Anugerah Juara Lagu (AJL40) bakal dilangsungkan pada 15 Ogos ini, dan sebanyak 10 buah lagu bakal dipersembahkan di malam kemuncak tersebut. Dalam menanti lagu manakah yang bakal dimahkotakan sebagai penerima trofi AJL ke-40 di Unifi Arena, EH! mengajak anda mengimbas kembali 39 buah lagu yang pernah dinobatkan sebagai pemenang utama Anugerah Juara Lagu.
AJL1, 1986- SEKADAR DI PINGGIRAN
Siapa bisa melupakan penampilan ringkas Francisca Peter ke atas pentas, dengan berbaju kurung, dia mengalunkan lagu ini sesempurna mungkin. Lagu ciptaan Manan Ngah dan liriknya ditulis oleh Lukhman S ini dimuatkan di dalam album Francisca yang menggunakan tajuk yang sama.
“Tidak ku sampai ke puncak sana
Apalah daya
Bertahan cuma di pinggiran
Yang memilukan”
AJL2, 1987 – MENARUH HARAPAN
Lagu ini terus menjadi lagi signature buat penyanyinya sendiri, Zaiton Sameon. Liriknya bagaikan satu luahan dan cerita tentang kehidupannya, sebuah perjalanan yang penuh dengan impian dan harapan. Lagu ini adalah garapan A. Ali manakala liriknya ditulis oleh Datuk Hajah Habsah Hassan.
“Selagi hidup belum sudah
Aku akan terus melangkah
Ku yakin rahmat buatku
Di hadapan menunggu”
AJL3, 1988- KAU KUNCI CINTAKU (DALAM HATIMU)
Seperti Zaiton Sameon dan Francisca Peter, lagu ini juga berjaya menjadi lagu signature buat Ramlah Ram. Tambahan pula dengan penampilannya dengan baju berbentuk hati di malam Juara Lagu ini, membuatkan persembahan ‘Kau Kuci CIntaku (Dałam Hatimu)’ antara yang paling ikonik dalam sejarah AJL. Lagu ini ditulis oleh Tan Sri Ahmad Nawab manakala liriknya disempurnakan oleh wartawan hiburan tersohor, Juwie atau nama penuhnya Abdul Jalil Salleh.
“Bila ku terluka terseksaya hati
Bila kau tiada kusetia menanti”
AJL4, 1989- ISABELLA
Lagu ‘Isabella’ bukan sahaja mencetus fenomena di Malaysia malah cukup meledak di Indonesia. Lagu ini juga berjaya meletakkan Search sebagai kumpulan pertama yang menjuarai Juara Lagu. Di atas kertas, lagu ini melodinya ditulis oleh Amy, Yazit, Kid, Din dan Nasir, manakala liriknya ditulis oleh Bob Lokman. Lagu ini dipetik dari album Fenomena.
“Moga dibukakan pintu hatimu untukku
Akan terbentang jalan andainya kau setia
Oh, Isabella”
AJL5, 1990- JANJI MANISMU
‘Janji Manismu’ berjaya meletakkan Aishah sebagai penyanyi pertama yang mengungguli Anugerah Juara Lagu menerusi album debut. Lagu ini dipetik dari album solo sulungnya berjudul Aishah. Lagu ini ditulis oleh Adam Ahmad, lirik ditulis oleh Aishah sendiri dan diterbitkan oleh Adnan Abu Hassan. ‘Janji Manismu’ bukan sahaja masyhur di tanah air malah mendapat tempat di pendengar Indonesia.
“Jalanan hidup ini
Sudah tertulis
Ku tempuhi dengan kesabaran
Ku sadar kebesaran-Mu Tuhan”
AJL6, 1991- TAKDIR DAN WAKTU
Penulis lirik, Juwie sekali lagi naik ke pentas menerima trofi Juara Lagu apabila lagu ‘Takdir dan Waktu’ dinobatkan sebagai pemenang. Lagu ini ditulis oleh Rahim Othman dan dipersembahkan oleh kumpulan Mega.
