Kekal mekar, pesona Sweet Qismina tidak pernah pudar sejak kemunculannya sebagai pelakon kanak-kanak di awal tahun 2000-an.
Berbekalkan bakat semula jadi dan keperibadian manis, nama Sweet Qismina kini berdiri megah sebagai antara pelakon muda paling berbakat dan berpengaruh di Malaysia.
Seiring dengan peningkatan usia dan kematangan kariernya, Sweet Qismina berjaya membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar wajah cantik di skrin, tetapi juga seorang pelakon versatil yang mampu menghidupkan pelbagai karakter daripada gadis polos dan ceria, kepada wanita penuh emosi dan keteguhan jiwa.
Untuk mengimbas perjalanan cemerlangnya dalam dunia lakonan, EH! menyenaraikan 5 filem dan drama paling popular lakonan Sweet Qismina, karya yang bukan sahaja melonjakkan namanya di persada hiburan, tetapi turut membuktikan kehebatannya sebagai pelakon muda generasi baharu yang penuh potensi.

1. Hikayat Putera Shazlan
Sebuah siri televisyen fantasi popular Malaysia yang mula disiarkan pada tahun 2007 di Astro Ceria, diterbitkan oleh Filmscape. Siri ini menampilkan Fimie Don sebagai watak utama, Shazlan, dan turut dibintangi oleh Sweet Qismina sebagai Fasha.
Kisahnya mengisahkan Shazlan, seorang budak lelaki yang tinggal bersama ibu saudaranya selepas kehilangan ibu bapa. Suatu hari, dia menemui buku ajaib yang memberinya pelbagai objek berkuasa seperti teko emas dan gunting ajaib. Namun, kuasa tersebut bukan jalan mudah untuk menyelesaikan masalah sebaliknya Shazlan perlu belajar tentang tanggungjawab, kejujuran, dan nilai moral setiap kali menggunakan kuasa itu.
Siri ini menjadi fenomena pada zamannya dan dikenang sebagai antara rancangan kanak-kanak paling nostalgik dan berpengaruh dalam sejarah televisyen Malaysia.
2. Bidadari Salju
Drama romantik adaptasi daripada novel karya Mia Kiff, yang mula ditayangkan pada 15 Disember 2020 dalam slot Akasia TV3. Drama ini dibintangi oleh Sweet Qismina sebagai Kayra dan Adam Lee sebagai Hariz.
Kisahnya mengisahkan Kayra, seorang gadis miskin yang sering dibuli dan dihina ketika zaman sekolah kerana penampilannya. Antara yang paling membencinya ialah Hariz, pelajar popular yang menfitnah Kayra hingga maruahnya tercalar teruk.
Lapan tahun kemudian, Kayra bangkit sebagai wanita berjaya dan berdikari. Namun, dia masih menyimpan trauma dan dendam terhadap masa silamnya. Takdir mempertemukannya semula dengan Hariz, lelaki yang pernah menghancurkan hidupnya. Tanpa diduga, Hariz menjadi jodohnya, dan mereka terpaksa belajar berdamai dengan kisah lalu untuk membina masa depan bersama.
3. Lecturerku Oppa!
Lecturerku, Oppa! ialah drama romantik Malaysia–Korea yang mengisahkan Hwang Jung-Hyun (lakonan Jang Han-Byul), seorang pensyarah dari Korea Selatan yang berpindah ke Malaysia untuk mengajar di sebuah universiti tempatan. Fasih berbahasa Melayu dan berpersonaliti menarik, Jung-Hyun cepat menjadi tumpuan para pelajar.
Di universiti itu, dia bertemu dengan Sara (lakonan Sweet Qismina), seorang pelajar yang berdikari dan tegas. Hubungan mereka bermula apabila Jung-Hyun membantu Sara menyiapkan projek berkaitan budaya Korea. Walaupun pada awalnya Sara berasa janggal, lama-kelamaan timbul rasa suka antara mereka.
Namun, cinta mereka diuji oleh perbezaan budaya, agama, dan status sebagai pensyarah serta pelajar, yang menimbulkan konflik dan pandangan negatif daripada sekeliling. Dalam perjalanan kisah ini, Jung-Hyun akhirnya memeluk Islam dan mengambil nama Daniel Abdullah, menandakan titik perubahan besar dalam hidupnya dan hubungan mereka.
4. Pusaka
Filem seram misteri arahan Razaisyam Rashid yang mengisahkan Inspektor Nuar Ishak, seorang pegawai polis yang menyiasat satu kes aneh apabila menemui pasangan kembar perempuan, Balqis dan Qistina Megat Mahmud, terkurung dalam sebuah rumah tinggal bersama mayat yang tidak diketahui identitinya.
Ketika siasatan dijalankan, Nuar mula mengalami gangguan pelikl bayangan misteri, bisikan ghaib, dan kematian demi kematian orang yang dikaitkan dengan kes tersebut. Dalam masa yang sama, dia berdepan konflik peribadi melibatkan hubungannya dengan adik kembar sendiri, yang turut mempunyai kaitan dengan rahsia gelap di sebalik kes itu.
5. Babah 2024
Filem drama yang menyentuh hati tentang kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah. Mengisahkan Isyak, seorang bapa yang mempunyai masalah pendengaran, membesarkan anak perempuannya Maya seorang diri sejak kecil. Walaupun serba kekurangan, Isyak tetap berusaha memberikan yang terbaik buat anaknya.
Apabila Maya meningkat dewasa dan berkahwin, dia diuji dengan penyakit Sindrom Guillain-Barré (GBS) yang menyebabkan dirinya lumpuh separa. Sekali lagi, Isyak mengambil tanggungjawab menjaga anaknya tanpa mengeluh, membuktikan bahawa kasih seorang ayah tidak pernah pudar walau waktu berlalu.
Berlatar dari tahun 1990-an hingga 2020-an, filem ini sarat dengan emosi dan menjadi peringatan agar kita menghargai kasih ibu bapa selagi mereka masih ada.
