Hari Malaysia bukan sekadar tentang mengibarkan Jalur Gemilang atau menyarungkan batik dan sarong. Kadang-kadang, semangat itu hadir melalui sesuatu yang jauh lebih dekat dengan kita iaitu muzik. Cukup satu melodi sahaja untuk membuat satu ruang spontan menyanyi bersama atau mengingatkan betapa berwarnanya Malaysia melalui bunyi, bahasa dan irama.
Sempena Hari Malaysia, apa kata beri sedikit Malaysian flavour pada playlist anda? Tidak semuanya perlu kedengaran seperti lagu rasmi sambutan kebangsaan. Ada yang penuh nostalgia, ada yang cukup feel-good, dan ada juga yang mungkin tidak dicipta sebagai lagu patriotik tetapi sudah begitu dekat dengan identiti serta budaya kita.
Daripada karya yang sudah menemani rakyat Malaysia sejak berdekad lalu sehinggalah lagu yang menjadi sebahagian daripada memori generasi hari ini, EH! himpunkan 10 lagu yang wajib masuk playlist Hari Malaysia anda.
1. Saya Anak Malaysia Nyanyian Dr. Sam
Kalau ada satu lagu yang hanya memerlukan beberapa saat sebelum orang ramai spontan menyambung nyanyiannya, inilah dia. “Saya Anak Malaysia” sudah lama menjadi antara lagu yang cukup sinonim dengan musim sambutan kebangsaan. Melodinya ringkas, ceria dan mudah melekat, sementara mesej tentang identiti sebagai rakyat Malaysia membuatkan karya ini terus relevan merentas generasi.
2. Setia Nyanyian Francissca Peter
Dibawakan dengan vokal Datuk Francissca Peter yang cukup lunak tetapi penuh emosi, lagu ini menjadi antara karya patriotik tempatan yang meninggalkan kesan tersendiri. Melodinya mungkin tidak se-upbeat lagu lain, tetapi “Setia” membawa rasa cinta terhadap negara dengan cara yang lebih tenang dan menyentuh. Tetapi cuba dengar versi yang dinyanyikan semula oleh barisan penyanyi popular tanah air
3. Standing in the Eyes of the World Nyanyian Ella
Sukar bercakap tentang lagu Malaysia yang mampu membangkitkan semangat tanpa memasukkan lagu ini dalam senarai. “Standing in the Eyes of the World”, atau versi Bahasa Melayunya “Berdiri di Mata Dunia”, hadir dengan energy yang tersendiri. Vokal Ella yang cukup powerful, ditambah mesej tentang keberanian dan mengejar kejayaan, menjadikan lagu ini seperti suntikan motivasi dalam bentuk muzik.
4. Sejahtera Malaysia Nyanyian Roy
Satu lagi lagu yang mungkin terus membawa anda kembali ke zaman perhimpunan sekolah. “Sejahtera Malaysia”mempunyai nilai nostalgia yang cukup kuat, khususnya buat mereka yang membesar mendengarnya setiap kali tiba musim sambutan kebangsaan. Lirik dan melodinya sudah begitu familiar sehingga mungkin sudah bertahun-tahun tidak mendengarnya pun, anda masih mampu menyambung beberapa baris.
5. Gemuruh Nyanyian Faizal Tahir
Walaupun tidak dicipta khusus sebagai lagu Hari Malaysia, “Gemuruh” sudah lama mempunyai tempat tersendiri dalam momen-momen yang memerlukan sedikit suntikan semangat. Sebab itulah selepas bertahun-tahun, lagu ini masih menjadi pilihan apabila mahukan suasana yang penuh tenaga.
6. Negaraku Nyanyian Faizal Tahir, Joe Flizzow, Altimet & SonaOne
“Negaraku” wajib masuk senarai. Gabungan Faizal Tahir bersama Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne memberikan sentuhan kontemporari kepada rasa bangga terhadap tanah air. Pertemuan elemen pop, hip-hop dan rap menjadikan semangat Malaysia dalam lagu ini terasa lebih urban, muda dan dekat dengan generasi hari ini.
7. Anak Kampung Nyanyian Jimmy Palikat
Baru intro bermula, rasanya ramai sudah tahu lagu apa yang bakal dimainkan. “Anak Kampung” oleh Jimmy Palikat mungkin bukan lagu patriotik dalam pengertian tradisional, tetapi sukar menafikan kedudukannya sebagai antara lagu dari Sabah yang cukup dikenali di seluruh Malaysia. Ringan, bersahaja dan mudah dinyanyikan bersama, lagu ini terasa tepat untuk dimasukkan dalam playlist Hari Malaysia.
8. Dirgahayu Tanah Airku Nyanyian Liza Hanim
Dengan vokal Liza Hanim yang cukup bertenaga, “Dirgahayu Tanah Airku” membawa rasa bangga dan cinta terhadap Malaysia dalam susunan muzik yang penuh semangat. Lagu ini mempunyai aura patriotik yang kuat, tetapi masih cukup mudah dinikmati dan dinyanyikan bersama. Sesuai dimainkan ketika sambutan Hari Malaysia, karya ini menjadi peringatan tentang rasa syukur dan kasih terhadap tanah air yang kita panggil rumah.
9. Warisan Nyanyian Sudirman
Kalau mahu memasukkan suara legenda Sudirman dalam playlist Hari Malaysia, “Warisan” terasa lebih tepat. “Warisan” membawa kita melihat Malaysia bukan sekadar sebagai tempat kita dilahirkan, tetapi sesuatu yang diwarisi, dijaga dan diteruskan kepada generasi seterusnya. Ditambah pula dengan suara Sudirman yang penuh jiwa, lagu ini menjadi momen yang sedikit lebih tenang dalam playlist tetapi mungkin antara yang paling memberi makna.
10. Joget Malaysia Nyanyian P. Ramlee & Saloma
Kalau mahu menutup playlist dengan suasana yang benar-benar meriah, “Joget Malaysia” memang pilihan tepat. Gabungan dua legenda, P. Ramlee dan Saloma, bersama rentak joget yang rancak membawa pesona Malaysia yang sukar ditandingi. Bayangkan satu gerabak dipenuhi batik, kebaya dan sarong sambil lagu ini dimainkan, terus terasa seperti berada di tengah kemeriahan Keretapi Sarong.
Artikel Berkaitan: 10 Promosi F&B Sempena Hari Malaysia