“Lalu terbuka gerbang hatiku
Menyambut rindu datang bertemu
Aku gelisah”
AJL7, 1992- PADA SYURGA DIWAJAHMU
Datuk Nash menjadi penyanyi solo lelaki pertama yang berjaya membawa pulang trofi Anugerah Juara Lagu. Semuanya itu kerana tuah lagu ciptaan Fauzi Marzuki dan lirik nukilan Bob Lokman. ‘Pada Syurga Wajahmu’ antara lagu yang mendakap erat perasaan seorang isteri yang dicurangi suami.
“Ku yang hanyut di arus dosa
Di laut ribut melanda
Dan berenang ke pelabuhan
Kasih sayang sebenar”
AJL8, 1993- TERATAI LAYU DI TASIK MADU
Adam Ahmad sekali lagi dinobatkan sebagai penerima trofi Juara Lagu. Kolaborasinya bersama S. Amin Shahab berjaya menghasilkan sebuah lagu yang cukup ikonik buat diva balada, Fauziah Latiff. Lagu yang dipetik daripada album Epilog Memori Gelita ini, terus menjadi balada 90-an yang menjadi kesukaan ramai sehingga ke hari ini.
“Walaupun tasik kekeringan
Tak mungkin taratai kan tumbuh di darat
Begitulah takdirnya cintaku di ibarat
Tak akan berubah perasaanku terhadap dia”
AJL9, 1994- TANYA SAMA ITU HUD HUD
Lagu ‘Tanya Sama Itu Hud Hud’ berjaya meletakkan Dato M. Nasir sebagai individu pertama yang meraih trofi Juara Lagu sebagai komposer, penulis lirik dan juga penyanyi.
“Dalam kalut ada peraturan
Peraturan mencipta kekalutan
Di mana pula kau berdiri, di sini”
AJL10, 1995- CINTA BERALIH ARAH
Lagu ‘Cinta Beralih Arah’ menghadiahkan trofi Juara Lagu kedua buat penulis liriknya, Datuk Habsan Hassan dan juga penyanyinya sendiri, Dato’ Aishah. Lagu ini adalah tulisan Jari. Lagu ini jika diamati liriknya penuh berunsur ketuhanan.
“Walau diri hina, tak berharga,
Tetap diterima,
Kelopak kelayuan dipulihkan,
Akhirnya kembali, keyakinan
Pada diri”
AJL11, 1996- JERAT PERCINTAAN
AJL11 adalah detik penting dalam landskap kerjaya Dato Sri Siti Nurhaliza. Inilah kemenangan yang berjaya membuat namanya betul-betul masyhur sebagai penyanyi sampai ke hari ini. Lagu ciptaan Adnan Abu Hassan dan lirik ditulis oleh Othman Zainudin dan Hani MJ ini juga berjaya membawa pulang trofi Persembahan Terbaik, yang mana Anuar Zain juga muncul sebagai seorang model di atas pentas persembahan. Penyanyi Mazleela hampir menggantikan Siti Nurhaliza di pentas akhir Juara Lagu ketika itu kerana Siti pada waktu itu memberi perhatian pada peperikasaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun rancangan itu diubah saat akhir.
“Dalam persimpangan ini
Ku masih terus menanti
Dalam rasa keharuan
Dimanakah akhirnya”
AJL12, 1997- GHAZAL UNTUK RABIAH
Inilah permulaan lagu berentak Irama Malaysia menakluki kedudukan kemuncak Anugerah Juara Lagu. Lagu ini ditulis oleh penyanyinya sendiri iaitu Dato M. Nasir dan Dato Jamal Abdillah, manakala liriknya mendapat sentuhan Rosli Khamis atau Loloq. Lagu ini dipetik dari album Jamal Abdillah, Suratan Kasih. Lagu ini juga difilemkan untuk filem yang menggunakan judul yang sama, dibintangi oleh Wilma Muhamad dan Jamal Abdillah sendiri.
“Asalkan dapat ku mengubati hatiku yang cedera
ditumpaskan cinta
Asalkan dapat ku menundukkan amukan gelora jiwa
Yang menagih kasih”
AJL13, 1998- CINDAI
Siapa sangka percubaan Dato Sri Siti Nurhaliza menghasilkan album tradisional betul-betul mencetus fenomena. Lagu Cindai dari album yang menggunakan tajuk yang sama adalah ciptaan maestro muzik tradisional, Suhaimi Mohd Zain atau lebih masyhur dengan panggilan Pak Ngah. Lirik lagu ini ditulis oleh Dr. Hairul Anuar Harun. Menurut satu temubual lirik lagu ini terilham dari situasi Siti Nurhaliza ketika itu yang diboikot media kerana prinsipnya yang tidak mahu bergambar dengan artis lelaki. Dan lagu ‘Cindai’ itu sendiri adalah sebuah penceritaan duka lara seorang wanita.
