Selepas lebih setahun menjauh daripada sorotan umum, Kim Soo-hyun akhirnya kembali berdiri di atas pentas, tetapi bukan di Seoul atau mana-mana acara hiburan besar di Korea Selatan, sebaliknya Indonesia menjadi lokasi yang menandakan kembalinya aktor popular itu di hadapan khalayak selepas kira-kira 17 bulan menyepi.
Pada 23 Ogos 2026, aktor Korea Selatan berusia 38 tahun itu membuat penampilan istimewa menerusi Mahakarya RCTI 37 di Jakarta, Indonesia, acara yang meraikan ulang tahun ke-37 stesen televisyen RCTI. Ia sekali gus menandakan penampilan rasmi pertamanya di hadapan umum selepas kira-kira 17 bulan menyepi daripada aktiviti besar di khalayak ramai.
Malam itu, Kim Soo-hyun tampil segak dalam sut putih bersama seluar hitam sebelum menyapa penonton yang sudah lama menantikan kemunculannya.
“Terima kasih kerana menjemput saya ke acara yang begitu bermakna,” katanya sebelum menghadiahkan peminat persembahan lagu “Dreaming”, runut bunyi drama popular Dream High yang dibintanginya pada 2011.
Momen nostalgia itu ternyata menyentuh hati peminat. Rakaman siaran turut memperlihatkan sebahagian penonton menitiskan air mata ketika melihat Kim Soo-hyun kembali ke pentas.
Namun di sebalik sambutan meriah tersebut, kemunculan aktor itu pantas mengundang reaksi bercampur-campur di media sosial. Sebahagian peminat menyifatkan penampilan tersebut sebagai momen yang sudah lama dinantikan, sebahagian netizen pula mempersoalkan keputusan RCTI menampilkan Kim Soo-hyun sebagai tetamu istimewa.
Kritikan tersebut sebahagian besarnya berkait dengan kontroversi yang menyelubungi namanya sejak tahun lalu. Malah, terdapat pengguna media sosial yang mempertikaikan bagaimana aktor itu boleh kembali diberikan ruang dalam program televisyen berskala besar selepas kontroversi berkenaan.
Reaksi di Indonesia sendiri dilihat terbahagi kepada dua. Ada yang masih memberikan sokongan dan menyambutnya ketika tiba di lokasi acara, manakala sebahagian lain mengkritik pemilihan Kim Soo-hyun sebagai tetamu. Perbezaan reaksi itu juga menjadi perhatian kerana kepulangannya ke pentas hiburan ketika ini kelihatan lebih tertumpu kepada aktiviti di luar Korea Selatan.

Kontroversi Kim Soo-hyun dan Mendiang Kim Sae-ron
Nama Kim Soo-hyun menjadi perhatian besar pada Mac 2025 apabila timbul dakwaan bahawa dia pernah menjalinkan hubungan dengan mendiang aktres Kim Sae-ron ketika aktres tersebut masih di bawah umur.
Dakwaan itu mencetuskan kontroversi besar di Korea Selatan dan memberi kesan langsung terhadap kerjaya serta imej Kim Soo-hyun. Kim Soo-hyun kemudian mengakui bahawa dia dan Kim Sae-ron pernah menjalinkan hubungan, tetapi dengan tegas menafikan dakwaan bahawa hubungan tersebut bermula ketika mendiang masih di bawah umur. Pihaknya menegaskan hubungan romantik mereka hanya berlaku selepas Kim Sae-ron mencapai usia dewasa.
Susulan kontroversi tersebut, Kim Soo-hyun mengurangkan aktiviti awamnya dan tidak lagi kelihatan dalam jadual hiburan utama seperti sebelumnya. Bagaimanapun, perkembangan kes itu berubah pada 29 Julai 2026 apabila Balai Polis Seongdong, Seoul memutuskan untuk tidak merujuk kes melibatkan dakwaan pelanggaran Akta Kebajikan Kanak-Kanak kepada pihak pendakwaan, selepas pihak berkuasa mendapati bukti yang ada tidak mencukupi untuk meneruskan kes tersebut.
Dalam perkembangan berasingan, Kim Se-ui, pengendali saluran YouTube HoverLab atau Garosero Research Institute yang memainkan peranan besar dalam menyebarkan dakwaan berkaitan kontroversi tersebut, turut ditahan dan didakwa atas pertuduhan termasuk fitnah melalui penyebaran maklumat palsu.
Namun, keputusan pihak berkuasa itu tidak serta-merta menghapuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat. Kontroversi yang berlarutan lebih setahun membuatkan persepsi terhadap Kim Soo-hyun masih terbahagi sehingga hari ini.

Perlahan-lahan Kembali Ke Industri
Sebelum muncul di Indonesia, tanda-tanda Kim Soo-hyun akan kembali aktif sebenarnya sudah kelihatan. Pada Julai lalu, dia kembali menjalani penggambaran kempen selepas dipilih sebagai model untuk jenama fesyen Filipina, BENCH. Kemunculannya menerusi kempen tersebut menjadi antara aktiviti komersial terawalnya selepas tempoh menyepi.
Indonesia kemudian menjadi lokasi penampilan rasminya di hadapan umum. Selepas Jakarta, langkah seterusnya juga bakal berlangsung di luar Korea Selatan. Kim Soo-hyun dijadualkan bertemu peminat di Filipina pada 2 Oktober 2026, dengan acara berskala besar di SM Mall of Asia Arena, Manila.
Setakat ini, belum ada pengumuman rasmi mengenai drama atau filem Korea baharu yang bakal dibintanginya. Justeru, dengan adanya aktiviti di Indonesia dan Filipina ini benar-benar menjadi permulaan kepada comeback semula Kim Soo-hyun. Kepulangannya selepas 17 bulan menyepi membuktikan namanya masih mempunyai tarikan besar. Tetapi sambutan bercampur yang diterimanya turut menunjukkan bahawa untuk kembali ke kedudukan yang pernah dinikmatinya sebelum ini, perjalanan Kim Soo-hyun mungkin masih panjang.
Artikel Berkaitan: Kim Soo Hyun Nafi Bercinta Dengan Kim Sae Ron
