Lee Soo Hyuk kembali mencuri perhatian dengan drama terbaharunya, ‘S Line’. Jika anda peminat setia atau baru ingin mengenali pelakon ini, berikut 6 rancangan lakonannya yang wajib ditonton!
Karismatik, bergaya, dan berbakat, itulah tiga perkataan yang sering dikaitkan dengan aktor tampan Korea Selatan, Lee Soo Hyuk. Dikenali menerusi lakonannya yang memukau serta penampilan yang meninggalkan kesan mendalam, Lee Soo Hyuk semakin mencuri perhatian peminat K-drama. Dengan kemunculannya dalam drama terbaharu berjudul ‘S Line’, ramai yang mula menyelami semula karya-karya lakonannya terdahulu.
Jika anda baru ingin mengenali bakat pelakon ini atau peminat setia yang ingin menonton semula karya hebatnya, berikut adalah 6 rancangan lakonan Lee Soo Hyuk yang wajib ditonton!
S Line
Tiba-tiba, garisan-garisan merah mula muncul di atas kepala orang ramai. Garisan merah ini menghubungkan individu yang pernah mempunyai hubungan seksual antara satu sama lain. Fenomena aneh ini menyebabkan pelbagai rahsia peribadi dan sisi memalukan orang ramai terbongkar tanpa sengaja. Masyarakat mula memanggil garisan ini sebagai “S Line.”
Han Ji-Wook (Lee Soo Hyuk) ialah seorang detektif yang tampan dan berjiwa bebas. Dia bertekad untuk menyiasat dan membongkar kebenaran di sebalik kemunculan misteri “S Line” ini. Sementara itu, Kyu-Jin (Lee Da-Hee) merupakan seorang guru sekolah menengah yang memiliki pesona tersendiri, manakala Shin Hyun-Heup (Arin) ialah seorang pelajar sekolah yang sejak lahir mampu melihat garisan merah ini, satu kebolehan yang tidak dimiliki orang lain.
Kisah ini membawa penonton menyelami pelbagai konflik emosi, rahsia yang terbongkar, dan persoalan moral dalam masyarakat apabila hubungan tersembunyi tidak lagi dapat disembunyikan.
LOST
Filem ini merupakan sebuah misteri emosional yang mengisahkan pertemuan tidak dijangka antara anak lelaki kepada si pelaku jenayah yang terbalik nasibnya, dan anak perempuan kepada mangsa.
Kedua-dua mereka terus hidup, bukan kerana mahu, tetapi kerana tidak mampu mati dibelenggu oleh dosa-dosa silam keluarga masing-masing. Dalam perjalanan mereka, terbentuk satu ikatan yang rumit antara trauma, penyesalan dan harapan untuk melepaskan diri daripada bayang-bayang masa lalu.
Tomorrow
Choi Jun-Woong (Ro Woon) sedang berusaha mencari pekerjaan, namun tidak mudah baginya untuk diterima bekerja di mana-mana. Pada suatu malam, secara tidak sengaja, dia bertemu dengan dua malaikat maut, Koo Ryeon (Kim Hee-Seon) dan Im Ryung-Gu yang merupakan anggota pasukan pengurusan krisis.
Koo Ryeon ialah ketua pasukan, manakala Im Ryung-Gu adalah ahlinya. Misi utama mereka adalah menyelamatkan individu yang berada di ambang membunuh diri. Tidak lama kemudian, Choi Jun-Woong turut menyertai pasukan ini sebagai ahli baharu sekaligus membawa dimensi baharu dalam perjuangan mereka menyelamatkan nyawa di ambang keputusasaan.
Doom at Your Service
Tak Dong Kyung menjalani kehidupan yang agak biasa, sehinggalah satu hari takdir tidak disangka-sangka menghampirinya. Dia akhirnya membuat keputusan berani dengan menandatangani kontrak seratus hari bersama Myul Mang, satu perjanjian misteri yang mempertaruhkan segalanya dalam hidupnya.
Born Again
Seorang detektif, kekasihnya, dan seorang pembunuh bersiri dilahirkan semula 32 tahun selepas kematian mereka. Dalam kehidupan baharu ini, mereka memulakan perjalanan yang penuh misteri dan takdir yang bersilang — sebagai seorang pendakwa raya, seorang tenaga pengajar arkeologi tulang, dan seorang pelajar perubatan. Siapa mereka dahulu, dan apakah yang akan terjadi apabila kisah silam mereka kembali menghantui masa kini?
The Scholar Who Walks the Night
Jo Yang-sun menyamar sebagai penjual buku demi kelangsungan hidup selepas keluarganya jatuh miskin. Dalam perjalanan hidupnya, dia bertemu dengan Kim Sung-yeol, seorang pontianak yang dihantui cinta lamanya, seorang wanita yang menyerupai Choi Hye-ryung.
Sementara itu, Gwi, pontianak jahat yang berkuasa, sedang merancang untuk menggagalkan kenaikan takhta Putera Mahkota. Dalam dunia yang penuh rahsia, cinta terlarang dan kuasa gelap, nasib negara dan hati mereka dipertaruhkan.
Baca: Di Sebalik Lirik Justin Bieber Buat Hailey dan Jack Dalam Album Baharunya, SWAG