Biduanita negara, Datuk Sri Siti Nurhaliza bakal melangsungkan konsert ‘Legacy 30 Siti Nurhaliza’ 10 Januari tahun hadapan, satu persembahan mega meraikan kecemerlangan tiga dekad sebagai penyanyi sanjungan ramai.
Diskografi Siti Nurhaliza sebagai penyanyi cukup luas, pelbagai genre sudah dirakam dan dipersembahkan. Setiap naskhah album punya cerita yang tersendiri di sebalik barisan lagu ciptaan puluhan komposer dan penulis lagu. Dalam membilang detik tibanya tanggal 10 Januari, saya mahu berkongsi 10 lagu ‘side-B’ yang jarang sekali Siti Nurhaliza nyanyikan, dan sebahagiannya tidak popular kerana ia bukanlah singles utama. Namun siapa tahu, jika Siti Nurhaliza membaca artikel ini, dia akan memasukkan satu dua lagu di dalam setlist ‘Legacy 30 Siti Nurhaliza’ nanti.
Demi Kasih Kita- Siti Nurhaliza II
Lagu yang diselitkan di dalam album kedua Siti Nurhaliza juga dipilih menjadi lagu tema bagi filem ‘Iman Alone’, dibintangi oleh Norish karman dan diarahkan oleh Datuk Rahim Razali. Lagu ini tidak mempunyai melodi patah hati seperti ‘Kesilapanku Keegoanmu’ ataupun ‘Wajah Kekasih’, tapi saya percaya ia mempunyai melodi malar segar yang membuatkannya ‘boleh layan’ sampai bila-bila. Siti menulis sendiri lirik lagu ini.
“Kumaafkan segalanya
Kesalahan dirimu
Demi kasih kita”
Beradu Di Khayalan – Safa
Lagu ini seingat saya adalah naskhah pertama yang Aubrey Suwito ciptakan untuk Siti Nurhaliza. Kerjasama pertama yang disusuri dengan ‘Bisakah’, ‘Lebih Indah’ dan yang terkini ‘Sehebat Matahari’. Kelebihan Aubrey ialah dia boleh mencipta bunyi-bunyian yang kedengaran ‘mahal’ dan ia terbukti menerusi lagu ini.
“Izin ‘ku menyelami segenap penjuru
Agar tak mungkin cinta ‘kan terus membeku”
Kau Ku Sayang – Safa
Lagu yang terkandung di dalam album Safa ini, dicipta oleh Pot, salah seorang anggota kumpulan Innuendo. lagu ini juga diselitkan di dalam album Innuendo, namun ditukar judulnya kepada ‘Tidur Sayang’. Sebagai seorang peminat R&B, I just love this song so much!
“Tak mungkin kumelupakan sebegini pengalaman
Lalu hatipun berkata segala untukmu”
Untuk Selamanya- E.M.A.S
Sebagai salah seorang penggemar filem Laila Isabella, masakan saya tidak meletakkan lagu ini di dalam senarai ini. Masih terbayang babak di atas tangga Datuk Rosyam Nor memakaikan rantai di leher Nasha Aziz. Lagi satu tarikan saya pada lagu (video muzik) ini ialah gaya rambut Siti Nurhaliza yang dikerat paras bahu, so fresh!
“Mungkin bahagia atau derita
Takdir ku terima”
Cinta Tak Berganti- Prasasti Seni
Bagi saya Siti Nurhaliza memang bijak menulis lirik seperti ‘Biarlah Rahsia’, “Bukan Cinta Biasa’, ‘Percayalah’ dan termasuklah yang lagu yang dicipta oleh Iman Wan ini. Dari penulisannya saya fikir Siti Nurhaliza adalah seorang yang romantis. Saya tiada sebab yang boleh dijelaskan mengapa saya sukakan lagu ini, I just love it!
