Populariti, jutaan peminat dan kerjaya yang berada di kemuncak tidak menghalang beberapa nama besar dunia hiburan Korea daripada berdepan undang-undang. Ada yang kehilangan kerjaya dalam sekelip mata, malah ada yang akhirnya menghabiskan bertahun-tahun di sebalik tirai besi.
Industri hiburan Korea pernah menyaksikan beberapa skandal besar yang akhirnya tidak berhenti sekadar menjadi kontroversi di media sosial. Daripada kes dadah dan perjudian haram sehinggalah jenayah seksual, beberapa penyanyi, pelakon dan bekas idol K-pop akhirnya dibawa ke mahkamah serta menerima hukuman penjara.
Malah, beberapa nama yang pernah berada dalam kumpulan K-pop terbesar seperti EXO, BIGBANG, NCT, FTISLAND, TVXQ dan iKON turut berada dalam senarai ini. EH! melihat kembali selebriti yang pernah mewarnai industri hiburan Korea sebelum kes jenayah mengubah perjalanan kerjaya mereka.
1. Kris Wu
Bekas anggota EXO, Kris Wu ditahan di Beijing pada Julai 2021 sebelum dijatuhi hukuman 13 tahun penjara pada November 2022. Dia menerima 11 tahun enam bulan atas kesalahan merogol tiga wanita dan satu tahun 10 bulan bagi kesalahan berkaitan aktiviti seksual berkumpulan. Rayuannya ditolak pada November 2023 dan Kris turut diarahkan dihantar pulang ke kanada selepas selesai menjalani hukuman.

2. Jung Joon-young
Nama Jung Joon-young menjadi perhatian besar ketika skandal groupchat selebriti Korea terbongkar pada 2019. Dia didapati bersalah atas kesalahan seksual, selain merakam dan menyebarkan video intim tanpa persetujuan. Hukuman asal enam tahun penjara kemudian dikurangkan kepada lima tahun, sebelum dia dibebaskan pada Mac 2024 selepas selesai menjalani hukuman.

3. Taeil
Bekas anggota NCT, Taeil meninggalkan kumpulan itu pada Ogos 2024 ketika berdepan siasatan kesalahan seksual. Pada 2025, dia bersama dua individu lain didapati bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita yang berada dalam keadaan mabuk. Mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun enam bulan penjara, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Agung Korea Selatan.

4. Choi Jong-hoon
Bekas anggota FTISLAND, Choi Jong-hoon turut terlibat dalam kes jenayah seksual yang dikaitkan dengan Jung Joon-young. Dia pada awalnya dijatuhi hukuman lima tahun penjara, sebelum dikurangkan kepada dua tahun enam bulan selepas rayuan. Choi Jong-hoo dibebaskan pada November 2021 selepas selesai menjalani hukumannya.

5. Kim Ho-joong
Penyanyi Kim Ho-joong dijatuhi hukuman dua tahun enam bulan penjara susulan insiden langgar lari di Seoul pada Mei 2024. Kes itu turut melibatkan cubaan menyembunyikan identiti pemandu apabila pengurusnya pada awalnya tampil mengaku bertanggungjawab. Selepas menjalani 767 hari, Kim dibebaskan secara parol pada 30 Jun 2026.

6. Ko Young-wook
Bekas anggota Roo’ra, Ko Young-wook dijatuhi hukuman dua tahun enam bulan penjara atas kesalahan seksual melibatkan mangsa bawah umur. Dia dibebaskan pada Julai 2015 selepas selesai menjalani hukuman dan turut diperintahkan memakai alat pemantauan elektronik selama tiga tahun.

7. E Sens
Rapper E Sens, atau nama sebenarnya Kang Min-ho, pernah menjalani hukuman penjara kerana kesalahan berkaitan ganja. Pada Julai 2015, Mahkamah Daerah Barat Seoul menjatuhkan hukuman satu tahun enam bulan penjara selepas dia didapati menggunakan ganja beberapa kali antara September 2014 hingga Mac 2015. Kes tersebut bukan kesalahan pertamanya. Pada 2012, E Sens pernah menerima hukuman penjara 14 bulan yang digantung selama dua tahun atas kesalahan yang sama.

8. Seungri
Skandal Burning Sun menjadi titik perubahan besar buat bekas anggota BIGBANG, Seungri. Dia didapati bersalah atas sembilan pertuduhan termasuk menjadi perantara pelacuran, perjudian di luar negara dan penyelewengan dana. Hukuman asal tiga tahun kemudian dikurangkan kepada 18 bulan penjara. Seungri selesai menjalani hukumannya dan dibebaskan pada Februari 2023.

9. Park Yoo-chun
Bekas anggota TVXQ dan JYJ, Park Yoo-chun, dijatuhi hukuman 10 bulan penjara yang digantung selama dua tahun pada Julai 2019 atas kesalahan penggunaan methamphetamine. Mahkamah turut mengenakan denda dan tempoh percubaan selepas Park yoo-chun mengaku membeli serta menggunakan dadah tersebut beberapa kali.

10. Kim Sung-min
Mendiang pelakon Kim Sung-min pernah berdepan masalah undang-undang berkaitan dadah lebih daripada sekali. Pada 2015, pelakon itu ditahan selepas membeli methamphetamine secara dalam talian dan menggunakannya. Kes tersebut lebih berat kerana Kim mempunyai rekod kesalahan dadah terdahulu. Pada September tahun sama, mahkamah menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda 700,000 won terhadapnya.

11. T.O.P
Bekas anggota BIGBANG, T.O.P, menerima hukuman 10 bulan penjara yang digantung selama dua tahun pada Julai 2017 selepas didapati bersalah menggunakan ganja beberapa kali pada tahun sebelumnya. Disebabkan hukumannya digantung, T.O.P tidak menjalani tempoh 10 bulan di penjara selagi tidak melanggar syarat sepanjang tempoh percubaan.

12, Yoo Ah-in
Pelakon Yoo Ah-in pada asalnya dijatuhi hukuman setahun penjara pada September 2024 atas kesalahan berkaitan penggunaan dadah dan terus ditahan selepas keputusan tersebut. Namun pada Februari 2025, mahkamah rayuan menukar hukuman itu kepada setahun penjara yang digantung selama dua tahun, menyebabkan Yoo dibebaskan selepas kira-kira lima bulan dalam tahanan. Mahkamah Agung mengekalkan keputusan tersebut pada Julai 2025.

13. B.I
Bekas ketua iKON, B.I, atau Kim Han-bin, didakwa atas pembelian dan penggunaan dadah termasuk ganja dan LSD yang berlaku pada 2016. Pada September 2021, dia dijatuhi hukuman tiga tahun penjara yang digantung selama empat tahun, selain 80 jam khidmat masyarakat dan 40 jam program rawatan dadah. Keputusan tersebut menjadi muktamad selepas kedua-dua pihak tidak membuat rayuan.

Artikel Berkaitan: The Burning Sun, Skandal Terbesar Idol K-Pop
