Dato Sri Siti Nurhaliza adalah seorang figura yang amatlah sinonim dengan Anugerah Juara Lagu (AJL). Mengikut rekod sebanyak 21 buah lagu yang dirakamkan oleh biduanita negara ini berjaya mara ke pentas muzik berprestij ini. Pelbagai kemenangan diraihnya menerusi pelbagai kategori, dari bergelar juara keseluruhan, juara kategori muzik sampailah ke persembahan terbaik. EH! mengimbas kembali kesemua lagu nyanyian Siti Nurhaliza yang pernah dipersembahkan di pentas AJL.
AJL 11
JERAT PERCINTAAN
Lagu: Adnan Abu Hassan
Lirik: Othman Zainuddin & Hani MJ.
Lagu ini membawa biduanita negara ini ke pentas Juara Lagu buat pertama kali, dan debut ini memberikan kemenangan besar buatnya. Jerat Percintaan membawa pulang juara kategori balada, Persembahan Terbaik dan juga juara keseluruhan.
AJL12
AKU CINTA PADAMU
Lagu: LY
Lirik: Baiduri
Lagu ini berjaya dinobatkan sebagai juara kategori balada, menewaskan calon favourite untuk kategori itu, “Senja Nan Merah’. Siti juga membawa pulang trofi Persembahan Terbaik.
AJL13
BISIKAN ASMARA
Lagu: Helen Yap
Lirik: Amran Omar
Siti mencipta rekod menjadi penyanyi pertama yang layak ke pentas Juara Lagu dengan tiga buah lagu untuk tiga kategori berbeza. Bisikan Asmara adalah pertaruhan Siti untuk katgeori pop rock.
WAJAH KEKASIH
Lagu: Adnan Abu Hassan
Lirik: Hani MJ
Lagu yang bertanding di kategori balada ini tewas di tangan pesaing terdekatnya, ‘Puncak kasih’ persembahan Ziana Zain yang juga dicipta oleh maestro muzik, Adnan Abu Hassan.
CINDAI
Lagu: Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah)
Lirik: Hairul Anuar Harun
Lagu yang dipetik dari album yang menggunakan judul yang sama ini berjaya membuktikan kebolehan Siti menyampaikan lagu tradisional. Kolaborasi Pak Ngah dan Hairul Anuar Harun benar-benar mencipta magis. Di sinilah bermula kegemilangan Siti mencipta sisi muzik tradisionalnya.
AJL14
HATI KAMA (Duet Bersama Noraniza Idris)
Lagu: Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah)
Lirik: Hairul Anuar Harun
Lagu ini dipetik dari album tradisional duet Siti bersama ratu etnik, Noraniza Idris ‘Seri Balas’. Lagu ini meraih kemenangan bagi kategori Irama Malaysia. Ketika ini ramai juga berharap akan kemunculan semula duet Siti dan Kak Ani di pentas konsert tradisional terbesar Siti Nurhaliza ‘Gema Bumantara’ Oktober ini.
PURNAMA MERINDU
Lagu: Azmeer
Lirik: Lukhman S.
Antara lagu yang Siti sendiri katakan amat sukar untuk dirakamkan. Lagu ini ditabalkan sebagai juara kategori Balada.
SATU CINTA DUA JIWA
Lagu: Azlan Abu Hassan
Lirik: Ucu
Siti muncul dalam persalinan merah jambu dengan perincian manik berwarna hijau. nan berjuraian. Tambahan fringe pada dandanan buat Siti nampak sangat cute. Tapi lagu ini tidak membawa apa-apa kemenangan pada malam tersebut.
AJL15
BALQIS
Lagu: Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah)
Lirik: Hairul Anuar Harun
Pada malam AJL ini Siti layak dengan tiga buah lagu, dan salah satunya lagu ini. Balqis dijulang sebagai pemenang kategori etnik kreatif dan juga juara keseluruhan.
KAU KEKASIHKU
Lagu: Ajai
Lirik: Azam Dungun
Siti layak dengan dua buah lagu balada tahun ini, dan ternyata tuah menyebelahi lagu ‘Kau Kekasihku’ apabila diumumkan sebagai juara ketegori tersebut.
NIAN DI HATI
Lagu: Azmeer
Lirik: Azam Dungun
Lagu ‘Nian Di Hati’ gagal mengulangi kejayaan Azmeer pada edisi Juara Lagu yang lalu menerusi lagu ‘Purnama Merindu’. Dan sampai sekarang kehilangan tikar yang sepatutnya dijadikan prop untuk persembahan lagu ini kekal misteri.
