Daripada versi muda watak utama sehinggalah mencuri perhatian menerusi watak tersendiri, lima pelakon cilik Korea ini sering menjadi wajah yang tidak asing lagi dalam K-Drama.
Walaupun masih muda, barisan pelakon kanak-kanak Korea ini berjaya membuktikan bakat lakonan mereka setanding pelakon dewasa. Sering muncul dalam drama popular, mereka bukan sahaja mencuri perhatian penonton malah menjadi antara wajah yang paling kerap menghiasi K-Drama.
Oh Eun-seo
Walaupun baru memulakan kerjaya lakonan pada 2021 ketika berusia empat tahun, Oh Eun-seo pantas mencuri perhatian sebagai antara pelakon cilik paling menyerlah di Korea Selatan. Bakatnya yang versatil menjadikan dia pilihan utama untuk membawakan versi muda watak utama wanita dalam pelbagai K-Drama popular.
Antara drama yang pernah menampilkan Oh Eun-seo termasuk Love Next Door, Family by Choice, Marry My Husband dan Perfect Family. Selain drama bersiri, Eun-seo turut mengembangkan portfolio lakonannya menerusi beberapa movie thriller seperti Devil in the Lake dan A Bloody Lucky Day.
Jung Si-yul
Tak mungkin anda tidak pernah melihat wajah Jung Si-yul sebelum ini. Pelakon cilik ini boleh dikatakan sering muncul dalam pelbagai K-Drama popular, menjadikannya antara wajah yang cukup dikenali dalam kalangan penonton.
Sepanjang kariernya, Jung Si-yul pernah membintangi drama seperti The King: Eternal Monarch, Tale of the Nine-Tailed, Birthcare Center dan Once Upon a Small Town. Dia juga pernah tampil dalam filem Stellar: A Magical Ride, membuktikan bakatnya bukan hanya terhad di kaca televisyen.
Ki So-yu
Pada usia yang masih muda, Ki So-yu berjaya membina nama sebagai antara pelakon cilik paling menyerlah di Korea Selatan. Menariknya, bakat lakonan turut mengalir dalam keluarganya. Abangnya, Ki Eun-yoo, juga merupakan pelakon kanak-kanak popular.
Ki So-yu mula mencuri perhatian menerusi wataknya sebagai Son Eun-gi dalam Our Blues sebelum membintangi drama popular lain seperti The Good Bad Mother, My Demon, Sweet Home 2 dan Dear X. Kebolehannya membawakan watak yang comel, penuh emosi dan mischievous membuatkan ramai penonton jatuh hati dengannya.
Park Da-on
Bagi peminat The Good Bad Mother, pasti anda masih mengingati telatah Park Da-on sebagai Seo-jin. Gandingannya bersama Ki So-yu sebagai pasangan kembar jiran sebelah berjaya mencuri perhatian penonton dengan gelagat mereka yang comel dan menghiburkan.
Mula berlakon sejak berusia empat tahun, Park Da-on kini semakin aktif menghiasi pelbagai K-Drama. Antara drama yang pernah dibintanginya termasuk The King’s Affection, DNA Lover, Tastefully Yours, The Haunted Palace dan Phantom Lawyer.
Park So-yi
Park So-yi, yang digelar sebagai ‘pelakon genius’ dalam kalangan peminat K-Drama, sememangnya bukan tanpa sebab. Sejak kecil, So-yi sudah membuktikan kemampuan luar biasa menerusi pelbagai watak yang penuh emosi, lakonannya juga sering dipuji setanding pelakon dewasa.
Antara drama popular yang pernah dibintanginya termasuk See You in My 19th Life, Revenant, The Atypical Family dan Spring of Youth. Selain menyerlah di kaca televisyen, Park So-yi turut mencipta nama menerusi filem seperti Pawn dan Deliver Us from Evil, malah pernah menerima pencalonan Pelakon Baharu Terbaik di Baeksang Arts Awards pada usia yang cukup muda.
Baca: Menantu Rozita Che Wan Curi Perhatian, Kenali Auni Ikhwan, Isteri Kepada Ammar Effendy
