Tahun 2025 menyaksikan beberapa majlis perkahwinan selebriti yang menjadi perhatian, sehinggakan agak sukar untuk menabalkan yang mana satu layak digelar sebagai ‘wedding of the year’.
Di sebalik pelbagai cerita kontroversi, insiden yang tular, tahun 2025 juga adalah detik paling manis bagi sebahagian selebriti. Selain meraih kejayaan menerusi kejayaan filem dan lagu, menjulang trofi di majlis anugerah, ada juga yang meraikan hari paling bermakna mereka tahun ini, yakni perkahwinan.
Tahun ini menyaksikan ramai selebriti yang mengakhiri zaman bujang mereka, tak kira yang pertama kali pertama berkahwin mahupun sebaliknya. Kata orang, jodoh pasti bertemu. Tahun ini juga menyaksikan beberapa jenama yang kerap menjadi pilihan selebriti untuk busana perkahwinan mereka seperti Teh Firdaus, Rizman Ruzaini dan Alia Bastamam. Ayuh imbas selebriti yang melangsungkan perkahwinan tahun ini.
SITI SALEHA & JOSHUA FITTON
Sama cantik, sama padan! Aktres Siti Saleha melangsungkan pernikahannya dengan pereka fesyen, Joshua Fitton pada 15 Februari 2025 di Enderong Resort, Janda Baik. Mesra dipanggil Sally, dia menyarung busana serba putih rekaan suaminya sendiri (Atelier Fitton), manakala untuk majlis resepsi di lokasi yang sama, dia mengenakan persalinan keemasan rekaan Alia Bastamam. Siti Saleha disolek oleh Khir Khalid dan didandan oleh Yusof Ruzaimi. Siti Saleha kini sedang sarat hamil anak sulung.
SYAFIQ KYLE & MIMI LANA
Ramai yang mengharapkan pasangan ini berjaya disatukan apabila pernikahan mereka yang dirancang pada Ogos 2023 ditangguhkan. Namun, betullah orang kata, kalau dah jodoh tidak ke mana, Syafiq Kyle dan Mimi Lana selamat diijab kabul pada 14 Februari 2025 dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di kampung halaman Mimi sendiri, Taiping, Perak.
Untuk majlis pernikahan, Mimi mengenakan persalinan Teh Firdaus dan dirias oleh Fazz Ariffin, dandanan oleh May. Manakala untuk majlis resepsi pada sebelah malam, Mimi mengenakan busana putih ilham Nurita Harith dan disolek oleh Khir Khalid.
ATIQ AZMAN & ALIA NATASHA
Atiq Azman atau nama penuhnya Raja Muhammad Atiqullah mengikat tali pernikahan dengan wanita pilihannya, Alia Natasha 21 Februari 2025. Majlis pernikahan tersebut khabarnya berlangsung di Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan. Pasangan ini bakal menimang cahaya mata lelaki tidak lama lagi.
EYKA FARHANA & AKHYAR RASHID
Aktres jelita, Eyka Farhana sah menjadi isteri kepada pemain bola sepak, Akhyar Rashid pada tanggal 2 Mei 2025. Majlis pernikahan tersebut berlangsung di The Lake Ampang yang dihadiri ahli keluarga dan sahabat rapat kedua-dua mempelai. Di majlis pernikahan tersebut Eyka Farhana dan Akhyar mengenakan persalinan serba putih rekaan Teh Firdaus. Khir Khalid dan Ckay Liow dipertanggungjawabkan untuk menyolek dan mendandan Eyka.
Eyka dan Akhyar turut melangsungkan beberapa majlis resepsi dan salah satunya ialah ‘beach wedding’ di Pulau Langkawi. Di majlis tersebut Eyka mengenakan persalinan Alia Bastamam manakala Akhyar mengenakan suit dari KitWoo. Kevin Lee, Cody Chua dan Juno Ko antara barisan glam team di acara ini.
SUFIAN SUHAIMI & RANIA AL SADAT
Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Di Matamu’ ini memilih tanggal 2 Mei 2025 untuk menamatkan zaman bujangnya. Sufian Suhaimi selamat diijab kabul dengan pasangan Rania Al Sadat di dalam sebuah majlis di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sufian menyerahkan satu dinar emas sebagai mas kahwin berserta tiga dulang hantaran di majlis pernikahan tersebut.
