Bollywood mengalami perubahan baru selepas Hrithik Roshan memasuki industri perfileman menerusi filem Kaho Naa Pyaar Hai pada 2000.
Bergandingan dengan Ameesha Patel yang juga pelakon baru ketika itu, Hrithik Roshan membuatkan ramai terpesona dengan wajah kacak, susuk sasa serta bakat luar biasanya dalam bidang tarian.
Sejak itu aktor yang diberi gelaran ‘Greek God’ India ini telah menggalas pelbagai watak dalam filem hebat dan memenangi banyak anugerah tersohor. Ini termasuk enam trofi Filmfare Awards di mana empat daripadanya adalah kategori Aktor Terbaik.
Ini senarai filem hebat Hrithik Roshan menurut Rotten Tomatoes
5. Jodhaa Akbar (2008)
Skor Rotten Tomatoes: 79%
Kisah percintaan epik berlatarkan India pada abad ke-16. Demi meluaskan empayarnya, Maharaja Mughal Hindustan, Jalaluddin Mohammad Akbar bersetuju ‘berkahwin kontrak’ dengan Puteri Rajput yang berani, Jodhaa (Aishwarya Rai).
Tanpa diduga, Maharaja beragama Islam itu perlu mempertahankan keputusannya setelah pihak istana menyuarakan rasa tidak senang terhadap perkahwinannya dengan wanita Hindu.
Hrithik Roshan membawa pulang trofi Filmfare Awards dan beberapa anugerah antarabangsa menerusi lakonan hebatnya dalam filem ini.
4. Koi… Mil Gaya (2003)
Skor Rotten Tomatoes: 80%
Hrithik Roshan memulakan kerjayanya menerusi Kaho Naa Pyaar Hai namun filem inilah yang melonjakkan namanya di Bollywood. Dia menggalas watak Rohit Mehra, pemuda kurang upaya mental yang tanpa sengaja memanggil makhluk asing ke Bumi.
Apabila perkara itu sampai ke pengetahuan pihak polis, mereka memburu Rohit dan rakan-rakannya termasuk Nisha (Preity Zinta) kerana cuba menyembunyikan makhluk asing yang diberi nama Jaadu.
Filem yang turut dibintangi oleh bapa kandung Hrithik Roshan, Rakesh Roshan ini menyapu bersih semua anugerah utama tahun itu termasuk Aktor Terbaik.
3. Lakshya (2004)
Skor Rotten Tomatoes: 85%
Filem arahan Farhan Akhtar ini mengisahkan tentang Karan Shergill, seorang pemuda yang hidupnya hanya bergantung pada harta kekayaan bapanya. Selepas menonton filem aksi, dia dan beberapa rakannya tiba-tiba bersemangat untuk menyertai Angkatan Tentera India.
Bagaimanapun tindakannya itu sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’. Merasakan ia terlalu sukar, dia membuat keputusan menarik diri daripada pasukan tentera. Setelah tercetusnya konflik dengan keluarga dan teman wanitanya Romila Dutta (Preity Zinta), dia kembali menyertai pasukan tentera untuk membanggakan mereka.
2. Zindagi Na Milegi Dobara (2011)
Skor Rotten Tomatoes: 88%
Filem ini menampilkan tiga watak utama yang merupakan rakan baik sejak kecil; Arjun Saluja (Hrithik Roshan), Imraan Qureshi (Farhan Akhtar) dan Kabir Dewan (Abhay Deol). Masing-masing mempunyai kisah tersendiri untuk diceritakan.
Tiga sahabat ini membuat keputusan melancong selama tiga minggu ke Sepanyol untuk meraikan parti bujang Kabir. Dalam perjalanan, masing-masing memilih sejenis sukan berbahaya yang mereka semua perlu sertai.
Menuju destinasi, Arjun bertemu Laila (Katrina Kaif) dan jatuh cinta. Kabir dan tunangnya, Natasha Arora (Kalki Koechlin) pula mengalami salah faham sehingga menggugat perhubungan mereka. Manakala Imraan dalam diam cuba menjejaki ayah kandungnya, seorang pelukis.
1. Agneepath (2012)
Skor Rotten Tomatoes: 92%
Filem ini diadaptasi daripada filem asal tahun 1990 lakonan Amitabh Bachchan dengan tajuk sama. Ia berkisar tentang Vijay Deenanath Chauhan, seorang lelaki biasa dari kampung terpencil Mandwa yang bertindak membalas dendam atas pembunuhan bapanya di tangan Kancha Cheena (Sanjay Dutt).
Demi menjayakan misinya, dia menjalin persahabatan dengan ketua samseng Rauf Lala (Rishi Kapoor). Tanpa sedar, dia jatuh cinta dengan seorang gadis bermulut becok, Kaali Gawde (Priyanka Chopra).