Bagi peminat Formula 1 di Malaysia, nama Litar Sepang pastinya membawa seribu satu kenangan.
Sejak pertama kali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada tahun 1999, litar ikonik ini bukan sahaja menyaksikan aksi kelajuan tinggi, tetapi turut menjadi pentas kepada kemenangan mengejutkan, pertarungan sengit dan insiden dramatik yang membuatkan peminat di seluruh dunia terpaku.

Sempena kembalinya perhatian terhadap Litar Sepang, jom imbas kembali 5 momen paling ikonik & diingati dalam sejarah Litar Sepang F1 yang pernah menggegarkan dunia perlumbaan.

1. 2009 – Perlumbaan terpaksa dihentikan akibat hujan ekstrem
Gp Malaysia 2009 menjadi antara perlumbaan paling luar biasa dalam sejarah f1 apabila hujan monsun turun dengan begitu lebat sehingga menyebabkan keadaan trek tidak lagi selamat untuk diteruskan. Perlumbaan dihentikan selepas hanya 31 pusingan apabila litar mula dipenuhi air dan jarak penglihatan pelumba menjadi sangat terhad.
Disebabkan perlumbaan tidak mencapai jarak minimum untuk mata penuh, hanya separuh mata diberikan kepada para pelumba.

2. 2011 – Vitaly Petrov ‘terbang’ di Turn 8
Salah satu visual paling diingati di Litar Sepang berlaku ketika gp Malaysia 2011 apabila pelumba Renault, Vitaly Petrov, mengalami insiden dramatik di selekoh ikonik Turn 8.
Petrov melanggar kerb selepas hilang kawalan sebelum keretanya terangkat dan ‘terbang’ seketika di udara. Hentakan kuat ketika mendarat menyebabkan stereng keretanya rosak, memaksa beliau menamatkan perlumbaan lebih awal.

3. 2016 – Daniel Ricciardo menang selepas enjin Hamilton gagal
Gp Malaysia 2016 menyaksikan salah satu drama terbesar era moden f1 apabila Lewis Hamilton yang sedang mendahului perlumbaan terpaksa bersara akibat kegagalan enjin Mercedes.
Ketika berada dalam posisi selesa untuk meraih kemenangan, enjin Hamilton tiba-tiba mengalami masalah dan terbakar, menyebabkan beliau menjerit melalui radio, “No! No!” , satu reaksi yang terus menjadi momen ikonik dalam sejarah f1.
Kegagalan tersebut membuka peluang kepada Daniel Ricciardo untuk meraih kemenangan, manakala Red Bull melengkapkan podium dengan kedudukan 1-2 selepas Max Verstappen menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

4. 2017 – Max Verstappen menang dalam perlumbaan terakhir Sepang
Gp Malaysia 2017 menjadi perlumbaan yang penuh emosi kerana ia merupakan penampilan terakhir Litar Sepang dalam kalendar f1. Namun, perlumbaan tersebut ditutup dengan aksi hebat daripada Max Verstappen.
Pelumba muda Red Bull itu melakukan pemanduan cemerlang dengan memintas Lewis Hamilton dan mengawal perlumbaan sehingga berjaya meraih kemenangan. Kemenangan tersebut menjadi hadiah istimewa sempena ulang tahun ke-20 Litar Sepang serta penutup sempurna kepada era f1 Malaysia.

5. 2004 – Michael Schumacher menunjukkan dominasi Ferrari
Pada gp Malaysia 2004, legenda Ferrari, Michael Schumacher mendominasi perlumbaan dengan jentera Ferrari yang sangat kompetitif, meraih kemenangan ketiganya di Litar Sepang. Selain itu, Schumacher turut mencatat sejarah dengan lima kali meraih pole position di Sepang, menjadikan namanya antara yang paling sinonim dengan litar ikonik ini.
Baca: 7 Pemain Bola Dengan Gol Terbanyak Dalam Sejarah FIFA World Cup