“Ikrar kita mengharungi badai sakti
Mencari sinar kasih suci
Walaupun nafasku ini pasti terhenti”
Pejam Matamu- Prasasti Seni
Saya masih ingat lagi sewaktu kali pertama mendengar lagu ini (2004), saya terus rasa terikat, kerana saya mudah terpikat pada lagu yang kedengaran ringkas. Walaupun dianggap sebagai single pertama dari prasasti Seni namun lagu ini tidak menjadi pilihan untuk dimainkan oleh radio berbanding Dialah Di Hati. Lagu easy listening sebegini memang mudah masuk ke dalam playlist saya. Lagu ini dicipta oleh G Nola (Along Exist) dan Siti Nurhaliza menulis liriknya, dan dia berbicara tentang menjadi positif selepas melalui hari-hari yang suram.
“Gapailah setiap citamu
Dan kenal isi kulitmu
Kan ada hidup yang baru”
Melawan Kesepian- Hadiah Daripada Hati
‘Hadiah Daripada Hati’ adalah album Siti Nurhaliza kesukaan saya. Apa yang menarik saya untuk menyukai lagu ini adalah pada liriknya, ia membuat kita merenung tentang kehidupan, untuk bangkit biar apa pun yang terjadi dalam kehidupan. Setiap pengalaman dalam hidup adalah pelajaran untuk kita menjadi seorang yang lebih baik.
“Nanti kita kan tahu
Betapa bijaknya hidup
Sepahit apapun ini
Pelajaran yang berarti”
Sekian Lama- Hadiah Daripada Hati
Saya memang sukakan lagu-lagu tulisan Azlan Abu Hassan. Saya selalu senang dengan ‘vibes’ lagu-lagunya termasuklah lagu ini. Saya ada dua tiga teman rapat yang ‘obses’ dengan lagu ini. Kawan saya kata, ‘lagu feeling feeling’. Bagi saya melodi dan lirik lagu ini berdamping erat dengan sempurna.
“Sukarnya membutir kata-kata
Menilai apa yang aku rasa”
Mula Dan Akhir- Fragmen
Secara peribadinya saya merasakan Fragmen antara naskhah Siti Nurhaliza yang cukup rasa selepas Transkripsi. Ia dibarisi lagu berkualiti termasuklah lagu ini. Lagu yang mengingatkan diri bahawa dunia ini hanyalah satu persinggahan. Lirik lagu memang membuka mata, mengejutkan saya dari ‘lena’, reminder untuk berbuat baik.
“Seketika di sini
Persinggahan mencari erti
Sebelum waktu terhenti”
Bersandar Cinta- SimetriSiti.
Ya lagu ini dijadikan single untuk album SimetriSiti tetapi saya rasa lagu ini tidak mendapat keadilan sebaiknya. Gandingan serasi AD Samad dan Aubrey Suwito sering saja menghasilkan lagu yang cukup rasa (Layarlah Kembali- Dayang Nurfaizah), dan lagu ini tak terkecuali. Untuk lagu ini saya sering memutar versi ‘live’ yang dipetik dari persembahan Siti Nurhaliza di Aubrey Suwito and Friends with the Malaysian Phillharmonic Orchestra.
“Jika kau sepi kuingin jadi
Melodi yang bererti”
Menanti Pasti- Runut Bunyi Filem Kayangan
Lagu ini adalah runut bunyi bagi filem ‘Kayangan’ lakonan Nur Fazura. Lagu ini dicipta oleh Ajai, liriknya pula mendapat sentuhan Abie Abdullah. Saya kembali memberi perhatian kepada lagu ini bila video Dayang Nurfaizah menyanyikan lagu ini di Anugerah Planet Muzik muncul di garis masa TikTok. Kedua-dia versi, baik Siti dan Dayang saya suka.
“Kesepian hati ini mengundang derita,
Penantian satu seksa bila tanpa balas”
BACA: Cover Story Edisi Sulung EH! Bersama Datuk Sri Siti Nurhaliza