Walaupun pelakon baru terus menghiasi layar kaca dengan bakat segar, ‘Romcom Queen’ tetap kekal sebagai heroin ikonik. Lakonan mereka yang bersahaja dalam genre romcom terus mencuri hati, membuktikan mereka tetap yang terbaik dalam membawa cerita cinta yang tak pernah jemu ditonton sehingg ke hari ini.
Filem komedi romantik atau romcom sentiasa menjadi pilihan ramai kerana gabungan sempurna antara rasa cinta dan humor yang menghiburkan. Namun, apa jadinya romcom tanpa pelakon-pelakon hebat yang menghidupkan watak-watak ikonik ini? Di Hollywood, ada beberapa nama yang telah menjadi simbol romcom, hingga digelar ‘Romcom Queen’.
Berikut EH! senaraikan 13 pelakon wanita yang tidak hanya mencipta sejarah dalam dunia romcom, tetapi juga terus memenangi hati penonton dari generasi ke generasi. Siapa tahu, salah seorang daripada mereka mungkin bintang romcom kegemaran anda!
13 Pelakon Hollywood Ini Digelar ‘Romcom Queen’;
1. Julia Roberts
Bila sebut romcom, pasti wajah cantik Julia Roberts terlintas di fikiran. Dengan senyuman menawan dan gaya lakonan yang bersahaja, Julia mencipta magis dalam setiap filemnya. Filem klasik seperti Pretty Woman menjadikannya sebagai ratu komedi romantik. Begitu juga dengan Notting Hill yang membawa kita ke dunia cinta antara lelaki biasa dan seorang aktres terkenal. Ingat dialog terkenal ini? “I’m just a girl, standing in front of a boy, asking him to love her.” Siapa yang tidak cair? Julia telah membuktikan bahawa cinta yang disampaikan dengan elemen humor sentiasa menjadi tarikan utama.
2. Reese Witherspoon
Reese Witherspoon membawa watak-watak ceria dan penuh keyakinan ke skrin. Dalam Sweet Home Alabama, dia memegang watak Melanie yang terpaksa berdepan dengan masa silamnya. Konflik antara cinta pertama dan kehidupan moden di kota besar membuatkan filem ini dekat di hati ramai penonton. Wataknya sebagai Elle Woods dalam Legally Blonde pula menampilkan bagaimana seorang wanita yang berani dan berkeyakinan boleh meraih kejayaan dalam hidup tanpa meninggalkan elemen romantik.
3. Drew Barrymore
Drew Barrymore adalah bintang romcom yang sentiasa memancarkan kehangatan dan keaslian dalam setiap lakonannya. Siapa yang boleh melupakan lakonannya dalam 50 First Dates dan Never Been Kissed, di mana dia berjaya membawa watak yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyentuh hati penonton? Keserasian semula jadinya bersama Adam Sandler dalam beberapa filem mencipta chemistry yang begitu ikonik, menjadikan mereka antara pasangan romcom paling diingati dan digemari ramai. Dengan senyumannya yang memikat dan gaya lakonan penuh jiwa, Drew Barrymore sentiasa membawa magis tersendiri ke layar perak.
4. Jennifer Aniston
Jennifer Anniston merupakan antara wajah yang sinonim dengan filem romcom moden. Dari Rumor Has It, Along Came Polly, He’s Just Not That Into You hingga Just Go With It, dia sering memainkan watak wanita yang relatable tetapi penuh versatil. Dalam He’s Just Not That Into You, Jennifer menggambarkan dilema cinta yang biasa kita semua lalui. Pesona dan gaya lakonannya menjadikan setiap filem terasa seperti kisah hidup kita sendiri.
5. Cameron Diaz
Cameron Diaz adalah bintang romcom yang membawa kegembiraan dan semangat bebas ke skrin. Dalam There’s Something About Mary, Cameron memegang watak Mary, seorang wanita yang menjadi pujaan ramai lelaki. Filem ini mencipta banyak momen lucu yang terus diingati sehingga kini. Filem seperti What Happens in Vegas dan The Other Woman pula membuktikan keupayaannya menghidupkan watak-watak yang riang tetapi penuh emosi. Gaya lakonannya yang spontan membuatkan setiap filemnya menjadi kegemaran ramai.
