Dalam waktu kita gusar memikirkan perkara-perkara negatif yang terjadi sepanjang tahun 2020, sekurang-kurangnya ada juga berita menggembirakan buat pasangan selebriti berikut.
Brooklyn Beckham dan Nicola Peltz
Dua bulan selepas melamar, anak teruna kepada Victoria Beckham ini mendedahkan pada 11 Julai tahun lalu bahawa dia dan teman wanita, Nicola sudah bertunang. “Saya hulurkan lamaran kepada teman sejiwa saya dan dia bersetuju. Saya lelaki paling bertuah di dunia,” umumnya di Instagram. Tambahnya, “Saya berjanji akan menjadi suami dan bapa terbaik satu hari nanti. Saya cintakan kamu.” Perhubungan antara Nicola dan bakal ibu mertuanya juga rapat. Semalam Victoria memuat naik satu foto berserta kapsyen, “Selamat hari jadi @nicolaannepeltz! Kami sayangkan kamu!! Banyak-banyak cumbuan daripada kami semua!”
Gwen Stefani dan Blake Shelton
Pasangan penyanyi ini membuat pengumuman di media sosial mengatakan mereka sudah bertunang pada Oktober 27 tahun lalu setelah lima tahun bercinta. Gwen menulis kapsyen, “Yes please!” pada foto mereka sedang bercumbu di hantaran Instagram. Penyanyi God’s Country tersebut turut memuat naik gambar yang sama dan menulis, “Hai @gwenstefani terima kasih kerana menyelamatkan tahun 2020 saya… Dan seluruh hidup saya. Saya cintakan kamu. Dia katakan YA!”. Kes perceraian antara bekas penyanyi kumpulan No Doubt ini dan bekas suami, Gavin Rossdale juga akhirnya selesai dua hari lalu selepas lima tahun Gwen menfailkan permohonan.
Demi Lovato dan Max Ehrich
Pelantun lagu Sorry Not Sorry dan pelakon Young and the Restless ini mengumumkan pertunangan mereka pada 22 Julai tahun lalu selepas empat bulan bercinta. “Saya tidak pernah rasa dicintai tanpa syarat oleh seseorang dalam hidup saya (selain ibu bapa saya). Kamu tidak pernah memaksa saya menjadi orang lain selain diri sendiri,” tulis Demi di Instagram. “Dan kamu membuatkan diri saya mahu menjadi lebih baik. Saya teruja menerima lamaran kamu. Saya cintakan kamu dan tidak sabar untuk memulakan keluarga bersama.” Malangnya selepas dua bulan, perhubungan mereka putus di tengah jalan.
Aaron Carter dan Melanie Martin
Pada 12 Jun tahun lalu, penyanyi ini mendedahkan bahawa dia dan Melanie mengikat tali pertunangan. Aaron menulis kapsyen, “Love wins #iloveyou3000 #engaged #fiance #ourlovestory,” pada foto cincin pertunangan yang terletak elok di jari manis Melanie. Dua hari kemudian, dia memuat naik satu lagi hantaran di Instagram mengatakan setiap orang berhak mendapat peluang kedua. Pasangan ini mengumumkan berita percintaan mereka pada Januari 2020 kemudian berpisah pada bulan April selepas Melanie dituduh melakukan keganasan domestik terhadap Aaron. Dua bulan selepas itu, mereka mengumumkan berita pertunangan. Rumit, tetapi benar cinta itu buta!
Jeannie Mai and Jeezy
Rapper yang terkenal dengan lagu Soul Survivor ini melamar pengacara bual bicara, Jeannie pada 27 Mac tahun lalu selepas menjalinkan hubungan cinta selama hampir dua tahun. Dia mulanya merancang untuk melamar ketika perjalanan mereka dan keluarga ke Asia Tenggara, namun disebabkan pandemik Covid-19, pelan tersebut terpaksa diubah. Demi memenangi hati wanita dicintai, Jeezy mengubah dekorasi kediamannya di Los Angeles menjadi ‘syurga Vietnam’ untuk menjadikan lamaran tersebut lebih istimewa. Usahanya berbaloi apabila Jeannie mengatakan “yes!”.
Foto: Dominique Charriau