Penyanyi popular kelahiran Kedah, Yunalis Zarai atau lebih dikenali dengan Yuna kini sudah selamat bergelar tunang kepada jejaka pilihannya iaitu Adam Sinclair, adik kepada Ashraf Sinclair.
Menerusi laporan Astro Gempak, Yuna dikatakan telah pun mengemaskini profil Tumblr miliknya dengan luahan hati buat bakal suaminya, Adam. Terselit disebalik tulisannya itu, Yuna ada berkongsi sedikit cerita tentang momen perkenalan mereka serta sebab dia menerima adik kepada Ashraf dan Aishah Sinclair.
EH! kongsikan di bawah.
“Saya jatuh cinta dengan kawan baik saya, namun dia tidak pernah mengejar saya.
“Dia meragui saya. Itu bermakna yang dia sangat berhati-hati dalam soal membawa masuk seseorang ke dalam hidupnya.
“Dia tidak pernah berbisik kata-kata manis ke telinga saya. Dia hanya menjawab panggilan telefon apabila saya menelefonnya.
“Dia tidak pernah bermegah-megah dengan hubungan kami di media sosial. Saya bukannya sesuatu permainan baru buatnya tetapi saya seakan satu permata yang tersembunyi.
“Dia tidak meletakkan saya yang teratas kerana dia masih mempunyai ibu bapa, anak sedara, adik-beradik, kesihatan dan kehidupannya sendiri.
“Dia tidak pernah cemburu jika saya berhubung dengan teman atau bekerja dengan lelaki lain kerana dia beri kebebasan untuk saya belajar.
“Dia tidak kisah saya mempunyai pengikut seramai dua juta di Twitter tetapi dia tahu kesemua 10 orang teman rapat yang saya ada serta semua nama mereka.
“Dia tidak ingat judul-judul lagu saya, tetapi dia ingat kesemua tarikh hari lahir anak-anak saudaranya.
“Dia tidak melupakan teman-temannya hanya untuk saya kerana sahabatnya sentiasa ada bersamanya pabila dia memerlukan mereka di sisi sebelum saya muncul dalam hidupnya.
“Dia tidak akan serta-merta menyetujui pandangan saya kerana jika saya salah dia akan menegur tetapi jika saya betul, dia akan menerimanya,” tulis Yuna.
Bahkan, penyanyi yang sudah menerpa nama di pentas antarabangsa itu turut mengakui yang Adam telah mengubah pandangannya mengenai sesebuah hubungan cinta.
“Selama ini saya fikir lelaki akan meluahkan rasa cintanya, membawa sejambak bunga, menghantar surat cinta, berhabisan hidupnya hanya untuk seorang wanita,” tulisnya lagi.
Yuna sebenarnya telah dirisik dalam sebuah majlis tertutup pada 27 Mac lalu. Pasangan ini sudah selamat bertunang pada Sabtu lalu yang bertarikh 5 Ogos 2017.

Di majlis itu, Yuna menerima lima dulang hantaran dan membalas tujuh dulang kepada pihak Adam.
Yuna dan Adam mula kenal pada tahun 2013 dan kemudian mula rapat pada tahun 2015.
EH! mengucapkan tahniah buat Yuna dan Adam Sinclair. Semoga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan menuju hari bahagia nanti.