“Janganlah jangan jangan ku hiba (rasa sayang)
Derita hati jangan dikenang
Bukanlah bukan bukan ku pinta (rasa sayang)
Merajuk bukan berpanjangan”
AJL14, 1999- ANDALUSIA
Selang setahun, Dato M. Nasir dan Loloq sekali lagi mengungguli pentas AJL apabila diangkat sebagai juara keseluruhan menerusi lagu ‘Andalusia’. Lirik lagu ini amatlah puitis, bercerita kegemilangan islam di Andalusia.
“Apakah sudah kering lautan darah
Yang tertimbus di bumi Alhambra?
Ataupun masih bergelora
Menanti saat melimpah mengikut mata air?”
AJL15, 2000- BALQIS
Kemenangan lagu nyanyian Dato Sri Siti Nurhaliza dan Dato M. Nasir berselang-selang meraih kemenangan, dan tahun ini giliran ‘Balqis’ pula menjadi pujaan juri-juri. Balqis adalah lagu kolaborasi magis antara Pak Ngah dan Dr Hairul Anuar Harun. Lagu ini juga meneruskan kegemilangan lagu Etnik Kreatif dalam gelanggang AJL. Lagu ini bercertia tentang Ratu Balqis dan Nabi Sulaiman A.S. Lagu ini dipetik dari album tradisional kedua Siti Nurhaliza, Sahmura.
“Turut titah setia ratu kota
Lirik mata yang cerah bak sahmura
Singgahsana nan indah tak terperi
Halus santunnya wajah bidadari”
AJL16, 2001- MIMPI LAILA
‘Mimpi Laila’ adalah percaturan haluan baharu buat Yasin Sulaiman selepas era kemunculannya bersama kumpulan nasyid, Brothers. Mempertaruhkan ritma ‘world music’, Yasin nyata berjaya dengan genrenya itu. Yasin mengulangi apa yang dicipta oleh Dato M. Nasir di pentas AJL, meraih kemenangan sebagai penulis lagu, penulis lirik juga penyanyi.
“Berduka lara bergaul ceria
Hidup di alam mimpimu Laila
Laila yang berduka akhirnya terlupa
Hanyut dalam khayalan mimpi indah”
AJL17, 2002- KELIRU
Sehingga hari ini masih ada yang mempertikai kemenangan lagu ciptaan Aidit Alfian ini kerana ramai beranggapan lagu ‘Nirmala’ lebih layak diangkat sebagai Juara Lagu. Namun rezeki sudah tertulis buat lagu nyanyian Ajai dan Nurul ini. Malah sampai ke hari ini lagu ini masih terasa segar bila didengar. Lagu ini juga mencipta sejarah sebagai lagu duet pertama yang memenangi juara keseluruhan.
“Dikau selalu saja begini
Aku selalu tidak mengerti
Namun ku masih percaya
Kita harus bersama”
AJL18, 2003- BUNGA BUNGA CINTA
Saya rasa ini antara Anugerah Juara Lagu terbaik yang pernah dianjurkan, dari awal pembukaan hinggalah detik akhir saat Misha Omar menyanyikan lagu ‘Bunga-Bunga Cinta’ selepas diumumkan sebagai pemenang. Lagu ini antara juara yang bukan hanya membawa takrifan terbaik, malah ia juga membawa ciri sebuah lagu yang popular dan malar segar. Lagu dan lirik ditulis oleh Allahyarham Adnan Abu Hassan dan dipetik dari album ‘Misha’ yang diterbitkan pada tahun 2002. Tahun ini juga menyaksikan kesemua kategori dimonopoli penyanyi baharu iaitu Waheeda (Wassini) dan Ezlyn (Hi Hi Bye Bye).
“Gelora menikam jiwa ini
Melanda di hati
Deraian cinta yang suci”
AJL19, 2004- RELAKU PUJUK
Selepas 13 tahun, akhirnya lagu persembahan berkumpulan (band) kembali memenangi anugerah utama Juara Lagu. ‘Relaku Pujuk’ persembahan Spider, ditulis oleh ahli kumpulannya sendiri iaitu Tam dan Keon. Lagu ini dipetik dari album Nazraku.