QI RAZALI & WARDAH
Tahun 2025 mungkin tahun paling bertuah yang banyak mencatat memori manis buat Qi Razali. Selain ditabalkan sebagai Pelakon lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia menerusi filem ‘Babah’, Qi juga bertemu jodoh tahun ini. Qi Razali selamat bernikah dengan seorang jurusolek, Wardah di satu majlis tertutup yang berlangsung di Gopeng, Perak pada 25 Mei 2025. Qi menyerahkan RM101.00 sebagai mas kahwin di majlis tersebut.
JACLYN VICTOR & CALVIN T SAMUEL
Jaclyn Victor sah berkahwin dengan pensyarah, Calvin T Samuel, pada tarikh paling cantik tahun ini, iaitu pada 25.5.2025. Majlis resepsi perkahwinan penyanyi yang mula mencipta nama selepas menjuarai Malaysian Idol ini berlangsung di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur.
Jac menyarung busana perkahwinan yang direka sendiri oleh pereka kegemarannya, Rizman Ruzaini. Majlis tersebut turut dihadiri rakan terdekat seperti Hael Husaini dan Shila Amzah. Jac memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan pertama yang dibina pada tahun 2014- Jonah Joshiah Rivera, 10, dan Molly Marguerite Rivera, 8.
FATTAH AMIN & AMIRA OTHMAN
Boleh disimpulkan sebagai ‘wedding of the year’ bila mana perkahwinan ini mendapat liputan dari pihak media, bermula dari perkenalan mereka hinggalah ke majlis perkahwinan. Fattah Amin dan Amira Othman melangsungkan majlis pernikahan di sebuah resort di Sepang pada 14 September 2025 yang mana tanggal tersebut merupakan ulang tahun kelahiran Fattah yang ke-35.
Amira Othman mengenakan persalinan serba putih rekaan Teh Firdaus manakala Fattah Amin mengenakan sepasang baju Melayu rekaan Rizman Ruzaini. Majlis pernikahan tersebut juga disiarkan secara langsung secara eksklusif di Unifi TV.
FAZZIQ MUQRIS & SHARIFAH AREEQA
Aktor dan juga penyampai radio ERA FM ini melangsungkan pernikahan dengan Sharifah Areeqa pada 22 November 2025 bertempat di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur. Satu majlis resepsi di lokasi yang sama dan diikuti dengan majlis resepsi di Hotel Concorde Shah Alam pada 21 Disember. Kedua pasangan ini telah mengikat tali pertunangan pada tahun lalu secara rahsia, dan keduanya mula rapat sejak mula mengenali satu sama lain pada tahun 2019.
ERRA FAZIRA & EZWAN ZAIN
Primadona tanah air, Erra Fazira memilih 12.12.2025 sebagai tarikh ijab kabulnya bersama Ezwan Zain. Di Majlis pernikahan yang berlangsung di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang itu, Ezwan menyerahkan 24 dinar emas sebagai mas kahwin.
Di acara pernikahan ini, Erra Fazira mengenakan persalinan biru pastel yang direka oleh pereka duo terkenal, Rizman Ruzaini dan solekaannya disempurnakan oleh Deqsha. Satu majlis resepsi diadakan keesokan hari dan sebuah lagi majlis resepsi berlangsung pada 27 Disember.
SISSY IMAN & DR. ZAMIR HILMAN
Selain Erra Faizra, singer-songwriter, Sissy Imann juga memilih tarikh 12 Disember sebagai tarikh majlis pernikahannya. Majlis ijab kabul ini berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, dan Sissy dinikahkan oleh ayahandanya sendiri. Beberapa minit sebelum majlis pernikahan tersebut telah diadakan upacara pertunangan di lokasi yang sama, dan Sissy Imann menerima tiga bentuk cincin.
Di majlis ini Sissy dan Dr Zamir mengenakan persalinan rekaan Wan & Mary, manakala solekan untuk Sissy disempurnakan oleh Kasih Cicie, dan Nazlivingstyle melengkapkan penataan hijab. Satu majlis resepsi dengan bertemakan budaya tradisi Melaka berlangsung pada malam keesokan hari di Cyberjaya.






















