Ashton Kutcher membuat kemunculan sulung sebagai pelakon di kaca televisyen menerusi sitkom That ‘70s Show pada 1998.
Sejak itu perjalanan kerjayanya terus mekar. Dia membintangi filem pertamanya bergenre komedi romantik, Coming Soon setahun kemudian. Ini diikuti dengan Dude, Where’s My Car (2000), Just Married (2003), My Boss’s Daughter (2003) dan The Butterfly Effect (2004). Kini Ashton Kutcher tersenarai sebagai salah seorang bintang paling disegani di Hollywood.
Awal tahun ini pelakon dan penerbit itu muncul dalam filem Your Place Or Mine di samping Reese Witherspoon yang meraih hanya 34% skor daripada Rotten Tomatoes. Entah mengapa walaupun muncul dalam naskah terbaik, kesemuanya filem lakonannya mendapat skor kurang daripada 50%.
Apapun EH! kongsikan lima filem terbaik Ashton Kutcher yang memperoleh skor tertinggi daripada Rotten Tomatoes
5. The Guardian (2006)
Skor: 37%
Ashton Kutcher menggalas watak sebagai pengawal pantai di samping Kevin Costner dalam filem ini. Untuk mengatasi rasa bersalah berikutan kemalangan yang mengorbankan anak kapalnya, pengawal pantai bernama Ben Randall (Kevin Costner) berusaha merekrut orang baru. Dari situ dia bertemu juara renang, Jake Fischer (Ashton) yang kemudiannya menjadi pelatihnya. Sebaik sahaja tamat latihan, Jake menyertai Ben dalam misi menyelamat yang mendebarkan.
4. A Lot Like Love (2005)
Skor: 41%
Berkisar tentang Oliver (Ashton) dan Emily (Amanda Peet) yang bertemu secara kebetulan di atas kapal terbang. Walaupun tertarik terhadap satu sama lain, mereka memutuskan untuk tidak menjalin sebarang hubungan. Sepanjang tujuh tahun mereka sering terserempak sehingga terpaksa membuat keputusan: Adakah mereka ditakdirkan bersama atau hanya kekal sebagai kawan.
3. Guess Who (2005)
Skor: 41%
Filem remake dari tahun 1967, Guess Who’s Coming To Dinner ini mengisahkan tentang pertemuan pertama Simon (Ashton) dengan keluarga tunangnya, Theresa (Zoe Saldana). Saat bertemu, sukar untuk keluarga Theresa menerima hakikat bahawa dia menjalin cinta dengan lelaki berkulit putih. Individu yang paling sukar untuk dimenangi hatinya adalah Percy Jones (Bernie Mac), bapa Theresa.
2. Bobby (2006)
Skor: 47%
Ashton Kutcher melakonkan watak Fisher, seorang pengedar dadah dalam filem fiksyen yang merakamkan detik beberapa jam sebelum Robert F. Kennedy ditembak di Hotel Ambassador, Los Angeles pada 1968. Filem ini menerokai bagaimana kehidupan orang ramai dari pelbagai latar belakang terjejas selepas kematian ahli politik dan peguam itu.
1. No String Attached (2011)
Skor: 48%
Mengisahkan tentang dua individu yang mengambil ‘kesempatan’ terhadap satu sama lain atas nama persahabatan. Sebaik sahaja Adam (Ashton) mendapat tahu bapanya sendiri menjalin hubungan dengan bekas kekasihnya, dia melawat rakan baiknya Emma (Natalie Portman) dan mereka bersetuju untuk berhubungan seks. Pelbagai rancangan dan peraturan dibuat untuk tujuan itu, tetapi apakan daya apabila salah seorang mula jatuh cinta.