Bila dunia glam selebriti bertembung dengan aura atlet di padang bola…aura 1000x!
Kebanyakan selebriti Malaysia pada awalnya memilih untuk menyorok kisah cinta mereka dengan pemain bola sepak keranalebih selesa berkongsi secara tertutup, jauh daripada perhatian umum.
Namun, seiring waktu, hubungan itu mula terserlah dengan cara yang cukup manis. Dari kelibat di stadium ketika perlawanan antara negeri dan negara, hinggalah momen memberi sokongan secara terbuka di media sosial, semuanya menjadi ‘soft launch’ yang mencuri perhatian peminat.
5 selebriti Malaysia yang kahwin dengan pemain bola sepak:

Eyka Farhana & Akhyar Rashid
Eyka Farhana dan Akhyar Rashid mula menjalinkan hubungan sekitar tahun 2020, namun pada awalnya mereka memilih untuk merahsiakan kisah cinta daripada pengetahuan umum. Lama-kelamaan, hubungan mereka mula diketahui apabila sering dilihat bersama dan saling memberi sokongan, terutamanya ketika perlawanan bola sepak.Selepas beberapa tahun bercinta, pasangan ini akhirnya selamat mendirikan rumah tangga pada tahun 2025 dalam sebuah majlis yang sederhana tetapi penuh bermakna. Kini, Eyka dan Akhyar sedang melalui fasa bahagia sebagai suami isteri, malah dikhabarkan turut menantikan kehadiran cahaya mata pertama mereka.

Eyra Hazali & Haziq Nadzli
Pelakon manis Eyra Hazali dan penjaga gol kebangsaan Haziq Nadzli mula menjalin hubungan cinta sekitar tahun 2019. Seperti pasangan lain, mereka pada awalnya agak low-key sebelum mula berkongsi kebahagiaan secara terbuka, termasuk kehadiran Eyra di stadium sebagai tanda sokongan buat Haziq.Pasangan ini selamat mendirikan rumah tangga pada November 2019 dalam sebuah majlis yang sederhana dan kini, kehidupan mereka semakin lengkap apabila dikurniakan tiga orang cahaya mata, dan sering berkongsi momen keluarga yang bahagia di media sosial.

Ayu Raudhah & Zaquan Adha
Pelakon jelita Ayu Raudhah dan pemain bola sepak Zaquan Adha antara pasangan selebriti dan atlet yang cukup dikenali ramai. Kisah cinta mereka bermula sekitar tahun 2010 dan berkembang dengan cepat sebelum kedua-duanya mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011. Sejak bergelar suami isteri, pasangan ini sering dilihat saling menyokong kerjaya masing-masing, Ayu sepenuh masa sebagai suri rumah, manakala Zaquan di padang bola. Cukup bahagia dan meriah apabila dikurniakan tujuh orang cahaya mata, menjadikan mereka antara pasangan selebriti yang mempunyai keluarga besar.

Syifa Melvin & Safawi Rasid
Pempengaruh dan usahawan Syifa Melvin dan bintang bola sepak negara Safawi Rasid mula menjadi perhatian ramai apabila hubungan mereka mula dikaitkan sekitar tahun 2021. Pada awalnya agak tertutup, namun lama-kelamaan mereka semakin terbuka berkongsi momen bersama. Pasangan ini kemudian mengikat tali pertunangan sebelum selamat mendirikan rumah tangga pada 28 November 2022, Safawi menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin berlian, manakala wang hantaran dirahsiakan. Selepas berkahwin, kehidupan mereka semakin bahagia apabila dikurniakan dua cahaya mata dan sering berkongsi momen keluarga yang manis.

Mia Ahmad & Izham Tarmizi
Pelakon Mia Ahmad dan penjaga gol bola sepak Izham Tarmizi mula mengenali hati budi masing-masing sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada 13 Januari 2017. Mia dan Izham, keduanya ketika itu berada di puncak kerjaya sebagai pelakon dan pemain bola sepak membuatkan peminat kedua ini sungguh teruja. Mia Ahmad pernah berkongsi bahawa perjalanan rumah tangga mereka selama hampir sembilan tahun (sehingga 2025) penuh dengan liku dan ujian, namun mereka terus berusaha untuk mengekalkan kebahagiaan. Kini, pasangan ini bahagia bersama empat orang cahaya mata.
