Deepavali, atau dikenali juga sebagai Diwali, semakin menghampiri dan seluruh masyarakat berbilang kaum di Malaysia sudah mula merasai kemeriahannya!
Dikenali sebagai Perayaan Cahaya, Deepavali melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, dan harapan yang sentiasa menyinari kehidupan.
Bagi masyarakat India, Deepavali bukan sekadar perayaan agama, tetapi juga masa untuk keluarga berkumpul, menghiasi rumah dengan kolam berwarna-warni, menyalakan pelita, dan menjamu selera dengan hidangan tradisional seperti murukku, laddu dan tosai. Suasana semakin meriah apabila muzik Tamil rancak berkumandang, pakaian berwarna cerah digayakan, dan senyuman mewarnai setiap rumah terbuka.
Sambil kita menantikan ketibaan Deepavali tahun ini, jom kenali beberapa selebriti berbangsa India terkenal di Malaysia.
1. Jaclyn Victor
Dilahirkan di Kepong, Kuala Lumpur, Jaclyn Victor mula aktif dalam dunia seni selepas menjuarai Malaysian Idol musim pertama pada tahun 2004.
Kejayaan itu membuka jalan luas buatnya dalam industri muzik tempatan. Dengan vokal lantang dan teknik nyanyian yang mantap, Jaclyn telah memenangi pelbagai Anugerah Industri Muzik (AIM). Lagu Gemilang menjadi simbol kejayaannya hingga ke hari ini, menjadikan beliau antara penyanyi wanita paling disegani di Malaysia.
2. Sangeeta Krishnasamy
Pelakon cantik berusia 40 tahun ini berasal dari Kuala Lumpur dan mula aktif sekitar tahun 2009. Namanya melonjak naik selepas membintangi filem inspirasi Adiwiraku, yang memenanginya anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29.
Jika anda sempat menonton Spanar Jaya X y dan Oh My English Level Up!, pasti terhibur dengan jenaka Sangeeta Krishnasamy yang bersahaja.
3. Yogi B (Yogeswaran Veerasingam)
Ikon hip-hop Malaysia ini memulakan kariernya pada awal 1990-an sebagai ahli kumpulan Poetic Ammo. Dilahirkan di Kuala Lumpur, Yogi B dianggap pelopor muzik Tamil hip-hop di Malaysia.
Gabungan muzik moden dan budaya Tamil menjadikan karyanya unik, dan beliau turut memenangi Behindwoods Gold Mic Music Awards pada tahun 2019.
4. Reshmonu (Hiresh Haridas)
Anak kelahiran Melaka ini mula aktif sekitar 1994 dan dikenali kerana suara soul dan gaya R&B yang jarang diterokai penyanyi tempatan.
Lagu-lagu seperti Itβs You That Matters dan Cintaku Pergi menjadikannya idola bagi generasi muda. Reshmonu turut memenangi pelbagai anugerah seperti VIMA dan AIM dan melayakkan beliau menjadi juri rancangan nyanyian.
5. Thanuja Ananthan
Bekas Miss World Malaysia 2009 ini bukan sahaja cantik tetapi juga bijak dan berjiwa aktivis. Thanuja, yang berasal dari Kuala Lumpur, mula dikenali sebagai model dan kini aktif sebagai pelakon serta hos.
Selain dunia hiburan, beliau juga aktif dalam kerja amal dan pemeliharaan alam sekitar, menjadikannya figura inspirasi kepada wanita muda di Malaysia.
6. Rabbit Mac (Charles John Macallum)
Dilahirkan di Pulau Pinang, Rabbit Mac mula mencipta nama sejak tahun 2005 melalui kumpulan PSYCHO.unit. Beliau dikenali sebagai penyanyi, rapper dan penerbit muzik Tamil yang berjaya mencipta fenomena di Asia Selatan.
Dengan ribuan peminat setia di media sosial, beliau sangat terkenal di Malaysia, India, Singapura, Kanada dan Sri Lanka. Rabbit Mac telah mengeluarkan 3 album dan telah kolaborasi dengan artis lain dalam lebih 50 buah lagu.
7. Santesh Kumar
Dilahirkan di Selangor, Santesh mula mencipta fenomena apabila lagu Amalina meletup di seluruh negara pada 2018. Beliau kini dikenali sebagai antara penyanyi India paling berjaya menembusi pasaran arus perdana Malaysia.
8. Kavita Sidhu
Model dan pelakon kelahiran Ipoh ini menjuarai Miss Charm International 1990. Wajahnya yang begitu fotogenik menjadi rebutan majalah-majalah Malaysia seperti Her World, Female, Jelita dan Wanita untuk kulit hadapan. Bukan sekadar dimedia cetak, malahan di kaca televisyen juga Kavita sering muncul.
9. Shalini Balasundaram
Anak seni muda ini mula mencipta nama sejak 2014 sebagai pelakon dan pengarah. Filem arahannya Geethaiyin Raadhai menjadikannya antara sutradara wanita Tamil pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan meluas.
10. Neeta Manis
Penyanyi, pelakon dan personaliti serba boleh, Neeta Manis atau nama penuhnya Neeta Manishaa Manogaran berasal dari Sungai Petani Kedah. Beliau mula mencipta nama sebagai vokalis kumpulan IAmNeeta, sebelum melonjak ke arus perdana menerusi Big Stage 2019 di mana beliau dinobatkan sebagai naib juara.
Baca: 5 Selebriti Antarabangsa Terima Gelaran Datuk di Malaysia