Bakal membuat comeback! YG Entertainment dengan bangganya mengumumkan bahawa kumpulan legenda K-Pop popular 2NE1 telah sah bersatu semula dan sedang merancang untuk mengadakan world tour dengan lagu hits mereka!
Berita gembira ini disambut dengan penuh sorak dan teriakan gembira apabila agensi itu mengeluarkan gambar bersama keempat-empat ahli 2NE1 dengan caption yang berbunyi, “Welcome back.” Video yang turut dimuatnaik menampilkan pengasas YG Entertainment, Yang Hyun Suk, yang mengungkapkan mengenai pelan-pelan agensi tersebut untuk membawa kembali kumpulan K-Pop popular 2NE1 ke atas pentas dunia.
Menurut jadual yang telah diumumkan, kumpulan ini akan memulakan perjalanan world tour mereka dengan konsert pertama di Seoul pada bulan Oktober ini. Seterusnya, mereka akan melangkah ke Osaka pada bulan November dan Tokyo pada bulan Disember. Pengumuman jadual tour yang panjang ini pastinya mengundang kegembiraan tidak hanya di kalangan peminat di Korea, tetapi juga di seluruh dunia.
Namun, kembalinya 2NE1 bukanlah tanpa perbincangan dan spekulasi. Sebelum pengumuman rasmi ini, rumor mengenai kemungkinan kembalinya mereka telah tersebar luas di kalangan penggemar setia mereka. Pada hujung bulan Jun yang lalu, semua spekulasi itu menjadi kenyataan apabila gadis-gadis tersebut berjumpa dengan pihak agensi untuk membincangkan matlamat mereka dalam industri hiburan yang semakin berkembang ini.
Sejarah panjang 2NE1 di dalam dunia K-Pop tidak dapat dipertikaikan. Mereka bersatu semula pada bulan Mei sebelum ini untuk sesi fotografi yang amat dinanti-nantikan sempena ulang tahun ke-15 mereka. Persembahan terkini mereka sebagai kumpulan lengkap sebelum ini adalah pada tahun 2022, ketika mereka bersama-sama di atas pentas Coachella semasa memeriahkan persembahan solo CL. Walaupun kumpulan ini rasmi perpecah pada tahun 2016 dan meninggalkan YG Entertainment, mereka telah mengadakan beberapa perjumpaan sepanjang tahun-tahun berlalu, mengekalkan kehangatan dan kasih sayang di antara peminat-peminat mereka di seluruh dunia.
Dengan kembalinya mereka, dijangkakan peminat-peminat akan dapat menyaksikan penampilan yang lebih matang dan penuh semangat daripada kumpulan yang telah menunjukkan impak besar kepada industri hiburan global. World tour yang bermula pada Oktober ini hingga 2025 akan menjadi platform untuk menggambarkan kembali kehebatan dan keunikan 2NE1 di atas pentas dunia.
2NE1 terdiri daripada empat wanita yang hebat iaitu CL, Bom, Dara, dan Minzy. Antara lagu-lagu hits mereka seperti “I Am The Best,” “I Don’t Care,” dan “FIRE,” yang semuanya memenangi hati peminat dengan irama yang unik dan lirik yang mendalam. Peminat boleh mengharapkan persembahan yang mengagumkan yang membawa nostalgia dan juga kehangatan yang baru dalam perjalanan kembali kumpulan ini.
Artikel Berkaitan : Dari Idol kepada CEO: 7 Artis Korea Ini Membuka Syarikat Rakaman Mereka Sendiri