Choi Dong Hoon, pengarah di sebalik filem popular The Thieves (2012) dan Assassination (2015) akan mempersembahkan karya jenayah sains fiksyen berjudul Alien, filem blokbuster mengenai makhluk asing di Korea yang mengembara ke Zaman Joseon (1392-1910). Ia dibintangi oleh Kim Tae Ri, Ryu Jun Yeol dan Kim Woo Bin.
Kim Han Min, sutradara di sebalik Roaring Currents (2014) bakal kembali dengan satu lagi epik tentera laut iaitu Hansan: Rise of the Dragon yang mengisahkan tentang tokoh sejarah legenda, Laksamana Yi Sun Sin. Roaring Currents merupakan filem dengan kutipan tertinggi di Korea dengan lebih 17 juta tontonan.
Kim Yong Hwa, pengarah di sebalik francais filem Along with the Gods juga kembali dengan karya terbaru berjudul The Moon, filem sains fiksyen yang menampilkan barisan pelakon hebat termasuk Seol Kyung Gu, Kim Hee Ae dan D.O Exo.
Kang Je Kyu yang dikenali menerusi filem Taegukgi: Brotherhood of War (2004) akan tampil dengan filem baru, Boston 1947 yang mengisahkan tentang barisan atlet Korea di Maraton Boston pada tahun 1947.