Dalam membilang hari yang tinggal kurang dari sebulan sahaja sebelum berlangsung Anugerah Juara Lagu ke-40, EH! mengimbas kembali barisan penyanyi bersuara emas yang pernah mengenggam trofi Vokal Terbaik di pentas AJL.
AJL17- LIZA HANIM
Mungkin ramai yang tidak sedar anugerah Vokal Terbaik tercetus selepas melihat kecemerlangan Liza Hanim melantunkan suaranya menerusi lagu ‘Andainya Aku Bersuara’ di Anugerah Juara Lagu tahun sebelumnya. Orang kata ‘nyanyi sedap-sedap tapi tak menang apa-apa’. Dari situ banyak media menulis tentang seharusnya anugerah menghargai vokal penyanyi di pentas nyanyian berprestij itu, bukan anugerah persembahan terbaik semata. Dan pemenang pertama kategori Vokal Terbaik ternyata menjadi milik Liza Hanim apabila dia melangsungkan vokal yang cukup flawless menerusi lagu ‘Gelisah Mimpi’.
AJL18- MISHA OMAR
Pentas AJL pertama buat anak jati Machang, Kelantan ini, dan yang pertama ini juga yang berjaya meletakkan namanya sebagai salah seorang penyanyi baharu yang semestinya diberikan perhatian ketika itu. Dalam busana merah ilham Michael Ong, Misha Omar melontarkan suara dengan penuh jiwa dan gerakan tubuh yang dramatik membuatkan lagu ini lebih rasa’. Tidak hanya membawa pulang trofi Vokal Terbaik, lagu ‘Bunga-Bunga Cinta’ nukilan Adnan Abu Hassan juga diiktiraf sebagai juara keseluruhan.
AJL19- MISHA OMAR
Kali kedua di pentas AJL, Misha Omar sekali lagi berjaya membawa pulang trofi Vokal Terbaik. Bersandarkan pada lagu runut bunyi filem ‘Pontianak Harum Sundal Malam’, ‘Pulangkan’, Misha yang berbusana biru firus itu meluah rasa sedih dan dendam dalam satu persembahan yang dramatik. Lagu ciptaan Ajai dan lirik ditulis oleh Datuk Habsah Hassan dan Datin Paduka Shuhaimi Baba ini juga menjuarai kategori Balada.
AJL20- HAZAMI
Hazami mencipta sejarah sebagai penyanyi lelaki pertama yang berjaya meraih trofi idaman ramai penyanyi ini. Dan dia juga membuktikan penilaian vokal yang baik bukan hanya pada persembahan lagu berirama perlahan semata. Menerusi lagu ‘Kata’ Hazami membuktikan apa yang vokal dia mampu lakukan. ‘Kata’ juga menjuarai kategori Pop Rock pada tahun ini.
AJL21 – ADIBAH NOOR
Alunan suara Adibah Noor yang lantang dan beremosi saat melagukan ‘Terlalu Istimewa’ berjaya menghadiahkan trofi Vokal Terbaik buat Adibah Noor. Lagu yang ditulis Azlan Abu Hassan itu liriknya dinukilan oleh Adibah Noor sendiri, dan lirik itu adalah dedikasi Adibah buat kanak-kanak mangsa rogol dan bunuh, Allahyarham Nurul Huda Abdul Ghani.
AJL22- JACLYN VICTOR & LAH AHMAD
Paduan suara yang harmoni dan mengasyikkan Jaclyn Victor dan Lah Ahmad berjaya menjadikan pasangan duet ini sebagai duo pertama yang memenangi trofi Vokal Terbaik. Lagu ‘Ceritera Cinta’ asalnya adalah dendangan Jac bersama Rio Febian.
AJL23- FAIZAL TAHIR
Faizal Tahir bukan sahaja membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada tahun ini, malah membawa pulang trofi Persembahan Terbaik dan Juara Kategori Balada menerusi lagu ‘Sampai Syurga’. Lagu ini adalah garapan kreatif Audi Mok, Ahmad Inham Omar bersama Faizal tahir sendiri.
AJL24- BLACK
Sama seperti Misha Omar yang memenangi kategori Vokal Terbaik pada penyertaan pertama, Black juga mengulangi sejarah yang sama. Single pertamanya ‘Aku Rindu Sayang Kamu’ berjaya memboloskan dirinya ke pentas AJL dan menghadiahkannya piala Vokal Terbaik.
AJL25- HAFIZ SUIP
Kemunculan kali kedua di AJL memberikan Hafiz Suip kemenangan Vokal Terbaik menerusi lagu ciptaan Ajai, ‘Noktah Cinta’. Di sinilah bermulanya dominasi Hafiz dalam kategori vokal di pentas AJL. Lagu ini juga meraih hadiah tempat ketiga.
AJL26- HAFIZ SUIP
Tuah terus menyebelahi apabila Hafiz meraih sekali lagi trofi Vokal Terbaik menerusi lagu ‘Awan Nano’. Malah kemenangan berganda buat Hafiz apabila lagu ciptaan Dato M. Nasir dan Buddhi Hekayat ini juga ditabalkan sebagai Juara Lagu pada tahun tersebut.
