Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri drama Korea terus berkembang pesat, menghasilkan siri-siri yang tidak hanya menghiburkan tetapi juga menyentuh pelbagai lapisan emosi penonton. Dari kisah cinta yang penuh drama hingga kepada plot yang penuh aksi dan misteri, K-Drama kini menjadi fenomena global yang merentasi sempadan budaya dan bahasa, dan tahun 2025 ini pasti bakal menjadi tahun yang penuh dengan kejutan bagi peminat K-Drama.
Untuk tahun 2025, lebih banyak drama baharu yang bakal dinanti-nantikan dijangka akan menghiasi skrin TV, membawa jalan cerita yang lebih segar, pelakon-pelakon hebat, dan karya seni yang memukau. Jadi, jika anda seorang peminat tegar K-Drama atau baru sahaja mula memasuki dunia ini, tahun 2025 adalah tahun yang penuh dengan pilihan menarik.
EH! akan mengupas tujuh K-Drama terbaharu yang bakal menghiasi TV anda tahun ini, siap dengan sinopsis, pelakon utama, dan sedikit spoiler! Jadi, bersiaplah untuk merasai perjalanan emosi yang tidak akan anda lupakan!
1. Lovescout
Love Scout adalah drama romantik komedi terbaru lakonan Han Ji-min setelah kerjayaannya dalam drama Behind Your Touch pada tahun 2023. Mengisahkan percintaan yang tidak diduga antara seorang CEO wanita yang tegas dan dedikasi terhadap kerjanya serta setiausahanya yang merupakan seorang bapa tunggal yang cekap menguruskan kehidupan rumah tangga. Dibintangi oleh Han Ji-Min dan Lee Joon-Hyuk, Lovescout menggabungkan elemen profesionalisme dengan kehangatan hubungan peribadi. Dengan konflik yang menarik dan hubungan yang berkembang secara perlahan, drama ini telah menarik perhatian ramai dan kini boleh ditonton di Netflix.
2. When The Stars Gossip
Untuk peminat setia Lee Min-ho, When the Stars Gossip adalah drama yang pastinya akan membuat anda jatuh cinta sekali lagi. Mengisahkan pertemuan tak terduga antara Gong Hyo-jin yang merupakan seorang angkasawan dan Lee Min-ho yang memegang watak Gong Ryong, seorang doktor dengan kehidupan sempurna yang juga calon menantu keluarga chaebol terbesar di Korea, MZ Group. Namun, di sebalik kemewahan hidupnya, Gong Ryong menyimpan misi rahsia yang memerlukannya membayar sejumlah wang untuk menjadi pelancong angkasa. Dari dua dunia yang berbeza dan misi yang saling bertentangan, takdir membawa mereka bertemu di ruang angkasa dan mencipta kisah cinta yang penuh keajaiban.
3. The Queen Who Crowns
Drama terbaru The Queen Who Crowns menjadi pilihan menarik untuk peminat K-Drama tahun ini, terutama dengan lakonan hebat daripada bintang terkenal The Glory. Drama sejarah ini diadaptasi daripada kisah hidup Ratu Wongyeong, isteri kepada Raja Ketiga Dinasti Joseon, Taejong Lee Bang-won, yang berasal dari keluarga kaya pada zaman Goryeo, terpaksa berjuang demi memastikan suaminya, Yi Bang-Won, menjadi Raja Taejong. Namun, selepas Yi Bang-Won menaiki takhta, hubungan mereka mula diuji dengan ketegangan yang semakin memuncak dan politik istana yang semakin panas turut menambah beban dalam hidupnya.
4. Motel California
Motel California adalah drama romantik yang wajib ditonton oleh para pencinta K-Drama! Mengisahkan tentang Ji Gang Hui, seorang wanita yang dibesarkan di Motel milik bapanya di sebuah kampung kecil. Latar belakang keturunan Gang Hui yang berbilang bangsa menyebabkan dia sering dibuli oleh penduduk kampung memutuskan untuk meninggalkan kampung dan mengejar impian sebagai pereka dalaman di Seoul. Belasan tahun kemudian, dia kembali ke kampung dan bertemu dengan rakan masa kecilnya, Cheon Yeon Su lakonan Na In Woo, yang kini bekerja sebagai doktor haiwan. Pertemuan semula mereka membuka kembali perasaan lama yang tersimpan di hati kedua-duanya. Namun, pertemuan itu juga memunculkan konflik dan cabaran baru yang harus mereka hadapi.
5. Unmasked
Unmasked adalah drama yang menyajikan elemen komedi dan penyiasatan, menjanjikan pengalaman tontonan yang penuh kejutan dan keseronokan. Dijadualkan bakal tayang pada 15 Januari 2025, drama ini mengisahkan sekumpulan wartawan penyiasat yang diterajui oleh ketua pasukan, Oh So-Ryong lakonan Kim Hye-Soo yang bertekad untuk mengungkap kebenaran di sebalik pelbagai peristiwa misteri. Dalam usaha mereka menyelamatkan program yang hampir dibatalkan, pasukan ini menyiasat kes-kes yang gagal diselesaikan oleh pihak polis dan pendakwa raya. Salah satu kes yang mereka cuba selesaikan adalah kes kehilangan seorang pelakon terkenal yang sudah hilang selama 20 tahun, sebuah misteri yang telah mencetuskan kontroversi besar.
6. Study Group
Buat pencinta drama adaptasi webtoon, Study Group adalah sebuah drama yang pasti tidak boleh dilepaskan. Dijadualkan tayang pada 24 Januari 2025 di Viu, Study Group mengisahkan tentang Yoon Ga-Min, seorang pelajar yang sering kali berada di kedudukan bawah dalam pencapaian akademiknya. di sebuah sekolah vokasional yang terkenal dengan pelajarnya yang bermasalah. Namun, dia mengimbangi kekurangannya dalam akademik dengan kemahiran bertarung yang luar biasa. Untuk memperbaiki grednya, Ga-Min menubuhkan sebuah study group. Drama ini memaparkan perjalanan hidup Ga-Min yang penuh dengan cabaran, dan perjuangannya untuk berjaya dalam peperiksaan kemasukan universiti.
7. Knock Off
Selepas kejayaan drama Queen Of Tears, Kim Soo-Hyun muncul dengan drama Knock Off yang mengisahkan Kim Seong-Jun, seorang lelaki yang kehidupannya berubah selepas krisis kewangan Asia 1997, atau krisis IMF di Korea yang terpaksa memasuki dunia pengeluaran barangan tiruan. Dari seorang pekerja biasa hingga menjadi naib pengerusi syarikat pengeluaran terbesar. Namun, hidupnya semakin rumit apabila dia berhadapan dengan bekas teman wanitanya, Song Hye-Jeong lakonan Jo Bo-Ah yang merupakan seorang pegawai polis khas yang bertekad membanteras jenayah barangan palsu. Ketegangan antara mereka semakin memuncak apabila cinta dan tugas bertembung, dan masing-masing terpaksa berdepan dengan konflik peribadi serta pilihan yang sukar.
Artikel Berkaitan: Pelakon Korea Dengan Bayaran Tertinggi Tahun 2024