September baru sahaja membuka tirai dan seperti biasa, dunia K-drama sudah bersedia dengan deretan drama baharu untuk memenuhi watchlist anda. Daripada kisah romantik yang mengusik emosi, perebutan kuasa penuh konflik sehinggalah fantasi dengan jalan cerita di luar jangkaan, bulan ini menjanjikan pilihan yang cukup pelbagai untuk setiap jenis peminat K-drama.
September hadir bersama beberapa judul baharu yang sayang untuk dilepaskan, apatah lagi dengan kemunculan barisan pelakon popular menerusi karakter dan jalan cerita berbeza. EH! senaraikan lima K-drama menarik yang wajib masuk watchlist anda September ini.
1. Made in Korea 2
Pertarungan belum berakhir! Hyun Bin dan Jung Woo-sung kembali meneruskan pertembungan mereka menerusi Made in Korea 2. Masih berlatar Korea Selatan era 1970-an, musim kedua membawa permainan politik, jenayah dan perebutan kuasa ke tahap yang lebih sengit apabila masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Dengan hanya enam episod, drama ini mula ditayangkan pada 9 September di Disney+.
2. The Ordinary Jackpot
Dibintangi Lee Jun-hyuk, The Ordinary Jackpot mengisahkan Gong Eun-tae, seorang ketua pasukan jualan yang tiba-tiba memenangi loteri bernilai 1.3 bilion won dan menjadi jutawan dalam sekelip mata. Menariknya, Eun-tae tidak terus meninggalkan pekerjaannya. Dia tetap kembali ke pejabat, tetapi wang yang dimilikinya mula mengubah cara dia melihat kehidupan dan segala tekanan yang selama ini perlu ditanggung. Mula ditayangkan menerusi TVING pada 10 September, sebelum disiarkan di tvN bermula 14 September.
3. A Love Other Than Yours
Seo Kang-joon dan Ahn Eun-jin dipertemukan sebagai Namgung Ho dan Lee Mi-do, pasangan yang sudah menjalinkan hubungan selama 10 tahun. Setelah sekian lama bersama, hubungan mereka mula berubah apabila rasa cinta semakin pudar dan hati mula tertarik kepada orang lain. A Love Other Than Yours mengikuti perjalanan pasangan ini ketika mereka berdepan persoalan sama ada mahu meneruskan hubungan ke fasa perkahwinan atau memilih haluan masing-masing.
4. The Scandal
Son Ye-jin, Ji Chang-wook dan NANA bergabung dalam The Scandal, sebuah drama berlatar era Joseon yang diadaptasi daripada karya klasik Dangerous Liaisons. Kisahnya mengikuti Lady Cho lakonan Son Ye-jin yang mencadangkan sebuah pertaruhan kepada Jo-won yang dilakonkan oleh Ji Chang-wook untuk memikat Hui-yeon lakonan NANA. Rancangan yang pada awalnya sekadar permainan mula menjadi rumit apabila perasaan sebenar muncul antara mereka. The Scandal mula ditayangkan di Netflix pada 18 September.
5. Dive Into You
Dibintangi Kim Ji-yeon dan Park Seo-ham, Dive Into You membawa kisah romantik fantasi yang menggabungkan pertukaran tubuh dan perjalanan masa. Yoon Ha-na, seorang pelakon terkenal, secara tiba-tiba bertukar tubuh dengan saudara kembarnya sebelum kembali ke masa lalu. Perjalanan itu membawanya bertemu semula dengan cinta pertamanya, Jung Woo-jae, sekali gus memberi Ha-na peluang untuk mengubah peristiwa yang pernah berlaku. Dive Into You mula ditayangkan pada 26 September.
Artikel Berkaitan: Dari Jisoo Hingga Jung Kook, Ini 10 Bintang Korea Bergelar Duta Jenama Global
