Tahun 2021 memberikan harapan baharu buat peminat K-Pop apabila kumpulan kesayangan ramai, 2PM akan kembali aktif sedikit masa lagi.
Setelah empat tahun menyepi, agensi JYP Entertainment mengumumkan berita gembira beberapa hari lalu bahawa 2PM akan kembali menghiburkan peminat selepas kepulangan Junho daripada latihan ketenteraan Mac nanti.
Selain Junho, Chansung juga baru menamatkan latihan ketenteraan awal bulan ini. Bermakna selepas ini 2PM akan membuat persembahan bersama kesemua ahli kumpulan.
2PM berehat daripada industri hiburan sejak 2016 berikutan komitmen mereka terhadap latihan ketenteraan. Walaupun tidak aktif, muzik mereka tetap berjaya mencuri tumpuan.
Selain daripada nyanyian dan projek solo, lagu hit tahun 2015 mereka, My House tiba-tiba kembali hangat tahun lalu. Ia menjadi tular selepas lima tahun dilancarkan dan dinyanyikan semula oleh ramai idola muda.
2PM ditubuhkan pada tahun 2008 dan dianggotai oleh Nichkhun, Taecyeon, Junho, Chansung, Wooyoung serta Jun K. Antara lagu popular mereka termasuk Again & Again, Heartbeat, I’ll Be Back dan Hands Up.
Menurut ciapan terbaharu di Twitter, mereka berjanji akan terus memberikan yang terbaik.
“Dengan kehadiran semua ahli kumpulan, kami akan menyambut anda dengan kandungan yang lebih hebat. Nantikan kemunculan kami tahun 2021 ini.”
Foto: Kpop.fandom