AJL27- HAFIZ SUIP
Tahun ini Hafiz ke pentas AJL dengan dua buah lagu iaitu ‘Kua Akui’ dan juga ‘Ombak Rindu’ (duet bersama Adira). Namun ‘Ku Akui’ ternyata berjaya menyerlahkan vokal emas yang dimilikinya dan lagu tersebut membawa pulang trofi tempat ketiga. “Ku Akui’ adalah lagu ciptaan Ajai.
AJL28- JACLYN VICTOR
Diiringi Adibah Noor, Atilia, Salamiah Hassan, Dina Nadzir dan Elvira Arul, Jaclyn Victor benar-benar berseronok menyanyi di atas pentas. No pressure, vokalnya mengalir tenang saat melagukan ‘Ikut Rentakku’, sekaligus trofi Vokal Terbaik kedua buatnya.
AJL29- DAYANG NURFAIZAH
Comeback Dayang Nurfaizah di pentas Anugerah Juara Lagu sejak penglibatan terakhirnya menerusi lagu ‘Erti Hidup’ pada AJL19. Bergaun putih ilham Dato Rizalman Ibrahim dan diiringi petikan gitar, lagu ‘Di Pintu Syurga’ berjaya menyerlahkan vokal emas milik anak jati Kuching, Sarawak ini.
AJL30- DAYANG NURFAIZAH
Menjadi penyanyi terakhir membuat persembahan di AJL30 mungkin menjadi tekanan buat Dayang pada malam itu sementelah ramai yang menantikan kemunculannya. Ternyata Dayang tidak mensia-siakan ruang itu apabila ‘Tak pernah Menyerah’ benar-benar menyerlah vokal akrobatik yang dimiliki Dayang. Penuh jiwa, dan ya trofi Vokal Terbaik sekali lagi menjadi miliknya.
AJL31- DAYANG NURFAIZAH
Malam AJL31 memang menajdi milik Dayang apabila lagu ‘Lelaki Teragung’ bukan hanya menghadiahkannya trofi Vokal Terbaik malah buat pertama kalinya lagu dendangan Dayang Nrufaizah diiktiraf sebagai juara keseluruhan AJL.
AJL32- SYAMEL & ERNIE ZAKRI
Syamel dan Ernie Zakri mengulangi sejarah yang dicipta Jaclyn Victor dan Lah Ahmad. ‘Aku Cinta’ meletakkan mereka sebagai pasangan duet kedua yang dinamakan sebagai Vokal Terbaik. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan AJL32 adalah pentas yang membuat ramai membuka mata tentang kehebatan vokal Ernie Zakri.
AJL33- MISHA OMAR
Selepas beberapa tahun menyepi dari pentas AJL, Misha Omar kembali dengan ‘Sampai Bila’. Dan comeback ini ternyata berjaya menjadi peringatan kepada generasi baharu bahawa vokalnya masih lagi berbisa. Lagu tersebut juga dianugerahkan tempat ketiga.
AJL34- HAFIZ SUIP
‘Kisah Cinta Kita’ berjaya mengembalikan kemasyhuran Hafiz Suip sebagai salah seorang penyanyi lelaki yang mempunyai kualiti suara yang sangat baik, Walaupun bersaing dengan Ernie Zakri (Ku Bersuara), ternyata tuah dan rezeki memihak kepada anak jati Sarawak ini.
AJL35- ERNIE ZAKRI
‘Gundah’ berjaya menonjolkan emosi suara Ernie Zakri di pentas AJL35 berbanding ‘Ku Bersuara’ yang kononnya terlalu teknikal. Inilah trofi Vokal Terbaik pertama Ernie sebagai penyanyi solo di Anugerah Juara Lagu.
AJL36- AINA ABDUL
Ini adalah penglibatan ketiga Aina Abdul di AJL, dan dia mempertaruhkan dua buah lagu pada tahun ini (satu lagi duet bersama Khai Bahar). Ternyata ‘Sepi’ betul-betul berjaya menyerlahkan kualiti vokal Aina pada malam tersebut.
AJL37- AINA ABDUL
‘Terus Hidup’ berjaya meneruskan dominasi Aina dalam kategori vokal. Malah lagu ciptaannya itu juga berjaya dinobatkan sebagai jaguh utama pada malam gemilang itu.
AJL38- AINA ABDUL
Mengulangi hatrik yang dicipta oleh Hafiz Suip dan Dayang Nurfaizah, Aina Abdul membawa pulang piala Vokal Terbaik buat kali ketiga berturut-turut menerusi lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’. Lagu tersebut juga diiktiraf sebagai pemenang ketiga.
AJL39- ERNIE ZAKRI
‘Aura’ betul-betul menyerlahkan aura vokal Ernie Zakri di pentas berprestij ini. Mengenakan gaun merah jambu ciptaan AMAZAE, Ernie mempertontonkan apa yang vokalnya mampu lakukan kepada yang menonton malam itu. Persembahan ini juga mendapat standing ovation seluruh Axiata Arena.
