ARMY Malaysia, kiraan detik secara rasmi bermula! Tinggal 100 hari sahaja lagi sebelum RM, Jin, SUGA, j-hope, Jimin, V dan Jung Kook kembali menggegarkan Kuala Lumpur menerusi BTS WORLD TOUR ‘ARIRANG’.
Selepas penantian panjang, BTS akhirnya bakal kembali bertemu ARMY Malaysia pada 12 dan 13 Disember 2026 menerusi BTS WORLD TOUR ‘ARIRANG’ IN KUALA LUMPUR. Dua malam yang dinanti-nantikan itu akan berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, dengan persembahan dijadualkan bermula pada jam 7.30 malam.
Kunjungan kali ini tentunya terasa lebih istimewa. ARIRANG merupakan jelajah dunia pertama BTS sebagai kumpulan lengkap selepas kesemua tujuh anggotanya menamatkan khidmat ketenteraan. Jelajah tersebut turut menyusuli pelancaran album kelima mereka, ARIRANG, pada Mac lalu yang membuka lembaran baharu buat kumpulan ini selepas beberapa tahun memberi tumpuan kepada aktiviti solo.
Dan kini, tepat 100 hari sebelum malam pertama BTS di Kuala Lumpur, mungkin sudah tiba masanya untuk ARMY mula melakukan sedikit ‘ulang kaji’. Berdasarkan persembahan terkini sepanjang jelajah ARIRANG, BTS bukan sahaja membawa lagu daripada album terbaharu mereka, malah beberapa lagu ikonik yang pastinya cukup dikenali peminat lama.

Lagu Baharu ARIRANG Jadi Nadi Utama
Sesuai dengan nama jelajahnya, sebahagian besar persembahan kali ini diberikan kepada lagu daripada album ARIRANG. Konsert biasanya dibuka dengan “Hooligan” sebelum diteruskan dengan “Aliens”, memberikan permulaan yang cukup bertenaga sebelum BTS membawa penonton menyusuri lagu baharu dan karya lama mereka.
Antara lagu ARIRANG yang konsisten muncul dalam setlist jelajah setakat ini termasuk, Hooligan, Aliens, They Don’t Know ‘Bout Us, Like Animals, SWIM, Merry Go Round, 2.0, NORMAL, FYA, Body to Body, Come Over, Please dan Into the Sun. Kalau album ARIRANG masih belum masuk sepenuhnya dalam hafalan, inilah masanya untuk mula mendengar semula.

Lagu Lama
BTS tentu sahaja tidak melupakan lagu-lagu yang sudah lama menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka bersama ARMY. “Run BTS” kembali dengan tenaga yang cukup sesuai untuk stadium, sementara FAKE LOVE, Not Today, MIC Drop, Fire dan IDOL membawa kembali beberapa era berbeza BTS dalam satu malam.
Kemudian ada pula Butter dan Dynamite, dua lagu global yang hampir mustahil untuk tidak dinyanyikan bersama apabila tujuh anggota BTS berada di atas pentas. Antara lagu lama yang wajar anda ulang dengar sebelum Disember ini adalah Run BTS, FAKE LOVE, Not Today, MIC Drop, Fire, IDOL, Butter dan Dynamite
Lagu Encore
Bahagian encore mungkin menjadi bahagian yang paling sukar diramal sepenuhnya. Sepanjang jelajah, BTS turut menyelitkan beberapa lagu berbeza sebagai kejutan kepada ARMY. Ketika persembahan di Soldier Field, Chicago pada 28 Ogos, misalnya, BTS membawa kembali 134340 buat pertama kali sejak 2019. Mikrokosmos turut muncul pada malam tersebut bersama beberapa lagu daripada ARIRANG.
Ini bermakna setlist Kuala Lumpur mungkin tidak akan seratus peratus sama dengan bandar sebelumnya. Jadi, kalau mahu benar-benar bersedia, mungkin jangan berhenti pada lagu yang berada dalam setlist utama sahaja selak kembali diskografi lama BTS kerana kita tidak tahu lagu mana yang bakal menjadi kejutan untuk ARMY Malaysia.

Setlist BTS WORLD TOUR ‘ARIRANG’ Yang Boleh Anda Mula Hafal
Berdasarkan setlist persembahan jelajah terkini, ini antara lagu yang paling berkemungkinan anda dengar:
- Hooligan
- Aliens
- Run BTS
- They Don’t Know ‘Bout Us
- Like Animals
- FAKE LOVE
- SWIM
- Merry Go Round
- 2.0
- NORMAL
- Not Today
- MIC Drop
- FYA
- Fire
- Body to Body
- IDOL
- Come Over
- Butter
- Dynamite
Disember ini, Bukit Jalil bakal bertukar menjadi lautan ungu, dengan 100 hari sahaja lagi sebelum BTS kembali berdiri di hadapan ARMY Malaysia, masih ada banyak masa untuk menghafal lirik, menyediakan ARMY Bomb dan tentunya melatih stamina untuk menyanyi bersama selama satu malam.

Artikel berkaitan: BTS Tidak Sertai Grammy Awards 2027, Tegas Mahu Muzik Dinilai Tanpa Sempadan
