Mengabadikan nama selebriti dalam lagu bukanlah fenomena baharu dalam industri muzik. Daripada ikon Hollywood hingga bintang pop dunia, nama-nama terkenal ini sering menjadi inspirasi, rujukan budaya pop atau sebahagian daripada lirik yang melekat di ingatan pendengar.
Fenomena ini kembali mencuri perhatian menerusi lagu Nicole Kidman nyanyian Adéla yang tular pada tahun ini. Namun, tahukah anda bahawa terdapat banyak lagi lagu popular yang turut mengangkat nama individu terkenal, sama ada menerusi tajuk mahupun liriknya? Berikut EH! senaraikan 10 lagu hit yang menjadikan nama selebriti sebahagian daripada fenomena muzik pop.
1. Nicole Kidman – Adéla
Siapa sangka persiapan ke acara glamor boleh mencetuskan idea sebuah lagu? Adéla mendapat inspirasi untuk lagu Nicole Kidman selepas menghadiri parti sempena Golden Globes dengan gaya berkorset yang membuatkn dirinya terasa seperti bintang Hollywood tersebut. Kekagumannya terhadap Nicole Kidman turut tercetus selepas menonton filem Eyes Wide Shut. Nama aktres itu akhirnya menjadi simbol glamor dan keyakinan diri yang ingin diketengahkan Adéla menerusi lagu ini.
2. Elizabeth Taylor – Taylor Swift
Nama legenda Hollywood, Elizabeth Taylor diangkat Taylor Swift sebagai tajuk lagu dalam album The Life of a Showgirl. Bagi Taylor Swift, Elizabeth Taylor bukan sekadar ikon layar perak, tetapi figura yang turut berdepan perhatian media terhadap kehidupan peribadi dan percintaannya. Persamaan itu menjadi antara tema yang menghubungkan kisah Elizabeth Taylor dengan pengalaman Taylor Swift sendiri sebagai bintang yang sentiasa menjadi perhatian umum.
3. Princess Diana – Ice Spice feat. Nicki Minaj
Gelaran People’s Princess yang sinonim dengan mendiang Puteri Diana turut mendapat tempat dalam dunia rap menerusi lagu Ice Spice. Dilancarkan pada 2023, lagu tersebut menjadi semakin popular selepas menerima remix bersama Nicki Minaj. Walaupun menggunakan nama Diana sebagai tajuk, lagu ini bukan berkisarkan kehidupan sang puteri. Sebaliknya, nama itu menjadi rujukan budaya pop dalam lirik yang menyerlahkan keyakinan dan persona Ice Spice.
4. Vogue – Madonna
Madonna menggabungkan muzik, fesyen dan glamor menerusi lagu Vogue. Menariknya, lirik lagu ini turut menyebut nama beberapa ikon Hollywood seperti Greta Garbo, Marilyn Monroe, Marlon Brando dan Grace Kelly. Kehadiran nama-nama besar ini menghidupkan suasana glamor yang menjadi teras lagu tersebut, sekali gus meraikan legenda yang membentuk budaya popular di Hollywood.
5. Moves Like Jagger – Maroon 5 feat. Christina Aguilera
Pernah tertanya-tanya siapa Jagger yang disebut dalam lagu ini? Nama itu sebenarnya merujuk kepada Mick Jagger, vokalis The Rolling Stones yang terkenal dengan gerakan tarian dan karisma di atas pentas. Frasa moves like Jagger menggambarkan seseorang yang memiliki gaya serta keyakinan sepertinya. Tidak hairanlah nama legenda rock itu menjadi pilihan untuk lagu pop yang meraikan daya tarikan dan kehebatan seseorang ketika membuat persembahan.
6. Madonna – Drake
Drake memilih nama Madonna sebagai tajuk lagu yang dimuatkan dalam mixtape If You’re Reading This It’s Too Late. Sebagai ikon pop yang terkenal dengan imej berani dan pengaruhnya dalam industri muzik, nama Madonna membawa konotasi kemasyhuran serta daya tarikan seorang bintang. Namun, lagu ini bukan menceritakan kehidupan penyanyi tersebut. Sebaliknya, nama itu digunakan dalam konteks lirik Drake sendiri.
7. Dua Lipa – Jack Harlow
Jack Harlow mencuri perhatian apabila menggunakan nama Dua Lipa sebagai tajuk lagunya pada 2022. Sebelum lagu itu dilancarkan, Jack Harlow mendedahkan bahawa dia menghubungi penyanyi tersebut melalui FaceTime untuk memaklumkan tentang tajuk berkenaan. Dua Lipa dikatakan agak terkejut, namun akhirnya memberikan persetujuannya. Nama penyanyi itu menjadi sebahagian daripada pendekatan genit Jack Harlow dalam lagu yang dimuatkan dalam album Come Home the Kids Miss You.
8. Doja – Central Cee
Nama Doja Cat menjadi rujukan dalam lagu Doja oleh rapper British, Central Cee, yang tular di TikTok pada 2022. Penggunaan nama penyanyi itu dalam lirik yang provokatif mencetuskan perbualan dalam kalangan pendengar, sekali gus membantu lagu tersebut mendapat perhatian lebih luas. Namun, jangan tersalah anggap kerana lagu ini bukanlah kolaborasi antara Central Cee dan Doja Cat.
9. Marvin Gaye – Charlie Puth feat. Meghan Trainor
Nama legenda muzik soul, Marvin Gaye, menjadi pilihan Charlie Puth untuk lagu romantik bersama Meghan Trainor. Penggunaan nama itu seiring dengan suasana lagu yang menggoda dan berinspirasikan muzik soul. Menariknya, tajuk tersebut turut berfungsi sebagai permainan kata yang mudah diingati, menjadikan nama Marvin Gaye sebahagian daripada konsep lagu pop yang ringan dan catchy.
10. Party in the U.S.A. – Miley Cyrus
Dalam lagu hit ini, Miley Cyrus menyebut nama Jay-Z dan Britney Spears ketika menggambarkan perasaannya yang gugup sebaik tiba di Los Angeles. Rujukan kepada dua nama besar muzik itu mencerminkan dunia hiburan yang sedang diterokainya ketika itu. Pada 2024, Miley Cyrus turut mendedahkan bahawa lagu Britney Spears yang dibayangkannya dalam lirik tersebut ialah “I’m a Slave 4 U”, memberikan konteks tambahan kepada rujukan yang sudah lama menarik perhatian peminat.
Artikel Berkaitan: Chris Brown Terlepas Hukuman Penjara Susulan Kes Serangan Di London
