HYROX fever!
Kalau sejak kebelakangan ini media sosial anda dipenuhi video orang berlari, menolak sled, mengangkat beban dan berpeluh sakan dalam dewan besar, besar kemungkinan anda sedang melihat fenomena HYROX.
HYROX kini semakin popular kerana menggabungkan larian sejauh 8 kilometer dengan lapan stesen workout yang menguji kekuatan dan stamina.
Malah, popularitinya semakin ketara apabila kira-kira 1,000 peserta dari Malaysia dilaporkan mengambil bahagian dalam HYROX Jakarta pada Jun 2026.
Menariknya, Malaysia bakal menjadi tuan rumah acara HYROX buat kali pertama menerusi AirAsia HYROX Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Disember 2026.
Peserta bakal berdepan format standard iaitu larian sejauh 8 kilometer yang diselang-selikan dengan lapan stesen workout.
Jadi, siapa antara selebriti dan pempengaruh Malaysia yang sudah terlebih dahulu mencuba cabaran ini?

1. Ikmal Amry
Kalau bercakap tentang selebriti Malaysia yang paling sinonim dengan HYROX ketika ini, Ikmal Amry sememangnya antara nama yang wajar berada dalam senarai.
Pelakon ini bukan sekadar mencuba sekali. Ikmal dilaporkan mula menyertai HYROX di Bangkok dan kemudiannya aktif menyertai pertandingan di beberapa negara termasuk Singapura, Jepun dan China.
Malah, Ikmal sendiri mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai HYROX semata-mata kerana FOMO kerana perlumbaan ini memerlukan persediaan dan latihan yang rapi.

2. Amir Ahnaf
Nama Amir Ahnaf pula semakin mencuri perhatian selepas menyertai HYROX di Jakarta.
Menariknya, pelakon ini bukan orang baharu dalam dunia sukan. Amir pernah menjadi pemain ragbi Terengganu dan pernah terpilih untuk Sukma serta barisan pemain Malaysia.
Dia juga sudah menyertai HYROX sebanyak dua sesi di Jakarta, menjadikan pengalaman sukannya satu kelebihan apabila berdepan perlumbaan yang memerlukan kekuatan dan stamina.

3. Hairul Azreen
Kalau ada selebriti yang memang sinonim dengan aktiviti lasak, nama Hairul Azreen tentunya tidak mengejutkan. Hairul menyertai HYROX bersama Dini Schatzmann dan berjaya menamatkan perlumbaan tersebut dalam masa 1 jam 7 minit.
Namun, Hairul mengakui perlumbaan pertamanya bukan mudah. Dia pernah terfikir untuk berhenti sebelum kembali mendapat semangat daripada Dini sebagai partner.

4. Dini Schatzmann
Dini Schatzmann turut menyahut cabaran HYROX dan bergandingan bersama Hairul Azreen dalam kategori Doubles.
Selain aktif dalam dunia hiburan, Dini juga dikenali dengan gaya hidup yang mementingkan kecergasan. Penyertaannya dalam HYROX menunjukkan bahawa dia bukan sekadar melakukan workout untuk penampilan, tetapi sanggup menguji kemampuan dalam pertandingan sebenar.

5. Aedy Ashraf
Aedy Ashraf juga antara pelakon yang mencuri perhatian ketika HYROX Jakarta.
Bersama Meerqeen, Hairul Azreen dan Aedy antara nama selebriti Malaysia yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.

6. Meerqeen
Satu lagi nama yang menjadi perhatian di HYROX Jakarta ialah Meerqeen. Pelakon popular itu turut mencabar dirinya dalam acara yang menggabungkan larian dan latihan fungsian tersebut.

7. Shazabae & Adriana Adnan
Kalau ada pasangan HYROX yang membuktikan bahawa anda tidak semestinya perlu berbulan-bulan berlatih untuk mencuba, kisah Shazabae dan Adriana Adnan memang menarik perhatian.
Bagi Adriana, HYROX Jakarta merupakan perlumbaan keduanya, manakala ia menjadi debut HYROX pertama Shazabae. Menariknya, kedua-duanya hanya sempat menjalani latihan bersama sebanyak dua kali kerana jadual penggambaran yang padat.
Malah, Shazabae mendedahkan persiapannya hanya berlangsung sekitar tiga minggu, di celah jadual kerja dan perjalanan dari Perak ke Terengganu. Dia juga sempat mengalami kecederaan lutut selepas terjatuh di tempat letak kereta dan muntah akibat tidak cukup rehat sehari sebelum perlumbaan.
Walaupun tidak sempat membuat simulasi penuh bersama, kedua-duanya tetap berjaya menamatkan cabaran tersebut.
Bagi Shazabae, pengalaman itu cukup merendah diri dan menjadi satu pencapaian yang membanggakan. Adriana pula menyifatkan kejayaan mereka sebagai sesuatu yang patut diraikan walaupun persiapan bersama sangat terhad.

8. Elisya Sandha
Pelakon Elisya Sandha pula membuktikan bahawa HYROX bukan sekadar tentang kekuatan fizikal, tetapi juga memerlukan peserta memahami strategi perlumbaan dengan betul.
Dalam pengalamannya menyertai HYROX, Elisya mengakui dia secara tidak sengaja berlari satu pusingan tambahan pada stesen pertama. Kesilapan kecil itu akhirnya membuatkan dia sudah kehabisan tenaga ketika sampai ke bahagian sled pull sehingga hampir pengsan.
Namun begitu, Elisya tetap meneruskan perlumbaan dan berjaya menamatkannya bersama rakan-rakannya.

9. Adib Aidil
Bagi golongan yang mengikuti dunia digital tempatan, Adib Aidil juga bukan nama asing. Selain dikenali sebagai content creator dan juruterbang, Adib turut aktif berkongsi gaya hidup serta kecergasan dan menariknya, selepas akad nikah bersama pasangan, Nurul Nadhirah Zaini, pasangan ini meluangkan masa ‘honeymoon‘ di HYROX. So sweet!

10. Ayra Messi
Turut menyahut cabaran HYROX ialah Ayra Messi, yang menjalani latihan selama beberapa minggu sebelum turun bertanding.
Ayra menyertai HYROX bersama Elisya Sandha, namun pengalaman perlumbaannya ternyata jauh lebih mencabar daripada apa yang mungkin kelihatan di media sosial.
Selepas berjaya menghabiskan cabaran HYROX, Ayra dilaporkan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. Perkara ini sekali lagi menunjukkan bahawa HYROX bukan pertandingan yang boleh dipandang ringan, setiap peserta perlu mempunyai persediaan fizikal yang mencukupi dan mengetahui had kemampuan diri.
Baca: 10 Oktober 2026 Jadi Pilihan, Bella Astillah & Syed Saddiq Bakal Disatukan
