Haaland, Haaland,
He’s a blue, just like his dad,
Now he’s at the Etihad,
Ha—Ha—Ha—Haaland, hey….
Jika bercakap tentang penyerang paling berbahaya dalam bola sepak terkini, nama Erling Haaland pasti berada dalam senarai teratas.

Bintang Norway ini terkenal dengan kekuatan fizikal, ketenangan ketika berada di hadapan gawang serta naluri menjaringkan gol yang menjadikannya antara pemain paling digeruni oleh pasukan lawan.
Sejak menyertai Manchester City, Haaland terus mencipta sejarah dengan memecahkan pelbagai rekod dan membuktikan dirinya sebagai salah seorang penyerang terbaik dunia.
7 fakta menarik tentang Erling Haaland yang membuktikan mengapa namanya terus menjadi fenomena dalam dunia bola sepak.

1. Erling Haaland dilahirkan di England, tetapi memilih Norway
Walaupun dikenali sebagai ikon bola sepak Norway, Erling Haaland sebenarnya dilahirkan di Leeds, England pada 21 Julai 2000 ketika bapanya, Alf-Inge Haaland, bermain untuk Leeds United dalam Liga Perdana Inggeris. Namun, ketika berusia tiga tahun, keluarganya berpindah kembali ke Norway dan Haaland membesar di bandar Bryne.
Disebabkan latar belakang tersebut, Haaland sebenarnya mempunyai peluang untuk mewakili England di peringkat antarabangsa. Namun, dia memilih Norway kerana hubungan kuat dengan negara asal keluarganya.

2. Bakat atletik Haaland sudah terserlah sejak kecil
Sebelum menjadi seorang bintang bola sepak dunia, Haaland sebenarnya mempunyai potensi dalam beberapa jenis sukan lain. Ketika berusia lima tahun, dia mencipta rekod dunia kategori kanak-kanak untuk lompat jauh berdiri dengan jarak 1.63 meter, satu pencapaian yang menunjukkan kelebihan fizikalnya sejak kecil.
Selain bola sepak, Haaland turut pernah mencuba sukan seperti bola baling, golf dan olahraga. Keupayaan atletiknya membantu membentuk ciri permainan yang menjadi kekuatannya hari ini iaitu pantas, kuat dan memiliki koordinasi badan yang luar biasa.

3. Haaland datang daripada keluarga sukan
Bakat sukan bukan sesuatu yang asing dalam keluarga Haaland. Bapanya, Alf-Inge Haaland, merupakan bekas pemain bola sepak profesional yang pernah beraksi untuk beberapa kelab termasuk Leeds United dan Manchester City.
Ibunya pula, Gry Marita Braut, merupakan bekas atlet olahraga Norway yang pernah memenangi kejohanan kebangsaan dalam acara heptathlon. Dengan gabungan genetik daripada ibu bapa yang aktif dalam dunia sukan, tidak hairanlah Haaland memiliki kelebihan fizikal yang luar biasa.
4. Dia pernah menjaringkan 9 gol dalam satu perlawanan Piala Dunia bawah 20 tahun
Salah satu detik yang melonjakkan nama Haaland ke pentas dunia berlaku ketika Piala Dunia Bawah 20 Tahun FIFA 2019. Dalam perlawanan menentang Honduras, Haaland mencipta sejarah apabila menjaringkan sembilan gol dalam satu perlawanan.
Prestasi luar biasa itu menjadikannya penjaring terbanyak kejohanan tersebut dan mula menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah yang melihat potensinya sebagai penyerang masa depan.

5. Haaland memecahkan rekod Liga Perdana Inggeris pada musim pertama bersama Manchester City
Ketika menyertai Manchester City pada musim 2022/23, ramai menjangkakan Haaland memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak England. Namun, dia membuktikan sebaliknya apabila terus mencipta fenomena.
Pada musim pertamanya, Haaland menjaringkan 36 gol dalam 35 perlawanan Liga Perdana Inggeris, sekali gus memecahkan rekod jumlah gol terbanyak dalam satu musim era 38 perlawanan. Lebih mengagumkan, dia turut membantu Manchester City memenangi treble, Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara UEFA pada musim tersebut.

6. Gelaran “Mesin Gol” bukan sekadar nama
Haaland terkenal dengan kebolehannya mencari ruang di kawasan penalti, membaca pergerakan bola dan menyempurnakan peluang dengan pantas. Gabungan kekuatan fizikal, kelajuan serta penyudah tepat menjadikannya ancaman besar kepada mana-mana pertahanan lawan.
Dia juga mencipta beberapa rekod terpantas dalam bola sepak Eropah, termasuk menjadi antara pemain paling pantas mencapai jumlah tertentu gol dalam Liga Juara-Juara UEFA dan lima liga utama Eropah.
7. Haaland pernah jadi rapper ketika zaman muda
Selain dikenali kerana jaringan gol, Haaland juga mempunyai sisi kreatif yang mungkin ramai tidak tahu. Ketika bersama skuad remaja Norway, dia pernah menghasilkan lagu rap bersama rakan sepasukan di bawah nama Flow Kingz.
Video muzik tersebut menjadi tular dan menunjukkan sisi santai Haaland yang jauh berbeza daripada imej seriusnya ketika berada di padang.
8. Sudah berkahwin!
Hubungan Haaland dan Isabel menjadi perhatian kerana mereka sebenarnya sudah mengenali antara satu sama lain sejak zaman remaja di Bryne, Norway. Isabel juga mempunyai latar belakang bola sepak dan pernah bermain untuk kelab yang sama ketika mereka masih muda. Penyerang Manchester City ini kini bergelar seorang bapa selepas menyambut kelahiran anak pertamanya.
Baca: Senarai Pemain Bola Sepak Paling Banyak ‘Followed’ Di Dunia