“Janganlah kau salahkan aku,
Terus memburu menawan cintamu,
Aku percaya sedikit masa,
Kau kecundang akhirnya”
AJL20, 2005- GEMILANG
Lagu ‘Gemilang’ bagi saya adalah sebuah lagu yang tercipta khusus untuk Jaclyn Victor. Aubrey Suwito benar-benar mencipta sebuah lagu yang beradun mesra dengan vokal Jac, malah sesuai benar dengan situasi lagu ini dipersembahkan buat pertama kali iaitu di pentas akhir Malaysian Idol. Kemenangan ini juga meletakkan Aubrey sebagai pencipta lagu bukan Melayu pertama yang memenangi AJL. Lirik lagu ini ditulis oleh Asmin Mudin. Tahun ini juga Jac turut ke pentas akhir dengan satu lagi lagu iaitu ‘Wajah’.
“Gementar harus jangan,
Jiwaku harus bertenaga,
Mungkinkah ini (mungkinkah ini),
Menjadi realiti”
AJL21, 2006- TERLALU ISTIMEWA
Lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan liriknya ditulis sendiri oleh Adibah Noor ini adalah satu penghormatan Adibah Noor kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa rogol dan bunuh khususnya Allahyarham Nurul Huda Abdul Ghani.
“Ku pasti kau berbahagia,
Duduk di samping-Nya,
Mendengar cerita,
Segala rahsia”
AJL22, 2007- ITU KAMU
‘Itu Kamu’ single bahasa Melayu pertama Estranged, dipetik dari album ‘In Hating Memory’. Kemenangan ini membawa Estranged yang dikenali sebagai kumpulan dengan genre alternatif lebih popular pasaran massa. Lagu ini ditulis oleh Estranged sendiri, dan senikatanya ditulis sepenuhnya oleh Richael Gimbang.
“Takkan puas ku mengiringi semua tawa dan tangisanmu
Anggun wajahmu, pelita yang terang”
AJL23, 2008- LAGU UNTUKMU
‘Lagu Untukmu’ menjadi lagu kedua yang menjadi runut bunyi filem Kami The Movie yang menjadi pemenang di AJL. Lagu ini ditulis oleh Taja dan liriknya pula hasil karya, Tass.
“Apakah aku
Hanya boneka yang sering engkau mainkan
Yang dikawal oleh jari-jarimu”
AJL24, 2009- PERGI
Sebuah lagi lagu runut bunyi filem mendapat pengiktirafan di AJL. ‘Pergi’ nyanyian Aizat Amdan dipetik daripada filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, ‘Talentime’. Melodi lagu ini dicipta oleh Pete Teo manakala Amran Omran dipertanggungjawab menyempurnakan liriknya.
“Tak daya kau ku lupa
Apapun kata mereka
Biarkan kenangan berbunga di ranting usia”
AJL25, 2010- TOLONG INGATKAN AKU
Ana Rafali menjadi pemenang wanita pertama yang memenangi Juara Lagu sebagai pencipta lagu, penulis lirik dan penyanyi menerusi lagu ‘Tolong Ingatkan Aku’. Biarpun ada yang mempertikai kemenangan lagu ini, namun keunikan pada melodi dan lirik yang ada pada lagu ini berjaya memikat barisan juri yang diketuai oleh Dato M. Nasir. Lagu ini dipetik dari album ‘Ketika Aku Kecil’.
“Tolong ingatkan aku kisah kau tersedar
Dengan saku penyeluk masa
Kau dampingi aku setiap detik jantungku berdetak
Setiap nota jiwaku berlagu-lagu”
AJL26, 2011- AWAN NANO
Hanya berkemeja-t dan berseluar sukan, Hafiz melantunkan lagu ‘Awan Nano’ ciptaan Dato M. Nasir dan lirik Buddhi Hekayat dengan cukup cemerlang, lantas meletakkan lagu ini di dalam sejarah AJL sebagai pemenang AJL24. Khabarnya lirik lagu ini diilhamkan dari kisah zaman kanak-kanak Nabi Muhammad S.A.W yang dilindungi awan sewaktu perjalanannya dari kota Arab ke Syam. Kisah itu dijadikan simbolik kepada satu perlindungan dan kasih sayang sejati.
