Saban tahun, senarai pencalonan untuk Anugerah Akademi pasti akan memberikan kejutan dalam 23 kategori yang dipersembahkan. Siapakah yang menerima ‘snub’ di Oscar kali ini?
Anugerah Akademi atau lebih dikenali sebagai Oscar adalah majlis anugerah paling berprestij dalam memberikan penghargaan tertinggi kepada pelakon dan juga pemain belakang tabir industri perfileman Hollywood. Tahun ini, filem “Mank” menerima pencalonan terbanyak iaitu 10 nominasi, termasuklah untuk Filem Terbaik. Acara pengumuman nominasi yang ditunggu-tunggu ini telah dilakukan oleh Nick Jonas dan isteri, Priyanka Chopra Jonas secara maya. Secara keseluruhan, penganjuran Oscar buat kali ke-93 ini mempertandingan 23 kategori yang merangkumi lakonan, muzik, filem animasi dan banyak lagi. Dan seperti tahun-tahun terdahulu, nominasi tahun ini tidak ketinggalan dipenuhi dengan kejutan dan ‘snub’. Berikut adalah tujuh kejutan dan ‘snub’ yang paling mengejutkan untuk Anugerah Akademi 2021:
1. #OscarNotSoWhite
Beberapa tahun lalu, Anugerah Akademi menerima kritikan hebat kerana mencalonkan kesemua 20 pelakon berkulit putih dalam kategori lakonan untuk dua tahun berturut-turut. Selepas gerakan anti-perkauman di Amerika Syarikat sejak tahun lalu, barisan nominasi kali ini lebih majmuk dengan sembilan pelakon bukan berkulit putih telah menerima pencalonan. Antaranya Riz Ahmed yang merupakan aktor Muslim pertama, manakala Steven Yuen pula adalah aktor Amerika Syarikat berbangsa Asia pertama. Kedua-dua menerima pencalonan untuk Pelakon Lelaki Terbaik.