Kalau sebut Formula 1, pasti ramai terus membayangkan deruman enjin, aksi memotong di selekoh, pit stop sepantas kilat atau wajah para pemandu yang sentiasa menjadi perhatian kamera. Namun, di sebalik hiruk-pikuk litar, ada satu lagi yang tidak kurang menarik perhatian iaitu barisan WAG F1 yang turut memiliki jutaan pengikut di media sosial.
Istilah WAG, singkatan kepada Wives and Girlfriends, yang sememangnya sudah lama digunakan dalam dunia sukan termasuk Formula 1. Namun, WAG era moden kini bukan sekadar dikenali kerana menjadi pasangan kepada seorang atlet. Sebahagian daripada mereka sudahpun mempunyai pengaruh besar sebelum menjalin hubungan dengan pemandu F1.
Ada antara mereka yang mempunyai jumlah pengikut Instagram berkali-kali ganda lebih ramai berbanding pasangan masing-masing. Populariti mereka juga menjadikan setiap kemunculan di paddock, pilihan fesyen dan perkongsian di media sosial tidak kurang mendapat perhatian peminat.
Jadi, siapa pula WAG F1 yang mempunyai jumlah pengikut Instagram paling ramai? Jom EH! senaraikan!
1. Kim Kardashian (344 Juta Pengikut)
Dengan sekitar 344 juta pengikut Instagram, Kim Kardashian sememangnya mendominasi senarai ini. Namanya semakin menjadi perhatian peminat F1 selepas hubungannya dengan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton. Hubungan mereka mula mendapat perhatian umum selepas Kim berkongsi foto percutian romantik bersama Lewis di Paris. Namun, sebelum dikaitkan dengan Lewis, Kim sudah pun dikenali sebagai selebriti global dan mempunyai pengaruh besar dalam dunia hiburan.

2. Alexandra Leclerc (5.6 Juta Pengikut)
Dengan 5.6 juta pengikut Instagram, Alexandra Leclerc merupakan antara WAG F1 yang paling mencuri perhatian. Sebelum ini dikenali sebagai Alexandra Saint Mleux, dia mendirikan rumah tangga dengan bintang Ferrari, Charles Leclerc, pada Februari 2026 di Monaco. Alexandra turut mempunyai latar belakang dalam sejarah seni dan dikenali dengan gaya fesyen yang tersendiri. Kehadirannya di paddock juga sering menjadi perhatian, selain fesyen dan kehidupan hariannya.

3. Margarida Corceiro (2.6 Juta Pengikut)
Margarida Corceiro atau lebih mesra disapa Magui antara nama yang cukup dikenali dalam kalangan peminat F1. Pelakon dan model dari Portugal itu mempunyai sekitar 2.6 juta pengikut Instagram. Namanya menjadi perhatian selepas dikaitkan secara romantik dengan Lando Norris, sekali gus mencetuskan minat peminat terhadap kehidupan peribadinya. Namun, Magui sememangnya sudah mempunyai pengaruh tersendiri menerusi kerjayanya sebagai pelakon, model dan personaliti media sosial.

4. Kelly Piquet (2.6 Juta Pengikut)
Berasal daripada keluarga yang cukup sinonim dengan Formula 1, Kelly Piquet merupakan anak kepada legenda F1 dan juara dunia tiga kali, Nelson Piquet. Tidak hairanlah dunia perlumbaan sudah sebati dalam hidupnya sejak kecil. Kelly kini menjalin hubungan dengan juara dunia F1, Max Verstappen dan mereka turut dikurniakan seorang anak perempuan. Mempunyai sekitar 2.5 juta pengikut Instagram, Kelly juga membina kerjaya sendiri dalam bidang pemodelan, fesyen dan gaya hidup.

5. Maia Reficco (2.1 Juta Pengikut)
Pelakon dan penyanyi Argentina-Amerika, Maia Reficco, turut membawa glamor dunia hiburan ke paddock F1. Dengan lebih 2.1 juta pengikut Instagram, Maia sememangnya mempunyai pengaruh tersendiri sebelum dikaitkan dengan pemandu Argentina, Franco Colapinto. Dikenali menerusi kerjaya lakonan dan muzik, hubungan Maia dan Colapinto turut mencuri perhatian media serta peminat Formula 1. Kini, setiap kemunculannya bersama Colapinto tidak pernah terlepas daripada perhatian peminat.

6. Lily Muni He (1.56 Juta Pengikut)
Tidak semua WAG F1 datang dari dunia hiburan. Lily Muni He merupakan pemain golf profesional dari China yang mempunyai sekitar 1.56 juta pengikut di Instagram. Lily menjalin hubungan dengan pemandu Williams, Alex Albon dan pasangan itu mengumumkan pertunangan pada Januari 2026. Di Instagram, dia sering berkongsi tentang golf, fesyen dan kehidupan peribadi, menjadikannya antara WAG F1 dengan pengikut media sosial yang cukup besar.

7. Kika Gomes (1.1 Juta Pengikut)
Kika Gomes merupakan model dan influencer dari Portugal yang menjalin hubungan dengan pemandu Alpine, Pierre Gasly. Sebelum dikenali sebagai salah seorang WAG F1, Kika terlebih dahulu membina nama dalam dunia peragaan dan fesyen. Mempunyai sekitar 1.1 juta pengikut di Instagram, Kika sering berkongsi kandungan berkaitan fesyen dan gaya hidup. Kehadirannya di acara fesyen antarabangsa juga menjadikan Kika antara wajah yang semakin dikenali di luar paddock F1.

8. Carmen Montero Mundt (840 Ribu Pengikut)
Carmen Montero Mundt telah menjalin cinta bersama pemandu Mercedes, George Russell, sejak 2020 sebelum pasangan itu mengumumkan pertunangan pada 2026. Mempunyai latar belakang dalam bidang kewangan, Carmen turut membina identiti sendiri di luar dunia Formula 1. Kini dengan sekitar 840,000 pengikut Instagram, kemunculannya di paddock, terutama ketika perlumbaan besar, sering mencuri perhatian peminat dan media.

9. Rebecca Donaldson (800 Ribu Pengikut)
Model dari Scotland, Rebecca Donaldson merupakan pasangan kepada pemandu Williams, Carlos Sainz. Sebelum hubungannya dengan Carlos menjadi perhatian, Rebecca terlebih dahulu membina nama dalam dunia peragaan dan fesyen. Di Instagram, Rebecca mempunyai lebih 800,000 pengikut dan sering berkongsi kandungan berkaitan fesyen, kecantikan serta gaya hidup. Hubungannya dengan Carlos turut menarik perhatian peminat Formula 1, apatah lagi pasangan ini dilihat cukup berhati-hati dalam berkongsi kehidupan peribadi mereka kepada umum.

10. Flavy Barla (303 Ribu Pengikut)
Nama Flavy Barla mungkin tidak sepopular sesetengah WAGs Formula 1 yang lain, namun dia mempunyai pengikut tersendiri di media sosial. Flavy merupakan pasangan kepada pemandu Alpine, Esteban Ocon, dan sering berkongsi sisi kehidupannya menerusi Instagram. Kandungannya banyak berkisar tentang fesyen, perjalanan, gaya hidup serta momen bersama pasangan. Dengan lebih 300,000 pengikut, Flavy juga semakin mendapat perhatian dalam kalangan peminat Formula 1.

Artikel Berkaitan: Lucu & Mencuit Hati! Ini 5 Gelagat Pelumba F1 Datang Malaysia