AJL16
ENGKAU BAGAIKAN PERMATA
Lagu: Helen Yap
Lirik: Shah Amir Hussain & Siti Nurhaliza
Selepas menyertai beberapa edisi Anugerah Juara Lagu, inilah kali pertama Siti berjaya menjuarai kategori Pop Rock. Menurut satu temubual, Helen Yap memang memasang angan-angan mahu memenangi trofi kategori Pop Rock bersama Siti, dan impiannya tertunai menerusi lagu ini. Saya suka melihat stail Siti berbandana kala mempersembahkan lagu yang dipetik dari album kelima Siti, Pancawarna ini.
YA MAULAI
Lagu: Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah)
Lirik: Hairul Anuar Harun
Siti membawa pulang trofi Persembahan Terbaik menerusi persembahan ini, namun gagal menjuarai kategori etnik kreatif, yang mana lagu ‘Mimpi Laila’ tulisan Yasin menjuarai kategori ini dan sekaligus menjadi juara keseluruhan.
PERCAYALAH
Lagu: Ajai
Lirik: Siti Nurhaliza
Ajai menyertai kategori balada dengan pertaruahan dua buah lagu kali ini, satu nyanyian Siti dan sebuah lagi dipersembahkan oleh Dayang Nurfaizah, Rezeki memihak kepada lagu ‘Seandainya Masih Ada Cinta’ yang juga menjadi pencetus orang mula membuka mata dan menghargai bakat yanga ada pada penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.
AJL17
BICARA MANIS MENGHIRIS KALBU
Lagu: Aiman
Lirik: Lukhman S
Lagu dipetik dari album ‘Safa’, sama seperti lagu ‘Percayalah’, tuah tidak menyebelahi lagu ini untuk membawa pulang sebarang kemenangan.
NIRMALA
Lagu: Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah)
Lirik: Ce’kem
Jika bercakap tentang sejarah Anugerah Juara Lagu, masakan peminat Siti boleh menerima kegagalan lagu ini bergelar juara keseluruhan. Tapi itu semua rezeki yang sudah tertulis kan? Lagu dari album ‘Sanggar Mustika’ ini meraih kemenangan bagi kategori etnik kreatif serta Persembahan Terbaik.
AJL18
KU MILIKMU
Lagu: Zuraini
Lirik: M. Zulkifly & Siti Nurhaliza
Siti membawa gerakan koreografi tap dance di penghujung persembahan ini lantas membuat seisi Stadium Putra bersorak. Siti meraih kemenangan bagi kategori Persembahan Terbaik pada malam tersebut. Oh, saya suka sangat rambut Siti pada waktu ini, ya lah waktu ini Siti kan duta Pantene.
AJL22
DESTINASI CINTA
Lagu: Lin Li Zen
Lirik: PSSN
Penampilan pertama Siti dalam gaya ‘berselendang’ di pentas Anugerah Juara Lagu. Inilah kemunculan terakhir Siti bertanding di pentas AJL.
AJL34
ANTA PERMANA
Lagu: Hael Husaini & Ezra Kong
Lirik: Hael Husaini & Ezra Kong
Lagu ini dipersembahkan oleh bekas bintang akademi fantasia, Bob Yusof di pentas separuh akhir dan Anugerah Juara Lagu. Siti membuat kemunculan mengejut di pertengahan lagu, tapi sayang ada masalah teknikal pula pada awal nyanyian Siti. Lagu ini berjaya menduduki tempat ketiga pada malam tersebut.
AJL35
AKU BIDADARI SYURGAMU
Lagu: Ippo Hafiz
Lirik: Siti Rosmizah
Dua buah lagu Siti Nurhaliza layak ke pentas AJL tahun ini, dan lagu tema drama ‘7 Hari Mencintaiku 2’ ini benar-benar tular pada tahun tersebut. Legenda pop tanah air, Aishah menjadi pilihan Siti untuk menggantikannya.
7 NASIHAT
Lagu: Kmy Kmo & Luca Sickta
Lirik: Kmy Kmo & Luca Sickta
Ini adalah lagu ketiga dari album ‘ManifestaSiti2020’ yang mara ke pentas AJL. Shiha Zikir dipilih menggantikan Siti Nurhaliza, muncul bersama duo Kmy Kmo dan Luca Sickta.