6. Sandra Bullock
Sandra Bullock adalah bintang versatil yang memikat hati penonton dalam pelbagai genre, namun keistimewaannya dalam romcom menjadikannya salah satu pelakon paling berharga di Hollywood. Lakonannya yang bersahaja dan natural mengangkatnya sebagai ratu romcom, mencipta momen ikonik yang kekal diingati. Gandingannya bersama Ryan Reynolds dalam The Proposal mencipta magis yang menjadikan filem itu kegemaran ramai. Sementara itu, While You Were Sleeping menyentuh hati dengan kisah cinta yang tulus dan penuh harapan, manakala Two Weeks Notice, bersama Hugh Grant, mempamerkan chemistry romantik yang sempurna dan memikat.
7. Meg Ryan
Meg Ryan adalah pelakon yang mencipta standard untuk romcom klasik. Filem When Harry Met Sally masih dianggap sebagai salah satu romcom terbaik, terutama dengan adegan ikonik di kedai makan. Sleepless in Seattle pula menghidupkan kisah cinta yang membuatkan kita percaya bahawa cinta boleh hadir bila-bila masa, di mana saja. Filem seperti You’ve Got Mail menunjukkan Meg sebagai wanita moden yang mencari cinta di tengah dunia digital, menjadikannya relevan hingga ke hari ini.
8. Jennifer Lopez
Selain berbakat dalam dunia muzik, Jennifer Lopez memancarkan pesona romantik dalam filem seperti Maid in Manhattan dan The Wedding Planner. Lakonannya sering menggambarkan wanita moden yang elegan tetapi penuh emosi, menjadikan filem-filemnya begitu memikat. Baru-baru ini, dia kembali memukau penonton dalam Marry Me, membawa elemen baharu kepada romcom.
9. Kate Hudson
Siapa yang tidak pernah terpikat dengan pesona Kate Hudson dalam dunia romcom? Kate telah mencipta beberapa filem ikonik, seperti Bride wars dan How to Lose a Guy in 10 Days. Dalam filem ini, dia memainkan watak seorang penulis yang melaksanakan eksperimen cinta yang mencetuskan pelbagai situasi lucu dan menarik, menjadikannya antara filem romcom paling disukai sehingga kini. Kate Hudson tidak hanya mencuri tawa, tetapi juga hati penonton, menjadikannya salah seorang bintang romcom yang paling diingati sehingga kini.
10. Kristen Bell
Kristen Bell telah memikat hati penonton dalam pelbagai filem romcom ikonik seperti Forgetting Sarah Marshall, Stuck in Love, When in Rome, dan You Again. Dia memperlihatkan kemampuannya dengan memberi nafas baru kepada genre ini melalui wataknya yang penuh kejutan dan humor segar, menjadikannya salah satu romcom queen yang tak lekang dek zaman.
11. Katherine Heigl
Katherine Heigl memang terkenal dengan kemampuannya menghidupkan watak-watak wanita moden yang bergelut mencari keseimbangan antara cinta dan kerjaya. Selain 27 Dresses dan The Ugly Truth, dia turut memukau penonton dalam Life as We Know It dan Knocked Up. Dalam Life as We Know It, Katherine membawa watak seorang wanita yang terpaksa menjaga anak-anak mendiang rakan baiknya, menggabungkan elemen komedi dan drama sempurna yang menyentuh hati.
12. Renée Zellweger
Renée Zellweger mendominasi dunia romcom di era 2000 dengan lakonannya yang luar biasa dalam filem-filem ikonik seperti Bridget Jones’s Diary, Down with Love, The Bachelor, dan Jerry Maguire. Wataknya yang penuh emosi, dan sangat relatable menjadikannya kegemaran ramai. Dengan setiap watak yang dilakonkannya, Renée bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga mencipta karakter-karakter ikonik yang akan terus diingati dan menjadi sebahagian daripada filem romcom terbaik sepanjang zaman.
13. Anne Hathaway
Anne Hathaway terus memahat namanya sebagai romcom queen dengan lakonan ikonik dalam filem seperti The Princess Diaries. Selepas hampir dua dekad memikat hati peminat di seluruh dunia, berita mengenai sekuel terbaharu filem ini menghidupkan semula nostalgia dan keterujaan ramai, membuktikan betapa besar impak lakonannya. Dari transformasi gadis biasa menjadi puteri moden yang penuh pesona hingga watak-watak lain seperti dalam Ella Enchanted, Bride Wars, dan Valentine’s Day, Anne menjadikan setiap filem lakonannya sebagai karya yang kekal relevan di hati penonton.
Artikel Berkaitan: 7 Filem Romantik Komedi Terbaik Sepanjang Zaman