Barisan pelakon popular dan jalan cerita yang menarik, daripada kisah seram, komedi hingga drama, filem Melayu kini semakin mendapat perhatian penonton dan menguasai pawagam tempatan.
Ada yang keluar panggung sambil ketawa, ada yang keluar dalam keadaan terdiam. Apa pun reaksinya, filem-filem ini berjaya meninggalkan kesan kepada penonton. Berikut merupakan lima filem Melayu yang sedang menjadi bualan ramai ketika ini.
Polong

Diangkat daripada mitos Melayu yang cukup terkenal, Polong mengisahkan seorang wartawan yang cuba menyiasat seorang bomoh wanita yang dikaitkan dengan amalan ilmu hitam. Siasatan tersebut membawanya kepada pelbagai rahsia gelap yang melibatkan keluarga, dendam lama dan gangguan mistik.
Dibintangi Mimi Lana, Jun Lojong dan Nadiya Nisaa, filem ini turut mengambil inspirasi daripada kes jenayah Malaysia berprofil tinggi, termasuk kisah Mona Fandey.
Tarung: Unforgiven

Bagi peminat filem aksi, Tarung: Unforgiven antara judul yang tidak boleh dilepaskan. Mengikuti perjalanan Hatta, bekas juara silat yang kembali ke gelanggang pertarungan haram demi menanggung kos rawatan adiknya yang sakit.
Dibintangi Mierul Aiman dan Aedy Ashraf, filem ini menampilkan babak pertarungan yang intens, menyentuh tentang persahabatan, pengkhianatan dan peluang kedua. Kehadiran nama-nama besar seperti Zul Ariffin dan Bront Palarae turut menambahkan lagi tarikan filem ini.
The Furious

The Furious: Pertaruhan Maruah membawa penonton ke dunia tinju apabila dua adik-beradik yang telah lama berpisah dipertemukan semula selepas nama keluarga mereka dihina. Demi mempertahankan maruah arwah bapa mereka, kedua-duanya terpaksa berdepan pelbagai cabaran di dalam dan luar gelanggang.
Diterajui Zul Ariffin, Sky Iskandar dan Ikmal Amry, filem ini menggabungkan aksi tinju yang intens dengan konflik kekeluargaan yang sarat emosi. Sementara Tarung: Unforgiven menumpukan kepada pertarungan bawah tanah, The Furious memilih arena tinju sebagai medan menyelesaikan konflik.
Kata Hati

Selepas deretan filem aksi menguasai pawagam, Kata Hati hadir sebagai pilihan buat peminat komedi romantik. Filem ini mengisahkan Ayra Natasha, seorang pelakon terkenal yang hidupnya berubah selepas terpalit dengan insiden memalukan.
Ketika cuba melarikan diri daripada tekanan dunia glamor, dia bertemu dengan seorang pemandu e-hailing yang melayannya seperti orang biasa. Dibintangi Nia Atasha dan Yusof Hashim, Kata Hati menawarkan kisah cinta manis sambil menyentuh realiti di sebalik kehidupan selebriti.
Khadam

Buat peminat filem seram, Khadam mengangkat kisah saka dan warisan gelap yang diturunkan dari satu generasi ke generasi lain. Berlatarbelakangkan era 1950-an, filem ini mengikuti Melor yang terpaksa berdepan dengan entiti misteri yang semakin mengambil alih kehidupannya.
Diterajui Aghniny Haque dan Remy Ishak, Khadam memilih pendekatan seram psikologi berbanding sekadar jump scare. Dengan elemen mistik Melayu yang kuat serta jalan cerita yang penuh misteri, filem ini antara yang paling dinantikan oleh peminat genre seram tempatan.
Baca: Sooyoung SNSD & Jung Kyung-ho Tamat Hubungan Selepas 14 Tahun