“Kasihku, kasih tiada banding setia tiada tara
Bagaimanapun jua
Aku pelindung dirimu sayang
Walaupun tak akan tercapai jejarimu”
AJL27, 2012- TERUKIR DI BINTANG
Aizat Amdan menggantikan Yuna yang ketika itu berada di Amerika Syarikat. Lagu ini dicipta oleh Yuna sendiri, begitu juga liriknya. Lagu cinta ini mempunyai nilai malar segar yang sangat kuat, dan sehingga hari ini lagu ‘Terukir di Bintang’ menjadi pilihan pasangan yang mahu meraikan cinta mereka. Inilah lagu pertama yang dipersembahkan penyanyi gantian yang berjaya memenangi AJL keseluruhan.
“Sayangku, jangan kau persoalkan siapa dihatiku,
Terukir di bintang,
Tak mungkin hilang cintaku padamu”
AJL28, 2013- BAHAGIAMU DERITAKU
Lagu ‘Bahagiamu Deritaku’ membawa LY dan Baiduri naik ke pentas AJL sebagai penerima trofi utama AJL, selain menjadi kemenangan kedua buat Hafiz Suip. Kemenangan ini juga sekaligus menjadikan LV dan Baiduri sebagai pencipta lagu dan lirik suami isteri pertama menjadi juara keseluruhan. Namun, di sebalik kemenangan itu Hafiz gagal meneruskan kecemerlangannya sebagai pemenang Vokal Terbaik yang dimenanginya tiga tahun berturut-turut sebelum itu.
“Yang pasti aku tak mahu lupakan cinta
Kau percik api, membakar kenangan lama”
AJL29, 2014- APA KHABAR
Dipetik dari album ‘Havoc’, kolaborasi Joe Flizzow dan SonaOne ternyata benar-benar menjadi, lantas meletakkan Apa Khabar sebagai lagu Hip-Hop pertama yang diiktiraf sebagai Juara Lagu. Lagu ini dicipta SonaOne dan liriknya ditulis oleh SonaOne. Peminat menganggap lirik lagu ini ibarat sepucuk surat terbuka dari Joe Flizzow kepada Malique.
“Dalam perjalanan banyak persimpangan
Di mana kita bertukar arah
Kau lurus ke kiri, aku tegak ke kanan
Di mana kita tersilap langkah”
AJL30, 2015- POTRET
Walaupun pada tahun ini ramai meramalkan lagu ‘Assalammualaikum’ dendangan Faizal Tahir akan menang mudah, namun ternyata rezeki memihak kepada ‘Potret’ persembahan Akim & The Majistret. Lagu ini ditulis oleh Akim Ahmad dan Hang Nadim, manakala liriknya ditulis oleh Kamar Empayar. “Lagu Potret ialah gambaran pengalaman saya ketika kehilangan seorang ustaz yang saya kagumi ketika belajar di sebuah sekolah agama,” kata Kamar Empayar atau Afham Zulhilmi dalam satu temubual bersama Berita Harian.
“Berjalan tenang menghampiri persisiran
Melakar namamu di sisi pasir pantai
Pastinya hilang tidak rasaku kepadamu”
AJL31, 2016- LELAKI TERAGUNG
‘Lelaki Teragung’ menjadi lagu pertama dendangan Dayang Nurfaizah yang berjaya membawa gelaran juara baginya. Lagu ini ditulis oleh Natasyah Ahmad dan liriknya ditulis oleh wartawan hiburan, Allahyarham Rudy Imran atau nama penanya Iman Imran. Dayang Nurfaizah bukan hanya membawa trofi Juara Lagu semata, malah dia membawa pulang trofi Vokal Terbaik buat kali ketiga berturut-turut pada malam tersebut.
“Kasih pabila bersama
Dunia terasa sempurna
Jangan tinggalkan diriku
Oh sayangku oh”
AJL32, 2017- JAMPI
Lagu ‘Jampi’ menjadi detik penting bagi Hael Husaini kerana kemenangannya pada malam terebut berjaya mengangkat keberadaannya di dalam industri. Bukan semata sebagai seorang penyanyi malah sebagai pencipta lagu. Kolaborasinya bersama Ezra Kong mencipta lagu dan menulis lirik ternyata benar-benar menjadi. Rentetan dari kemenangan pada malam tersebut banyak lagu-lagu popular dilahirkan hasil kolaborasi mereka berdua.
