Kembali mencuri perhatian di media sosial, ini lima filem terbaik Que Haidar yang perlu anda tonton!
Figura serba boleh ini memulakan perjalanan seninya di pentas teater selepas menamatkan pengajian di ASWARA sebelum debut di televisyen menerusi Toll Gate Girl arahan Osman Ali pada tahun 2001. Sejak itu, namanya terus bersinar dengan lakonan mantap dalam filem seperti Lagenda Budak Setan dan Rock Oo!
Pada tahun 2010, Que Haidar mengejutkan ramai apabila mengumumkan persaraan selepas berkahwin dengan koreografer Linda Jasmine (kini sudah berpisah). Namun, jiwa seninya tidak pernah padam. Beliau kembali dengan lebih selektif terhadap watak dan kini aktif semula — kali ini di platform digital.
EH! senaraikan lima filem terbaik Que Haidar yang perlu anda tonton!
1. Lagenda Budak Setan (2010)
Filem adaptasi novel popular ini benar-benar mengangkat nama Que Haidar ke kemuncak. Membawa watak Kasyah, Que berjaya menampilkan sisi emosional dan mendalam seorang lelaki yang bergelut antara cinta dan kehilangan. Chemistry-nya bersama Lisa Surihani cukup kuat — membuatkan ramai masih mengingatinya hingga kini!

2. Rock Oo! (2013)
Antara naskhah paling ikonik dalam kerjaya Que Haidar. Lakonannya sebagai Amy Mat Piah, vokalis kumpulan Rimba Bara, penuh semangat dan keaslian. Filem ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga nostalgia buat peminat muzik rock tanah air. Energi Que? Tak terganti!

3. Castello (2006)
Aksi, emosi dan jiwa — semuanya lengkap dalam filem ini. Que mempamerkan sisi lasak dan matang melalui watak Castello, bekas banduan yang mencari keadilan. Lakonan mantapnya membuat ramai penonton kagum dan mengesahkan statusnya sebagai pelakon versatil.

4. Ophelia (2014)
Ophelia ialah filem skinhead pertama di Malaysia, menampilkan Que Haidar sebagai Ozzi Gandum — lelaki setia dan penyayang yang sanggup berkorban demi sahabat dan keluarga. Walaupun terlibat dalam dunia gelap, tindakannya sentiasa didorong oleh niat melindungi orang tersayang, bahkan sanggup mempertaruhkan nyawa ketika genting.
![]()
5. Cinta (2006)
Filem romantik yang memenangi pelbagai anugerah ini menyatukan beberapa kisah cinta dalam satu naratif, dan lakonan Que sebagai Harris benar-benar menyentuh hati. Natural, jujur dan penuh rasa — antara persembahan terbaiknya yang masih disebut-sebut hingga kini.

Baca:
5 Rancangan ‘Underrated’ Fattah Amin
