The next Rockstar in the making!
Nama Nene Royal kini menjadi perhatian selepas remaja berusia 16 tahun dari Phuket, Thailand itu dinobatkan sebagai juara America’s Got Talent Season 21.
Nama sebenar Rattikarn Amloy, Nene mencipta sejarah sebagai peserta pertama dari Thailand yang memenangi America’s Got Talent. Kemenangan tersebut turut membawanya pulang hadiah utama sebanyak US$1 juta atau kira-kira RM4.07 juta.

Dalam persembahan final, Nene memilih lagu “Seven Nation Army” daripada The White Stripes sambil bermain gitar. Sebelum itu, dia mencuri perhatian sejak sesi uji bakat dengan lagu “Zombie” oleh The Cranberries dan meneruskan saingan dengan “Hysteria” oleh Muse serta “Black Hole Sun” oleh Soundgarden.
Jom ketahui lima fakta menarik tentang Nene Royal yang mungkin ramai belum tahu.
1. Nene Royal mula bermain gitar sejak kecil
Nene mula mengenali gitar ketika berusia sekitar tujuh tahun dan banyak belajar secara sendirian melalui video dalam talian.
Daripada sekadar belajar bermain gitar, minat tersebut berkembang menjadi impian untuk menjadi seorang bintang rock. Menurut profil rasminya, Nene banyak membentuk kemahiran muziknya melalui latihan sendiri sebelum mula mendapat perhatian lebih luas di Thailand.

2. Sebelum America’s Got Talent, Nene pernah busking di Phuket
Sebelum berdiri di pentas besar America’s Got Talent, Nene sudah biasa membuat persembahan secara busking di Phuket.
Dia pernah bermain di Naka Weekend Market, antara lokasi yang membantu Nene mendapatkan pengalaman membuat persembahan di hadapan orang ramai. Dari persembahan di pasar malam, dia akhirnya membawa kemahiran tersebut ke pentas antarabangsa.

3. Persembahan Zombie buat namanya mula dikenali di AGT!
Untuk sesi uji bakat America’s Got Talent, Nene memilih lagu “Zombie” oleh The Cranberries.
Dengan vokal rock dan permainan gitar yang bertenaga, persembahannya menerima empat undian Yes daripada juri dan membawanya ke pusingan seterusnya. Video persembahan tersebut kemudiannya menjadi tular dan mengumpul jutaan tontonan di platform rasmi America’s Got Talent.
Menariknya, ketika sesi uji bakat itu difilemkan, Nene hanya berusia 15 tahun!

4. Mel B beri Golden Buzzer selepas Nene nyanyi Black Hole Sun
Nene membawakan lagu “Black Hole Sun” oleh Soundgarden dalam pusingan suku akhir secara langsung. Persembahan tersebut membuatkan juri Mel B menekan Live Golden Buzzer, sekali gus menghantar Nene terus ke final tanpa perlu melalui undian awam bagi pusingan tersebut.

5. Nene menutup perjalanan AGT dengan Seven Nation Army
Untuk persembahan terakhirnya sebelum keputusan pemenang diumumkan, Nene memilih lagu “Seven Nation Army” oleh The White Stripes.
Dia menggabungkan vokal dengan permainan gitar yang menjadi identitinya sepanjang pertandingan. Persembahan itu menjadi detik terakhir Nene sebagai peserta sebelum namanya diumumkan sebagai juara America’s Got Talent Season 21.
Lebih menarik, Nene turut diberi peluang membuat persembahan bersama Linkin Park dalam finale menerusi lagu “The Emptiness Machine”. Dia menyanyikan bahagian pembukaan lagu tersebut sebelum Emily Armstrong menyertainya di atas pentas.