“Kau buat ku terpaku
Sepertinya diriku yang mau diri kamu”
AJL33, 2018- HARAM
Hael Husaini dan Ezra Kong sekali lagi mencipta sejarah apabila sekali lagi bergelar pemenang utama di pentas Anugerah Juara Lagu. Lebih istimewa, kali ini lagu yang dipertaruhkan adalah gandingan Hael bersama pemilik Juara Lagu AJL31, Dayang Nurfaizah.
“Kan ku haramkan hati
Selain diri ini
Hanya kita berdua”
AJL34, 2019- SUMPAH
Pada tahun ini, dua buah lagu berjudul ‘Sumpah’ mara ke pentas Anugerah Juara Lagu, (Aina Abdul dan Naim Daniel), namun rezeki menyebelahi ‘Sumpah’ yang ditulis Naim Daniel bersama Omar K. Lirik lagu ini ditulis oleh Naim Daniel sendiri. Kemenangan Naim Daniel mencatatkan sejarah buatnya apabila menjadi penulis lagu termuda yang memenangi juara keseluruhan di AJL. Naim berusia 22 tahun ketika kemenangannya ini.
“Cinta
Akan ku mengasihimu
Sehingga nadiku tiada lagi berlagu”
AJL35, 2020- GILA
Ternyata idea menghasilkan lagu berdasarkan situasi semasa (Covid 19 dan PKP) berjaya membawa tuah buat Ezra Kong, Noki dan Loca B yang bertindak sebagai pencipta lagu dan penulis lirik buat lagu ini. ‘Gila’ adalah gandingan suara Noki, Loca B dan Kaka Azraff.
“Putaran bumi pun aku boleh rasa
Sampai masanya kita jumpa di luar sana”
AJL36, 2021- PELUKAN ANGKASA
‘Pelukan Angkasa’ mungkin bukan sebuah lagu yang mempunyai nilai komersil yang tinggi, tidak memiliki sifat popular tapi punya keunikan dan tarikannya. Kolaborasi Sekumpulan Orang Gila (SOG) bersama Shila Amzah menambah kelaian pada persembahan lagu ini. ‘Pelukan Angkasa’ adalah hasil idea kreatif Raja Nazrin Shah pada bahagian melodi, dan Fazleena Hishamuddin pada bahagian senikata.
“Pangkulah aku wahai semesta
Katakan cinta itu membebaskan”
AJL37, 2022- TERUS HIDUP
Aina Abdul mengulangi sejarah Ana Rafali apabila lagu ciptaan sepenuhnya dan dendangannya diangkat sebagai juara AJL37. Menurut Aina Abdul, judul ‘Terus Hidup’ datangnya dari ibunya sendiri selepas ibunya mendengar melodi dan membaca lirik lagu itu. Aina turut membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada malam tersebut.
“Walau derita
Mimpi yang tiada penyudah
Akan aku abadikan cinta yang menjarak antara kita”
AJL38, 2023- HASRAT
Lagu runut bunyi filem ‘Imaginur’ ini berjaya menambat hati dan telinga juri-juri yang menilai 12 buah lagu di malam AJL38. Lagu ini ditulis dan dipersembahkan sepenuhnya oleh Amir Jahari. Nama kanak-kanak yang syahid akibat g******e di 9aza melatari persembahan Amir menambah sebak mereka yang menonton di Axiata Arena.
“Jika hari ini
Ku menghembuskan nafas terakhir
Pedulikah kamu”
AJL39, 2024- HENING RINDU
Penyanyi lagu ini, Marsha Milan sendiri agak tidak percaya lagu ini bakal menghadiahkannya trofi utama Juara Lagu, dan ini boleh dilihat pada riak wajahnya saat kemenangan itu diumumkan. Lagu ‘Hening Rindu’ adalah hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh, dan senikatanya ditulis oleh Ikhwan Fatanna.
“Rindu membatas jasadku
Menyentuh cintamu
Mungkin ini takdirnya
Yang kugenggam hanya duka”
