan romantik yang mendebarkan. Drama ini turut tular di kalangan peminat Indonesia, ramai yang mula mengedit klip di TikTok, menjadikannya trending No. 1 di Malaysia, dan bakal disusuli dengan sekuel kedua.
9. Takdir Cinta Terlarang
Drama Takdir Cinta Terlarang mencuri perhatian penonton tahun ini kerana kisah skandal cinta terlarang yang penuh konflik dan pengkhianatan. Ia mengisahkan Sarah yang secara rahsia berkahwin dengan Kamarul, bapa kepada bekas teman lelakinya, Adham, menimbulkan konflik keluarga yang hancur. Dibintangi Jazmy Juma, Shaza Bae, dan Tony Eusoff, drama ini memikat penonton dengan jalan cerita penuh intrik dan emosi, menyorot dilema moral dan pergolakan hati yang dekat dengan realiti masyarakat.
10. Bahagia Yang Tertangguh
Drama Bahagia Yang Tertangguh di slot MegaDrama Astro Ria menjadi tular kerana kisah cinta, pengorbanan, dan konflik perkahwinan yang dekat dengan realiti. Ia mengisahkan Hana lakonan Nad Zainal yang menghadapi kecurangan suaminya, Zakwan lakonan Izzue Islam, dan kini berdepan dilema antara memberi peluang kedua, membuka hati kepada Armin yang menawarkan cinta tulus, atau memilih kehidupan sendiri.
Artikel Berkaitan: 11 Perkahwinan Selebriti Di Tahun 2025
